Tak perlu risau difitnah selagi berlandas undang-undang

Tak perlu risau difitnah selagi berlandaskan undang-undang

KETEGASAN kerajaan terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R wajar menjadi amaran keras buat rakyat negara ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan komitmen bahawa beliau dan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum) wajar menjadi iktibar dan amaran keras kepada semua lapisan anggota masyarakat.

Ironinya sejak kebelakangan kes tangkapan membabitkan individu yang menyentuh isu 3R semakin meningkat. Seolah-olah ada gerakan untuk memanipulasi isu ini bagi pelbagai kepentingan peribadi tanpa mempedulikan impak dan kesan negatif terhadap kehidupan rakyat dan ketenteraman awam.

Hakikatnya intipati 3R melibatkan tiang seri kehidupan masyarakat majmuk yang sekian lama hidup aman dan damai dengan budaya saling hormat menghormati serta bertolak ansur, selain meletakkan institusi raja di tempat yang selayaknya sebagai payung negara.Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu sedar bahawa kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati. Tuntasnya, kebebasan bersuara ada batas dan hadnya dan tidak boleh melampaui garisan batas yang ditetapkan sehingga mencetuskan provokasi dalam kalangan rakyat serta mengganggu gugat kestabilan negara.

Apa yang menyedihkan ialah walaupun sudah ramai individu yang ditahan pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan namun masih ada yang gagal mengambil iktibar dan terus bermain api terutamanya menggunakan media sosial untuk menyebarkan pelbagai fitnah, berita palsu dan tohmahan yang menyentuh sensitiviti anggota masyarakat.

Akibatnya ramai yang mudah terkeliru terutamanya kelompok yang suka membaca tajuk sesuatu berita semata-mata atau yang tidak suka membuat semakan kesahihan fakta terhadap sesuatu maklumat yang diterima. Akhirnya ramai yang menjadi mangsa keadaan dan diburu pihak berkuasa kerana turut terpalit setelah menokok tambah isu yang dibaca dan diterima bulat-bulat kononnya atas sebab marah dan tidak berpuas hati dengan isu yang disebarkan.

Jadi kita menyokong penuh komitmen kerajaan untuk terus bertindak tegas tanpa sebarang kompromi terhadap individu yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan khususnya perkara berkaitan 3R.

Dalam hal ini kerajaan tidak perlu melayan karenah golongan yang menuduh dan menyebarkan tohmahan kononnya kerajaan mencabuli hak kebebasan bersuara kerana tindakan undang-undang yang diambil itu ada asas yang jelas dan akan memudaratkan rakyat serta negara jika dibiarkan berleluasa.

Apa yang diharapkan ialah pihak berkuasa sentiasa berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan provokasi pelaku kerana khuatir mereka akan menggunakan taktik dan peluang itu untuk memanipulasi isu dan meraih simpati dari rakyat, kononnya dianiaya dan dizalimi.

Selagi mana pihak berkuasa bertindak secara adil berpaksikan peruntukan undang-undang yang betul maka tidak perlu risau dengan tohmahan dan fitnah tersebut.

Hakikatnya kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil peluang ini untuk membuktikan segala tindakan penguatkuasaan yang sedang dan akan diambil terhadap adalah demi kepentingan awam dan sebagai langkah pembetulan supaya ia tidak berlarutan.

Kita juga berharap agar pihak mahkamah turut memainkan peranan penting dalam memberi peringatan keras kepada anggota masyarakat dengan menjatuhkan hukuman yang setimpal dan maksimum. Hal ini penting kerana anggota masyarakat perlu diingatkan bahawa isu 3R tidak boleh dipandang enteng dan diulas sesuka hati tanpa mempedulikan natijahnya kepada rakyat dan negara.

BUKAN FIKIR POLITIK
Selain tindakan penguatkuasaan berbentuk pembetulan, saya meletakkan harapan besar kepada kerajaan agar terus memberi perhatian serius terhadap usaha pencegahan dengan cara memupuk dan meningkatkan tahap kesedaran rakyat tentang isu 3R khususnya dalam kalangan belia.

Semua lapisan masyarakat perlu disedarkan bahawa isu 3R merentasi soal agama, bangsa, kepentingan peribadi dan ideologi politik. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan 3R sebagai modal politik atau formula untuk menarik sokongan mahupun meraih simpati rakyat.

Menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat untuk menjaga, menghormati dan memelihara kesucian agama Islam kerana telah digazetkan sebagai agama rasmi bagi Persekutuan.

Justeru mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua.

Langkah pencegahan perlu bermula di semua peringkat lapisan masyarakat yakni dari rumah, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi awam dan swasta serta komuniti setempat. Peringatan dan kesedaran yang berterusan akan membolehkan setiap warganegara sentiasa menghayati keperluan untuk menghormati semua isu 3R yang terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ringkasnya, sikap menghormati intipati 3R ini perlu menjadi budaya dan amalan harian setiap rakyat Malaysia.

Untuk itu kita berharap semua agensi kerajaan, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil komuniti akan bergabung tenaga dan memainkan peranan masing-masing di setiap peringkat lapisan anggota masyarakat.

KEBEBASAN SUARA
Kerajaan juga wajar terus mendidik rakyat untuk menggunakan kebebasan suara yang ada secara bijak dalam skop batas yang ditetapkan supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif yang akhirnya memudaratkan diri dan negara.

Marilah kita hentikan segala bentuk provokasi dan tindakan ekstrem yang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Ingat, menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk memelihara perpaduan dan keharmonian kerana perpaduan adalah nikmat yang perlu dipertahankan demi mencapai cita-cita membangunkan Malaysia Madani.

Justeru marilah kita menyokong penuh segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam menangani dan mencegah pelbagai pencabulan dan salah laku yang membabitkan isu 3R dalam masyarakat.-UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN