BN makin hilang dari pandangan - Utusan Malaysia

BN makin hilang dari pandangan

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEPATAH yang popular dalam kalangan kita ialah jauh di mata, tetapi dekat di hati. Tetapi ada juga yang berkata, apabila jauh di mata lama kelamaan ia boleh menyebabkan jauh di hati. Ibarat kata-kata Inggeris out of sight, out of mind.

Kalau sudah lama kita tidak bersua, tidak melihat apatah jika tiada interaksi maka lama-kelamaan rasa sayang boleh hilang, cinta boleh putus di tengah jalan, segala kenangan, jasa lenyap dari fikiran dan ingatan.

Ini bukan soal hubungan manusia dengan manusia sahaja, dalam senario sekarang hubungan parti politik dan pengundi pun boleh terungkai jika lama sangat ia hilang dari pandangan dan fikiran rakyat.

Ramai pemerhati politik merasakan itu boleh berlaku kepada Barisan Nasional (BN) jika mereka terus tenggelam dalam gelanggang politik negara terutama dalam pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya umum (PRU).

Selepas 60 tahun menerajui takhta liga politik Malaysia, BN semakin hari semakin terbelakang selepas kekalahan pada PRU14.

Walaupun mereka kini adalah sebahagian daripada komponen dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi dalam kalangan rakyat termasuk penyokong mereka sendiri BN semakin kabur dari pandangan.
Selama ini mana pernah BN tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Sama ada PRK atau PRU, BN tidak pernah gagal meletakkan calon mereka.

Tetapi kini, disebabkan kompromi dalam pakatan, BN memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang mana mereka turut menyokong calon dari DAP.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa BN semakin hilang daripada radar atau dari pandangan para pengundi Cina, sebab itu mereka terpaksa mengalah kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan di kawasan pilihan raya yang majoriti pengundinya berketurunan Cina.

Kalau dilihat kepada trend pilihan raya pasca PRU15, BN turut menghadapi masalah untuk menarik perhatian pengundi di kawasan yang ramai pengundi Melayu termasuk di luar bandar yang merupakan kubu kuat mereka selama ini.

Sebab itu, pada pilihan raya di empat negeri baru-baru ini, BN lenyap dalam peta pilihan raya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sebelum ini walaupun tidak menang dengan Pas di Kelantan, tetapi BN tetap mampu memberikan saingan sama ada di DUN mahu pun di Parlimen. Kini BN juga tanpa kerusi DUN dan Parlimen di Perlis, Kedah dan Terengganu.

Jadi, apa harapan yang ada pada BN dalam menuju PRU16 sekitar tiga tahun lagi? Di mana mereka akan bertanding? Adakah mereka hanya akan bergantung kepada ihsan daripada rakan-rakan pakatan dalam Kerajaan Perpaduan untuk meletakkan calon?

Selepas PRK Kemaman, Keputusan-keputusan pilihan raya selepas PRU14 memberi gambaran bahawa BN semakin jauh di hati pengundi. Walaupun berjaya mencatat kejayaan cemerlang di PRN Melaka dan Johor, namun momentum itu tidak berterusan pada PRU15. Dan siri-siri PRK selepas itu termasuk Kemaman menunjukkan jurang yang ketara antara BN dan parti-parti lain.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan pernah berkata, bahawa BN perlu segera bermuhasabah dan perlu sedar yang pencapaian gabungan itu semakin tidak memberangsangkan.
Ia adalah isyarat kepada pimpinan parti dalam merangka strategi utuh untuk menghadapi PRU16.

Adakah mereka akan turun ke gelanggang hanya sebagai pelengkap kepada PH atau mereka akan turun dengan kekuatan sendiri bertanding di semua kawasan seperti sebelum ini? Adakah BN masih memiliki kekuatan itu? Atau mereka hanya akan mempertahankan 30 kerusi Parlimen yang mereka miliki sekarang? Itu pun jika mampu.

Pada pengundi, BN kini semakin hilang dari pandangan mereka ekoran mereka terlindung di bawah bayang-bayang Kerajaan Perpaduan yang didominasi oleh PKR dan DAP. Lebih-lebih lagi apabila tidak kelihatan kehadiran calon mereka di PRK.

Mungkin itu cara terbaik untuk BN kekal dalam kerajaan. Cukup sebagai pelengkap yang membantu membentuk kerajaan dengan dua tiga orang wakil ada dalam Kabinet.

Isu dan punca pokok di mana? Kenapa rakyat tidak yakin dan merasakan BN yang ditunjangi UMNO bukan pilihan utama mereka? Adakah mereka merasakan BN yang merupakan gergasi politik negara satu ketika dahulu kini sekadar parti picisan yang tidak mampu memperjuangkan aspirasi mereka?

Atau kerana sokongan mereka kepada PH yang turut dianggotai DAP menjadi sebab utama mereka ditolak rakyat?

Bagaimana pula dengan isu dan pelbagai persepsi negatif yang masih lagi membelenggu BN dan UMNO? BN tersungkur pada 2018 kerana rakyat menolak parti itu yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Adakah ia sudah ditangani?

Isu itu masih belum luput. Masih ada dua tiga pemimpin BN yang masih diheret turun naik mahkamah. Kes 1MDB sampai sekarang belum selesai. Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia ia masih dibicarakan.

Ini adalah legasi yang terlalu berat untuk memulihkan imej BN. Apakah pula usaha-usaha yang dilakukan untuk membersihkan BN daripada segala persepsi ini dan mengembalikan ia sebagai parti politik yang dominan?

Satu lagi persoalan yang timbul adakah BN kini hanya tinggal UMNO sahaja? Selepas Gerakan keluar menyertai Perikatan Nasional (PN) dan komponen-komponen dari Sabah dan Sarawak membentuk gagasan mereka sendiri selain ‘perang’ mulut dengan MCA dan MIC apa lagi yang tinggal dalam BN?

Jika masih ada parti dalam BN mereka perlu duduk semeja melakukan bedah siasat mencari sebab serta faktor penolakan rakyat sejak dari PRU15?

Jika para pemimpin BN tidak mengambil serius kepada semua persoalan ini, rasanya ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mereka hilang dari pandangan pengundi.

Lihat apa yang berlaku kepada Golkar di Indonesia, Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dan Kongres Nasional India di India. Satu ketika dahulu parti-parti ini adalah tonggak kekuatan kepada kemajuan negara terbabit. Kini mereka hilang kuasa dan sokongan rakyat. Adakah BN dalam proses untuk mengalami nasib yang sama seperti mereka?

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN