PERIBAHASA Inggeris mengungkapkan ‘the sky is the limit’ atau ‘langitlah hadnya’ bagi menggambarkan ketiadaan had dalam merebut peluang yang boleh kita raih.
Namun apabila berbicara tentang langit, seringkali kita masih melihatnya sebagai suatu batas. Semudah warna ufuk yang menggelap memberi gambaran bahawa perjalanan sudah pun menghampiri batas waktunya. Tatkala matahari terbenam, suasana terus bertukar suram dan gelemat seolah-olah segala cahaya telah pupus dimakan waktu.
Walhal, hari sekadar kitaran yang berulang sepanjang masa hingga ke waktu kiamat dan kita semua akan sentiasa mempunyai peluang lebih lagi selagi diberi rezeki nyawa dan upaya.
Semangat inilah yang saya jadikan sebagai ilham kepada logo Persidangan Wikimedia ESEAP 2024 yang dihasilkan baru-baru ini.
Persidangan ini merupakan yang julung kali dianjurkan di Malaysia, maka ia menjadi satu titik kejayaan bagi komuniti kami di sini. Dengan bertemakan Kerjasama Melangkaui Ufuk, persidangan ini menyerlahkan peluang mengembangkan kejayaan usaha melalui kerjasama rentas bidang, kepentingan, ruang dan segala yang lazimnya menjadi penghalang bagi kita semua.
Sebagai pereka visual persidangan ini, saya memilih tema warna bersifat gradien ungu-biru, bukan sekadar bagi menggambarkan warna indah langit tatkala matahari terbenam yang boleh disaksikan di Kota Kinabalu, Sabah tetapi juga mengingatkan kita bahawa selepas kegelapan sentiasa akan terbit cahaya. Kita hanya perlu melihat lebih jauh daripada ufuk yang mengehadkan penglihatan diri. Hal inilah salah satu perkara yang dapat diambil sebagai pengajaran daripada persidangan ini.
Banyak ilmu serta pengajaran berharga dapat saya timba sepanjang enam hari berkampung di Kota Kinabalu baru-baru ini. Menerima jemputan bukan sekadar menyertai persidangan tetapi juga terlibat menganjurkannya ialah hadiah yang amat berharga buat diri saya. Amat besar manfaat apabila belajar daripada mereka yang mahir dan luas pengalamannya. Perkara ini dapat membuka mata kita untuk menjadi lebih teliti dan mengenal pasti isu-isu penting yang selama ini mungkin tidak pernah kita sedari atau dahulunya anggap remeh.
Persidangan ESEAP tahun ini dihadiri lebih 140 peserta daripada 13 negara rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik (ESEAP), dengan fokus untuk memperkukuhkan kerjasama serantau. Semua peserta terlibat sama membincang kaedah terbaik bagi menangani isu secara bersama, dan saling mendengar perkongsian masing-masing tentang amalan terbaik yang telah dilakukan.
Bagi gerakan sukarelawan seperti Wikimedia yang fokus terhadap ‘membebaskan’ pengetahuan, terlalu banyak perkara menjadi batas dan had bagi melakukan kebaikan serata dunia. Banyak kali kami terpaksa melalui langkah-langkah yang begitu kompleks semata-mata bagi mengelak segala rintang halangan. Semudah mengadakan mesyuarat, ada masa boleh menjadi begitu terkekang apabila kami berada di segenap penjuru dunia dan perlu berbincang di luar waktu biasa akibat zon waktu yang berbeza.
Namun begitu, itulah semangat yang perlu diangkat agar tidak dijadikan sebagai penghalang. Sebaliknya, ia boleh diangkat sebagai peluang bagi usaha demi kerjasama yang erat. Hal ini juga disebut dalam pembentangan saya yang bertajuk Penyatuan rangkaian demi ilmu bebas yang mana saya berkongsi pengalaman usaha sama Wikimedia Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam projek WikiKata.
Kerjasama tersebut sebenarnya bukanlah mudah apabila melibatkan banyak pihak yang latar belakangnya berbeza. Namun disebabkan kesungguhan tersebut, kepelbagaian kemahiran itulah yang menjadi punca kejayaan dan pembakar semangat bagi meneruskan usaha kelak.
Nilai ini bukan sahaja boleh kita terapkan dalam kerja atau usaha kesukarelawanan kita, tetapi sebenarnya juga begitu berguna dalam kehidupan secara umum. Kadangkala kita menghadapi masalah dalam kehidupan yang membawa kesukaran yang berat terhadap diri dan sekeliling kita.
Ramai yang melihatnya sebagai halangan dan ramai terus berputus asa. Walhal, sebenarnya ia boleh diangkat sebagai peluang untuk diri kita terus menguatkan diri demi melangkah lebih jauh.

PELUANG
Pengajaran ini telah banyak membantu diri saya sepanjang menghadapi pelbagai rintangan kehidupan. Daripada itulah dapat saya terus bersemangat untuk pelbagai perkara lagi walaupun menghadapi kesukaran, kerana jelas sekali segala batas yang dilihat sebenarnya boleh dijadikan peluang jika kita berfikir di luar kotak.
Malah, sambil menganjurkan persidangan ini juga kami menghadapi seribu satu masalah, termasuk pada malam ambang persidangan dan juga ketika majlis pembukaannya. Walaupun saya terpaksa menyelesaikan masalah teknikal sambil sibuk mengacara majlis, ia melatih kami semua untuk terus tenang dalam keadaan bermasalah. Akhirnya, kami boleh menemui penyelesaian dan tidak sekadar tersangkut kerana satu masalah yang besar.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah yang tercatat di fikiran saya semasa menyaksikan persembahan penutup nyanyian lagu Standing in the Eyes of the World oleh salah seorang penggerak Wikimedia beretnik Kadazandusun. Dalam keperitan menghadapi segala permasalahan sepanjang penganjuran majlis itu, akhirnya kami tetap berjaya.
Walaupun saya sendiri salah seorang yang mencadangkan tema Kerjasama Melangkaui Ufuk, saya rasa lebih memahami maknanya setelah usai menjalankan persidangan tersebut.
Ungkapan lihat di seberang ufuk bukan sekadar merujuk kepada memikir di luar kotak demi peluang yang lebih besar, tetapi lebih umum lagi membawa makna langsung tidak mengehadkan pemikiran kita.
Segala batas upaya hanyalah bayangan fikiran semata-mata, maka kita perlu meluaskan fikiran dan menguatkan semangat diri. Faham akan apa yang kita ingin lakukan dan mengapa kita inginkannya. Keghairahan itu akan memacu kita ke hadapan.
Dengan semangat sebegini, bayangan sebuah dunia di mana setiap insan diberi capaian bebas kepada segala ilmu pengetahuan manusia tidak jauh daripada menjadi kenyataan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










