Negara perlu pulihkan semula kadar kelahiran

Negara perlu pulihkan semula kadar kelahiran

KADAR kesuburan, kelahiran hidup dan kematian rakyat Malaysia menurun pada 2022. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADAR kesuburan (TFR) di Malaysia mencatatkan penurunan yang membimbangkan bermula 2013 jika dibandingkan sejak 1970.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pada tahun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa kadar kesuburan Malaysia kini mencapai tahap di bawah paras penggantian bermula 2013. Sekali gus beliau menyimpulkan bahawa kadar kesuburan, kelahiran hidup dan kematian rakyat Malaysia menurun pada 2022.

Penurunan kadar kesuburan akan mengganggu sistem demografi yang mana boleh menjejaskan kadar penuaan, ekonomi dan sosial. Penurunan kadar kesuburan akan mempercepat proses penuaan penduduk, yang mana menurut perangkaan pada 2023 terdapat 15 peratus penduduk di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas.

Pada masa yang sama peningkatan kadar penuaan akan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan secara globalnya.

Kajian lampau mengesahkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan secara amnya adalah kerana golongan wanita kini lebih mengutamakan kerjaya. Faktor ini turut bertambah rumit dengan kurangnya sokongan sosial.

Faktor kelewatan dalam mendirikan rumah tangga juga menjadikan isu ini kompleks selain daripada masalah kesihatan dan kewangan.

Antara inisiatif kerajaan yang dilaksana serta diguna pakai bagi menggalakkan kadar kelahiran hidup di Malaysia adalah pindaan kepada Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan tempoh cuti bersalin dilanjutkan daripada 90 hari kepada 98 hari bagi wanita manakala cuti paterniti bagi bapa dilanjutkan daripada 3 hari kepada 7 hari.

Inisiatif kerajaan yang lain adalah sepertimana yang diumumkan Menteri Kewangan semasa pembentangan bajet 2023 dengan pemberian insentif sebanyak RM500 kepada penerima Bantuan Kewangan Malaysia (BKM) bagi yang melahirkan anak pada 2023. Inisiatif ini dilihat sebagai satu usaha bagi membantu menggalakkan kadar kelahiran.

Selain itu, masyarakat turut menyambut baik usaha kerajaan meluluskan penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama di Shah Alam yang dijangka bakal siap pada 2029.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pembinaan pusat rawatan tersebut akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan lebih komprehensif kepada pasangan yang memerlukan rawatan serta dijangka dapat melahirkan lebih banyak pakar kesuburan dari Malaysia.

Tidak kurang juga sokongan daripada syarikat-syarikat swasta sebagai majikan yang memberi bantuan daripada segi sokongan moral juga kewangan kepada pekerja khususnya kepada ibu-ibu yang baharu melahirkan anak. Tindakan majikan yang menyediakan tempat asuhan bagi anak-anak kepada ibu yang bertugas serta bantuan kewangan bagi menampung kos-kos rawatan bersalin serta penjagaan selepas bersalin wajar dipuji dan dicontohi.

Bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei yang lalu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenaikan gaji penjawat awam yang bakal melonjak lebih 13 peratus juga dilihat merupakan satu inisiatif yang amat memberangsangkan bagi kestabilan struktur sosioekonomi negara.

PEMERKASAAN HAK WANITA
Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), selaku pertubuhan masyarakat madani sentiasa aktif komited melontarkan pandangan serta pendapat bagi memastikan pemerkasaan hak-hak wanita serta kanak-kanak sejajar dengan kehendak syariah.

Antara usaha WAFIQ adalah dengan penglibatan dalam penyediaan serta pembentangan laporan negara dalam sesi mesyuarat ke-45 proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) untuk pusingan keempat di Geneva pada awal tahun ini.

Laporan yang dihantar tersebut turut mengandungi rekomendasi berkenaan pemerkasaan hak asasi manusia.

Pada tahun ini juga, WAFIQ telah turut berjaya menyediakan dan menyerahkan laporan bagi sesi ke-88 Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang akan bersidang di Geneva pada bulan Mei ini. Antara topik yang disentuh dalam laporan tersebut adalah prejudis terhadap golongan wanita di tempat kerja, pemerkasaan institusi kekeluargaan serta hak-hak pekerja wanita bagi mendapatkan sokongan sosial.

Antara rekomendasi yang diketengahkan berkenaan isu hak-hak pekerja wanita untuk mendapatkan sokongan sosial, WAFIQ menggesa pihak kerajaan untuk memberi keutamaan serta fokus yang lebih jitu ke arah pemerkasaan hak-hak wanita bagi meningkatkan semula kadar kesuburan serta kelahiran sekurang-kurangnya sehingga melepasi aras penggantian.

Antara rekomendasi khusus adalah agar pihak kerajaan turut terlibat dalam memberi peruntukan serta dorongan kepada para majikan dengan cara pemberian insentif atau potongan cukai ke atas setiap keperluan dan bantuan yang disalurkan kepada para wanita yang bekerja.

Selain itu, WAFIQ turut mengesorkan agar kerajaan dapat membuat penyelarasan yuran untuk menghantar anak-anak ke pusat asuhan jagaan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa.

WAFIQ berharap segala usaha yang datang daripada badan kerajaan, serta agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat madani membuahkan hasil bagi kesejahteraan dan keseimbangan manusia sejagat kerana sesungguhnya tangan yang menghayun buaian itu yang mampu menggoncang dunia.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×