Bumi bukan tong sampah kita

Bumi bukan tong sampah kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA satu tabiat buruk yang masih sukar kita kikis iaitu membuang sampah sesuka hati, kemudian berlalu pergi seolah-olah tanggungjawab itu selesai begitu sahaja.

Puntung rokok dicampak ke tepi jalan, bekas minuman ditinggalkan di bawah kerusi sementara plastik makanan dibiarkan berselerak selepas menjamu selera. Kita mungkin tidak lagi melihatnya selepas itu tetapi sampah berkenaan tidak pernah benar-benar hilang, sebaliknya hanya berpindah tempat.

Dari jalan raya ke longkang, dari longkang ke sungai sebelum akhirnya sampai ke laut. Dasar perairan pula menjadi ‘perhentian terakhir’ kepada sisa yang kita tinggalkan.

Pengalaman penulis bersama rakan menyertai program pembersihan dasar laut dan pesisir pantai anjuran Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia (BEST)di Pulau Redang baru-baru ini memperlihatkan dengan jelas realiti masalah tersebut.

Di sebalik keindahan pantai, laut yang membiru dan terumbu karang yang menjadi tarikan pelancong, terselindung pencemaran yang tidak terlihat dari daratan. Dasar laut turut dicemari pelbagai jenis sisa seperti botol plastik, bekas makanan, lampin pakai buang dan jaring hantu.

Di sinilah kita perlu mengakui pencemaran bukan berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sisa semata-mata tetapi sikap manusia yang menganggap kebersihan sebagai tanggungjawab orang lain.

Kita membuang, orang lain mengutip. Kita mengotorkan, pekerja pembersihan pula membersihkan. Mentaliti seperti ini perlu dihentikan.

Keadaan sama dapat dilihat selepas acara besar yang menghimpunkan ribuan manusia. Selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di Dataran Merdeka, kawasan sekitar dipenuhi sampah yang ditinggalkan penonton. Apabila pagi menjelang, kita melihat pekerja pembersihan turun menjalankan tugas sehingga kawasan itu kembali bersih.

Kerja mereka memang wajar dihargai namun, kebersihan yang kembali selepas sesuatu acara tidak seharusnya membuatkan kita selesa untuk terus membuang sesuka hati. Selagi sampah ditinggalkan dengan anggapan akan ada pihak yang membersihkannya, selagi itulah masalah sama berulang.

Pihak berkuasa sememangnya bertanggungjawab memastikan pengurusan sisa berjalan dengan baik. Namun, di pihak masyarakat tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kita tidak boleh menuntut pantai bersih jika tangan sendiri meninggalkan bekas minuman di pasir. Kita tidak boleh marah apabila laut tercemar jika sampah dibuang ke dalam longkang. Kita juga tidak boleh menyalahkan PBT apabila kawasan awam kotor sedangkan kita sendiri meninggalkan sisa makanan selepas makan.

Menjaga alam sekitar sebenarnya bermula dengan perkara paling mudah. Bawa pulang sampah sendiri, buang pada tempatnya dan jangan tinggalkan apa-apa selepas menggunakan kemudahan awam.

Bumi bukan tong sampah, laut bukan tempat melupuskan sisa sementara pekerja pembersihan pula bukan pihak yang perlu menanggung akibat kecuaian kita.

Jangan kerana ada orang yang sanggup membersihkan, kita terus selesa mengotorkan.

Yang perlu dibersihkan bukan sekadar jalan, pantai atau dasar laut tetapi sikap kita sendiri. -UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN