Mukadimah
SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya pada 1 Mei lalu berhubung gaji penjawat awam, timbul persoalan bagaimana kerajaan mendapatkan dana RM10 bilion kesan kenaikan melebihi 13 peratus bermula hujung tahun ini?
Penjawat awam sebenarnya belum boleh menarik nafas lega, kerana ada yang mendakwa kerajaan bakal memperkenalkan cukai baharu atau meningkatkan kadar cukai sedia ada, sebagai timbal balik bagi menyeimbangkan kesan kewangan negara.
Di sudut lain, warga perkhidmatan awam pula diseru melaksana tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab, memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membetulkan stigma yang ‘kakitangan kerajaan ramai, tetapi hanya satu kaunter yang buka’.
Ketua Setiausaha Negara, TAN SRI MOHD. ZUKI ALI berkongsi pandangan dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN baru-baru ini. Beliau turut mengulas isu integriti penjawat awam dan dasar-dasar dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
NAIK GAJI
MINGGUAN MALAYSIA: Kenaikan gaji kakitangan kerajaan lebih 13 peratus iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara. Bagaimana kerajaan menampung peruntukan itu?
MOHD. ZUKI: Setelah lebih 12 tahun, memang ada keperluan untuk kerajaan menyemak semula penggajian penjawat awam supaya dapat meningkatkan pendapatan boleh guna dan menampung kos sara hidup.
Maka, aspek pengurusan kewangan berhemah akan sentiasa diberi perhatian khususnya dalam mencegah ketirisan dan pembaziran. Langkah meningkatkan kecekapan kutipan hasil dan memastikan pentadbiran cukai yang baik akan memberi pertambahan dalam menjana hasil negara.
Selain itu, usaha meningkatkan keupayaan perbelanjaan menerusi program berimpak tinggi, menambah baik produktiviti sektor awam dapat menjana penjimatan dalam perbelanjaan awam. Ini sekali gus menjana ruang fiskal untuk menampung perbelanjaan tambahan.
Kerajaan kekal komited menguruskan kewangan secara berhemah dan perbelanjaan yang optimum supaya hasil tambahan dan penjimatan dapat disalur semula kepada rakyat, termasuk penjawat awam terutama pengorbanan mereka sewaktu pandemik Covid-19.
CUKAI BAHARU
Apakah ini bermaksud kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu?
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sebarang pengenalan langkah hasil akan dikaji secara menyeluruh dan mengambil kira objektif kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Perkara ini seiring titah Yang di-Pertuan Agong dan perkara yang termaktub di dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.
Untuk makluman, hasil cukai kerajaan merosot dalam lingkungan 11 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding lebih 13 peratus sebelum pandemik Covid-19. Tahap ini juga lebih rendah berbanding negara serantau serta tidak seiring dengan negara berpenarafan kredit A yang mencatat kadar hasil lebih tinggi.
Sebab itu, mengapa akta tanggungjawab fiskal ini diluluskan di Parlimen pada tahun lalu yang akan meningkatkan akauntabiliti kerajaan dalam mentadbir urus kewangan negara.
Oleh itu, kerajaan akan sentiasa membuat perincian segala aspek dan faktor sebelum membuat keputusan dasar terutama melibatkan implikasi kewangan yang baharu.
Kerajaan perlu memastikan kedudukan kewangan yang telus dan mapan supaya berupaya mendepani krisis yang berlaku seperti pandemik Covid-19 dan skandal kewangan terbesar 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.
Seri Paduka juga bertitah untuk meneliti setiap perbelanjaan kerajaan dan harapan kerajaan mencatat lebihan fiskal pada masa hadapan.
Sebenarnya, kenaikan gaji penjawat awam ini berapa peratus? 13 atau 15 peratus?
Seperti yang diumum Perdana Menteri pada 1 Mei lalu, pemberian pelarasan gaji kali ini lebih tinggi berbanding pelarasan gaji terakhir yang diterima penjawat awam pada 2012 iaitu 13 peratus. Perinciannya akan diumum pada tahun ini juga. Jadi, tunggu dan lihat.
JANGAN TAMBAH HUTANG
Kakitangan awam dinasihat supaya kawal perbelanjaan terutama dalam mencipta hutang baharu. Komen Tan Sri?
Peningkatan gaji kali ini pasti meningkatkan perbelanjaan boleh guna penjawat awam. Maka, saya menyeru kepada penjawat awam mengoptimum perbelanjaan diri dan keluarga berdasarkan keperluan.
Jangan pula kita (penjawat awam) jadikan peluang ini untuk mencipta hutang-hutang yang tidak mendesak dan tidak perlu, kerana jika kita tidak membuat perancangan kewangan yang baik dan teliti, setinggi mana pun gaji diterima tetap tidak akan mencukupi. Saya menyeru kepada kementerian dan agensi untuk mengadakan program pengurusan kewangan berkesan untuk penjawat awam.
KERAJAAN ADA STRATEGI
Selepas pengumuman kenaikan gaji, apa rancangan seterusnya bagi memastikan gaji baharu penjawat awam kekal mapan dan mampan?
Jangan bimbang, kerajaan ada strategi dan kaedah bagi menampung komitmen tambahan. Ini berikutan kenaikan gaji penjawat awam yang sudah dibincangkan dan dimuktamadkan dalam Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang turut dianggotai Kementerian Kewangan.
Jika strategi ini diterjemah dengan pelaksanaan yang cekap dan efektif, maka, kedudukan fiskal negara akan mengukuh seterusnya kerajaan mampu memastikan gaji penjawat awam kekal mapan seiring keperluan semasa.
Kerajaan sentiasa peduli mengenai kadar gaji penjawat awam bagi memastikan ia adalah pada satu kadar munasabah dan kompetitif bagi mengekalkan serta menarik bakat-bakat terbaik. Maka, kerajaan perlu meningkatkan hasil, menerap perbelanjaan nilai yang melihat kepada aspek pengoptimuman sumber, tiada pembaziran dan ketirisan.
Jadi, apa ‘harga’ yang harus dibayar penjawat awam?
Cabaran kepada perkhidmatan awam adalah peluang untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam.
Penularan Covid-19, pergolakan geopolitik dunia dan ketidaktentuan ekonomi dunia turut memberi impak terhadap peningkatan kos sara hidup, manakala trend perubahan kadar inflasi yang meningkat saban tahun memberi kesan terhadap kebolehan berbelanja rakyat dan penjawat awam untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Oleh itu, penjawat awam perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. Perubahan yang berlaku di peringkat global seperti krisis kos sara hidup perlu dijadikan rujukan dan tidak dilihat sebagai halangan dalam memberi perkhidmatan terbaik.
KUALITI PERKHIDMATAN PERLU DITINGKATKAN
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga menyeru kualiti perkhidmatan awam mesti lebih baik selepas ini. Bagaimana?
Bukan saya seorang sahaja, malah Perdana Menteri meletakkan harapan tinggi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan tahap kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, seiring pengumuman kenaikan gaji dan jangkaan rakyat serta pemegang taruh.
Terdapat perdebatan mendakwa kenaikan gaji penjawat awam ini tiada garis panduan jelas. Benarkah?
Seperti saya kata tadi, perinciannya akan diumum pada tahun ini juga. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperinci keterangan pelarasan gaji penjawat awam ini menerusi Pekeliling
Perkhidmatan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan akan adakan sesi penerangan kepada penjawat awam mengenai kandungan SSPA, sebelum penjawat awam diberi pilihan sama ada menerima atau menolak opsyen SSPA ini.
KAJIAN SSPA
Kebetulan Tan Sri membangkitkan tentang SSPA. Bagaimana perkembangan kajiannya setakat ini?
Kita perlu tahu, SSPA merupakan sistem baharu yang akan diperkenal kerajaan bagi mengganti Sistem Saraan Malaysia yang diguna pakai ketika ini. SSPA adalah asas yang mendasari keseluruhan ekosistem pembangunan dan pengurusan modal insan perkhidmatan awam termasuk gaji, elaun, kemudahan, skim perkhidmatan, pembangunan kerjaya, tatatertib dan sebagainya.
Kesemua ini adalah asas utama dalam pelaksanaan kajian SSPA bagi meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam. Pendapatan boleh guna ini diperhalusi berdasarkan kadar kuasa beli pengguna dan keadaan inflasi semasa negara bagi memastikan formula skim upah lebih adil, munasabah, selaras prinsip kadar upah untuk kerja dengan penekanan terhadap aspek kompetensi dan produktiviti.
Saya tidak menafikan gaji adalah aspek paling utama dan menjadi perhatian berikutan impak kenaikan ini boleh menyebabkan dinamik berkaitan perihal ekonomi negara termasuk peningkatan kuasa beli, inflasi dan tekanan pihak swasta melaksanakan perkara sama.
Insya-Allah, perincian mengenainya akan dimaklumkan setelah keseluruhan inisiatif kajian SSPA merangkumi semua aspek modal insan perkhidmatan awam dibentang dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya pada awal suku tahun kedua bagi mendapatkan mandat untuk keseluruhan SSPA dilaksanakan.
Apakah yang sudah dimuktamadkan dalam kajian SSPA?
Kerajaan kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan keseluruhan kajian SSPA dan akan diumum tahun ini melalui platform bersama penjawat awam.
Walau apa pun, kajian ini dijalankan secara menyeluruh kerana akan menjadi dasar bagi pengurusan modal insan perkhidmatan awam yang akan menumpukan kepada peningkatan tahap kecekapan dan produktiviti menerusi penambahbaikan terhadap pelbagai aspek.
Sesi libat urus yang terangkum dan inklusif dalam pelbagai platform untuk meneliti setiap cadangan bersama semua peringkat perkhidmatan, kesatuan pekerja perkhidmatan awam, pemegang taruh dan pihak berkepentingan akan memastikan tiada penjawat awam yang tidak mendapat manfaat melalui peningkatan gaji, pembangunan kerjaya, pemerkasaan kompetensi dan merealisasi potensi diri.
Dalam hal ini, Jawatankuasa Induk Kajian SSPA dipengerusikan Perdana Menteri adalah saluran yang digunakan bagi menetapkan keputusan melibatkan kepentingan dan kemudahan berkaitan perkhidmatan awam. Oleh itu, pakej/inisiatif di bawah kajian ini perlu diperhalusi sebaik mungkin menerusi jawatankuasa berkaitan.
Ini bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam menerusi penambahbaikan, khususnya terhadap aspek modal insan serta prestasi penjawat awam.
Paling penting, golongan pesara juga tidak pernah dilupai. Pelarasan gaji penjawat awam juga akan memberi manfaat kepada pesara kerajaan menerusi penyelarasan bagi kadar pencen yang dinikmati.
INTEGRITI
Kata Perdana menteri, penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi baik, pemalas dan sering lewat datang kerja, tidak layak menerima kenaikan gaji. Berapa besar kes prestasi tidak baik dalam kalangan penjawat ini memberi kesan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat?
Sejak Dasar Pemisah (Exit Policy) diperkenal pada 2015, seramai 3,238 pegawai didapati memperoleh penilaian prestasi di bawah 60 peratus yang dikategori sebagai pegawai berprestasi rendah.
Angka tersebut hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan penjawat awam.
Kelompok kecil ini sebenarnya tidak mencerminkan keseluruhan prestasi penjawat awam yang rata-ratanya menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap setiap tugasan.
Namun, saya akui penjawat awam boleh meningkatkan lagi perkhidmatan mereka ke tahap lebih baik.
Pun begitu, isu pegawai berprestasi rendah akan tetap menjadi keutamaan kerajaan bagi membolehkan hanya pegawai yang benar-benar mempunyai kesungguhan dalam memberi yang terbaik akan kekal berkhidmat.
Oleh itu, sebagai pelengkap kepada kitaran pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam dan bagi memastikan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan, kerajaan sedang memperkukuh lagi dasar pemisah bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai bermasalah dan berprestasi rendah.
PENCEN
Pencen dikatakan membebankan kewangan kerajaan kerana terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk para pesara kerajaan, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikatakan sebagai alternatif lebih baik untuk pesara. Komen Tan Sri?
Ketika ini, skim pencen sedia ada bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan pesara sedia ada masih diteruskan. Namun, implikasi kewangan dapat dilihat terhadap tanggungan faedah persaraan yang semakin meningkat setiap tahun.
Pada 2023, jumlah perbelanjaan faedah persaraan adalah RM32 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030. Bagi memastikan kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan, kami sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap dan membentang hasil kajian kepada Kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan pelaksanaannya.
Segala keputusan berkaitan perkara ini semestinya menimbangkan segala aspek termasuk kemampuan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang, dengan tidak melupakan aspek kebajikan penjawat awam yang sedia ada dan pendekatan baharu skim persaraan untuk lantikan akan datang.
URUS TADBIR KERAJAAN PERPADUAN
Bagaimana Tan Sri melihat pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Perdana Menteri amat menitikberatkan soal tatakelola pentadbiran kerajaan sebaik sahaja beliau menerajui kerajaan.
Buktinya, beliau menubuhkan dan mempengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tatakelola Nasional (JKKTN), malah saya sendiri diamanahkan untuk mempengerusi Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional melibatkan semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Ini berbeza dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang memfokuskan kepada pembanterasan rasuah.
JKKTN mempunyai peranan lebih besar dan luas meliputi tadbir urus baik, kecekapan pentadbiran dan sistem penyampaian.
JKKTN adalah pemacu tatakelola di peringkat tertinggi yang menerajui perancangan dan pembangunan dasar nasional dalam aspek tadbir urus, integriti dan anti rasuah serta memantau dan memastikan kebertanggungjawaban semua pihak di peringkat kebangsaan, kementerian, jabatan, agensi Persekutuan dan negeri untuk menjayakan inisiatif ini.
Selain itu?
Kerajaan turut mengiktiraf organisasi sektor awam yang lebih berintegriti menerusi Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) yang julung kali diperkenal dan dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) pada tahun lalu.
Saya sebagai Pengerusi IIM memberi tumpuan kepada pengiktirafan kepada organisasi melaksanakan tatakelola yang cekap, telus dan berintegriti.
Dari aspek pengurusan kewangan pula, perdana menteri menekankan tentang pentingnya pengurusan berhemah, mengoptimum perbelanjaan mengikut keperluan bukan lagi mengikut kehendak, menjajarkan semula keutamaan kepada program dan projek yang memberi pulangan nilai dan impak tinggi kepada kumpulan sasar serta manfaat secara terus kepada rakyat.
Begitu juga dengan perolehan kerajaan, ia perlu mengikut tatacara dan prosedur yang digariskan dalam tatacara perolehan kerajaan terutama melibatkan penawaran tender secara terbuka bagi menjamin integriti dan ketelusan jabatan yang melaksanakan proses itu.
Apakah dasar kerajaan yang sudah dan bakal dilaksana dan memberi kesan besar dalam pengurusan, pentadbiran kerajaan dan rakyat?
Kerajaan memperkenalkan Agenda Malaysia Madani yang merupakan nilai fundamental kepada semua dasar kerajaan lain. Mendasari agenda ini adalah Ekonomi Madani menyaksikan kerajaan menyasarkan negara berada antara 30 ekonomi terbesar dunia dan 12 negara paling berdaya saing dalam tempoh 10 tahun.
Dalam hal ini, perkara pertama disentuh Perdana Menteri untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar, justeru, pelbagai usaha dan program dilaksana dengan kerjasama rentas agensi Persekutuan dan negeri.
Hasilnya, tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka mencapai sasaran tersebut, manakala bagi negeri-negeri lain, usaha giat dilaksana ke arah membasmi miskin tegar.
Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk meneliti isu-isu berbangkit yang menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan.
Ini sekali gus menangani isu birokrasi dan kelewatan ditangani menerusi business process reengineering (BPR) serta penyelesaian rentas agensi. STAR dipengerusikan oleh saya sendiri.
Kerajaan turut memperkenalkan Kerangka Strategik Malaysia Madani, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dan banyak lagi.
Saya percaya, perkhidmatan awam sentiasa menyokong dan melaksana dasar-dasar yang bakal diperkenal kerajaan pada masa hadapan. –Mingguan.










