Angkat Kota Bharu sebagai kota kopi

Angkat Kota Bharu sebagai kota kopi

KEJAYAAN Minggu Kopi Kelantan 2024 menunjukkan Kota Bharu mampu menarik pengunjung dan pelancong dengan dijenamakan semula sebagai kota kopi - Gambar Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA orang luar ingin makan malam di Kota Bharu, Kelantan, dia tidak tahu mahu makan di mana. Dia tanya kawan-kawannya yang berasal dari Kelantan. Kebanyakannya pun tidak tahu di mana. Mereka biasanya makan di rumah, kampung halaman masing-masing, bukannya di kedai makan.

Beza kalau orang luar ingin makan malam di Kuala Lumpur, mereka tidak perlu bertanya-tanya atau tercari-cari, kedai makan banyak di ibu kota ini. Pilih sahaja mahu makan di mana.

Cara yang sama tidak boleh digunakan di Kota Bharu. Bila masuk waktu senja, kebanyakan kedai akan tutup. Kedai makan pun sama.

Kebanyakan orang Kelantan tahu, setiap kali waktu malam selepas maghrib, di tengah-tengah Kota Bharu, kawasan bandar memang sunyi sepi, seolah-olah bandar yang mati.

Kalau ada perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, barulah ada orang yang akan datang ke bandar. Begitu juga dengan aktiviti dianjurkan kerajaan negeri. Kalau ada, barulah ramai yang datang.

Namun, segala-galanya nampaknya sudah berubah selepas Covid-19. Kota Bharu tidak lagi sunyi sepi atau gelap gelita seperti dahulu.

Hari ini, jika orang luar berada di Kota Bharu, dia akan terjumpa beberapa kedai kopi hipster sedang beroperasi di tengah-tengah bandar. Tidak kira sama ada ia menjual kopi tempatan atau kopi import.

Kedai-kedai ini boleh dijumpai di tepi-tepi jalan. Ada kedai yang hipster, ada yang dihias secara tradisional. Ada yang boleh sampai ke kedai dengan jalan kaki sahaja dari hotel. 

Kedai-kedai ini wujud disebabkan munculnya ahli perniagaan, usahawan dan peniaga-peniaga tempatan yang membuat keputusan untuk melabur dan membuka kedai-kedai ini di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Apabila masuk waktu malam, ada sekurang-kurangnya antara 10 hingga ke 20 kedai tempatan yang beroperasi di tengah-tengah bandar. Ini tidak termasuk kedai popular yang beroperasi secara francais turut dibuka di Kota Bharu. 

Kedai-kedai ini menjual kopi, kek, roti, makanan barat dan macam-macam lagi. Malah, yang lebih hipster, ada yang menjual kopi tanpa premis di tepi jalan, hanya dengan kenderaan, mesin kopi, khemah dan kerusi untuk pengunjung. Kebanyakannya meletakkan harga yang sudah tentu jauh lebih murah dari yang dijual di Kuala Lumpur.

Itu sebabnya, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan berjaya menganjurkan Minggu Kopi Kelantan 2024 selama tiga hari di Gelanggang Seni pada hujung bulan lalu, yang menawarkan kira-kira 50 hingga ke 60 buah vendor kopi, dengan selebihnya vendor pakaian dan vendor kreatif.

Malah, malam terakhir Minggu Kopi Kelantan begitu sesak dengan kehadiran pengunjung di Gelanggang Seni sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas ketika itu. Rata-rata pengunjung adalah ibu bapa yang muda, golongan awal 30-an, belia 20-an dan ada juga remaja belasan tahun. Ada yang datang membeli, ada juga sekadar mahu merasai suasana. Yang berniaga pun kebanyakannya muda-muda.

Suasana seperti ini wajar dikekalkan di Kota Bharu, dengan menghidupkan atau menjenamakan semula Kota Bharu sebagai kota kopi yang mampu meningkatkan imej, ekonomi dan nilai pelancongan Kelantan sendiri. Ini sudah dibuktikan oleh kota-kota di negara-negara lain di dunia ketika ini.

Tahun ini, majalah kulinari dari Amerika Syarikat (AS), Food & Wine menamakan 10 bandar yang menawarkan suasana minuman kopi terbaik iaitu Copenhagen (Denmark), Tokyo (Jepun), Sydney (Australia), San Francisco (AS), Milan (Itali), Lisbon (Portugal), Amsterdam (Belanda), London (England), Cape Town (Afrika Selatan) dan Melbourne (Australia).

Bandar-bandar di Malaysia juga tidak mustahil boleh melakukan perkara yang sama. Ketika ini, World Coffee Portal menunjukkan Malaysia mempunyai lebih 3,330 kedai kopi, yang dijangka meningkat antara empat ke lima peratus tahun ini dan ia dijangka mencapai sehingga 6,000 kedai kopi menjelang 2028.

TINGKAT INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA

Malaysia juga sudah mengeksport sebanyak RM10.1 juta kopi, majoritinya ke Singapura (RM4.13 juta), Korea Selatan (RM1.46 juta), Filipina (RM1.3 juta), Thailand (RM980,000) dan Taiwan (RM704,000) setakat Mac 2024, menurut Observatory of Economic Complexity (OEC).

Di Malaysia juga sudah ada Kejohanan Kopi Kebangsaan Malaysia (MNCC) yang mempertandingkan tiga kategori iaitu Kejohanan Seni Latte, Kejohanan Barista dan Piala Brewers.

Dengan populariti kopi semakin meningkat di negara ini, Malaysia perlu mengambil langkah dengan menggalakkan lebih banyak bandar-bandar di negara ini menawarkan kedai-kedai kopi yang menarik untuk dikunjungi, sekali gus menghidupkan kota yang hampir mati sebaliknya membantu meningkatkan ekonomi dan pelancongan negara.

Melalui sokongan berterusan dari pelbagai pihak, Kota Bharu wajar dan layak diangkat sebagai kota kopi sebagai kota kunjungan pelancong dalam dan luar negara.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN