Cina

Minat kaum Cina terhadap budaya India

TANG Ah Chai (baju merah) sering membawa kaum Cina melawat kuil Hindu. GAMBAR TANG AH CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT Cina di Malaysia pada umumnya amat berminta untuk mengetahui keunikan budaya kaum India beragama Hindu.

Perkara ini saya sedari secara nyata apabila diundang menyampaikan siri kuliah khas, Mendekati Masyarakat India di Malaysia di Akademi Tan Kah Kee, Kuala Lumpur pada September 2019.

Kuliah itu diatur oleh bekas ketua pegawai eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai.

Sepanjang tahun lalu, beliau menjadi penceramah dan pemandu pelancong dalam projek khas dua bulan sekali anjuran Penang Harmony Corporation (Harmonico) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam, Pulau Pinang.

“Sekitar 30 peserta mengikuti ceramah dan penerangan tentang sejarah dan budaya kaum India dan agama Hindu dalam bahasa Cina pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula, mereka dibawa melawat beberapa kuil Hindu supaya peserta mendapat pengalaman dan maklumat lebih mendalam,” ujar lelaki kelahiran Slim River, Perak itu.

Apa yang membuatkan komuniti Cina berminat untuk mengetahui perihal budaya India dan Hindu? Soalan itu saya kemukakan kepada Tang Ah Chai apabila kami bertemu untuk bersarapan di Brickfields, Kuala Lumpur pada 20 April lalu.

“Secara umum, komuniti Cina memang bersedia, berminat dan bersikap terbuka untuk mengambil tahu tentang budaya pelbagai kaum. Misalnya, apabila melihat bangunan kuil atau upacara keagamaan Hindu serta sambutan seperti ponggal iaitu pesta menuai, kaum Cina tertanya-tanya apakah makna di sebaliknya,” Tang Ah Chai menghuraikan.

Halangan terbesar pada masa dahulu untuk mengambil tahu hal-hal ini ialah masalah bahasa. 

Menyedari hakikat itu, lelaki berumur 63 tahun ini mengambil keputusan menjadi semacam orang tengah untuk menerangkan budaya India dan Hindu menggunakan bahasa Cina.

Sambutan yang diterima memang amat menggalakkan. Misalnya, semasa pandemik Covid-19, beliau mengadakan siri ceramah secara dalam talian. Setiap sesi disertai lebih 200 orang Cina dari Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, China dan sebagainya.

“Orang Cina sedar bahawa sebagi penduduk sebuah negara majmuk, kita memang perlu ambil tahu adat dan budaya komuniti lain. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain prejudis terhadap budaya kita, begitulah juga kaum Cina mahu mengenali budaya kaum lain bagi menghapuskan prasangka,” Tang Ah Chai menerangkan.

Media cetak bahasa Cina juga semakin berminat menyiarkan laporan dan rencana mengenai budaya India-Hindu untuk bacaan komuniti Cina. Misalnya, Tang Ah Chai menulis rencana mengenai seni bina dan sejarah kuil Hindu di akhbar Sin Chew Daily dari semasa ke semasa.

Memandangkan saya sering berkongsi maklumat mengenai budaya India dan Hindu menerusi Facebook, ramai juga peserta ceramah Tang Ah Chai menambah saya sebagai rakan.

Sering juga saya dihubungi individu dikenali dan tidak dikenali meminta penerangan tentang mitos, amalan, adat dan budaya India-Hindu. Hal ini menunjukkan kaum Cina sedia mengambil inisiatif dan sedia bertanya untuk mendapatkan jawapan bagi hal-hal yang kurang difahami.

“Saya dapati media konvensional seperti surat khabar Cina dan media baharu seperti Facebook dan TikTok membuka ruang yang lebih besar kepada kaum Cina berkongsi pengetahuan dan belajar mengenali budaya kaum India,” kata Tang Ah Chai yang sering diundang berkongsi ilmu dalam program bahasa Cina di stesen radio dan televisyen.

Baru-baru ini, seorang pemandu pelancong membawa sekumpulan kaum Cina ke Batu Caves. Sewaktu melawat gua yang mempamerkan patung-patung berkaitan kisah mitos dan purana Hindu, ada orang bertanya soalan tentang salah satu patung.

Pemandu pelancong itu segera menghubungi Tang Ah Chai untuk mendapatkan jawapan untuk diberi kepada pihak yang bertanya. Adakala Tang Ah Chai menghubungi saya jika beliau kurang pasti.

Kerjasama dan komunikasi seperti ini sebenarnya membantu mendapatkan dan menyalurkan maklumat yang sahih dan tepat kepada orang ramai. Secara tidak langsung, kita dapat mengelakkan situasi ‘tidak tahu’ yang boleh pula membawa kepada sikap prejudis yang tidak membawa apa-apa kebaikan.

BAHASA

Tang Ah Chai mengakui bahawa bahasa menjadi salah satu masalah. Hal ini kerana majoriti kaum Cina belum cukup menguasai bahasa kebangsaan dan Inggeris. Maka, apabila mereka mahu ambil tahu budaya India yang kurang dikenali, tentulah mereka mengharapkan penggunaan bahasa yang paling mudah mereka fahami.

Menurut Tang Ah Chai, buku-buku berkaitan budaya India dan Hindu sudah semakin banyak dalam bahasa Cina. Buku-buku ini diterbitkan di negara China dan Taiwan. Kebanyakan merupakan terjemahan karya bermutu dari negara India.

Selain epik Ramayana dan Mahabharata, buku-buku lain berhubung budaya komuniti India juga mudah didapati dalam terjemahan bahasa Cina. Situasi ini memudahkan lagi kaum Cina di Malaysia mengenali adat, budaya dan tradisi komuniti India dan agama Hindu.

“Walaupun boleh membaca buku, komuniti Cina masih amat berminat menyertai ceramah kerana ada peluang untuk soal-jawab dan mendapatkan maklumat tambahan. Sesi lawatan ke kuil juga semakin mendapat sambutan,” pegawai eksekutif Action Jijin Berhad yang beribu pejabat di Segambut, Kuala Lumpur menceritakan dengan penuh teruja.

Pada bulan September dan Oktober nanti, Tang Ah Chai diundang memberi ceramah dan mengetuai lawatan ke beberapa kuil Hindu di negeri Kedah. Seperti biasa, sambutan peserta kaum Cina amat menggalakkan.

Sesi seperti ini tidak sesekali bertujuan menyampaikan ajaran agama Hindu kepada peserta. Sebaliknya, sekadar membantu peserta kaum Cina mengetahui, mengenali dan memahami kisah serta rasional di sebalik budaya, seni bina, amalan dan adat kaum India.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×