ALOR SETAR: Penduduk Kampung Baru, Jalan Istana Lama, di sini berdepan detik paling sukar dalam hidup mereka apabila menerima notis mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 30 hari.
Penduduk mendakwa kampung itu bukan sekadar kawasan kediaman biasa, sebaliknya mempunyai nilai sejarah kerana diterokai oleh generasi terdahulu yang pernah berkhidmat dengan institusi istana sejak zaman Istana Sepachendera.
Penduduk, Rahani P. Harun, 76, berkata, dia menetap di rumah berkenaan selepas berkahwin dengan Allahyarham suaminya, Ahmad Mustafa yang merupakan generasi kedua penempatan tersebut.
“Penempatan ini diteroka datuk nenek kami sejak 100 tahun lalu dan arwah suami pun bekerja di istana sehingga bersara pada 2000. Di sinilah saya besarkan lima anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).
“Namun pada 28 Jun lalu, kami menerima notis supaya mengosongkan kawasan ini dalam tempoh 30 hari. Sudah tentu saya sangat sedih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya semalam.
Tinjauan mendapati terdapat lapan buah rumah di penempatan tradisi itu yang dihuni kira-kira 50 ahli keluarga daripada generasi pewaris peneroka asal.
Rahani berkata, notis berpindah dalam tempoh 30 hari itu sangat tidak adil kepada penduduk di kawasan tersebut kerana seolah-olah mereka mendiami kawasan setinggan.
“Penempatan ini mendapat restu istana dahulu, bapa mentua saya, Allahyarham Mustafa Tam mendapat kebenaran membina rumah di sini ketika bertugas sebagai Pegawai Perhutanan Negeri dan Setiausaha Pejabat Zakat Negeri sebelum meninggal pada 1971 dan arwah suami saya mewarisinya,” katanya.
Anaknya, Nor Safeenza Ahmad, 56, memberitahu, sejak menerima notis tersebut penduduk hidup dalam kebimbangan dan kebuntuan memikirkan masa hadapan mereka.
“Kami tahu tempat ini bukan tanah kami kerana penduduk tiada apa-apa geran, namun meminta penduduk keluar dalam tempoh 30 hari sangat tidak adil. Ke mana mereka mahu pergi terutama yang sudah tua,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Suraya M. Chandran, 37, yang juga generasi ketiga penempatan itu berkata, ia sangat menyedihkan jika penempatan warisan tersebut hilang daripada peta Alor Setar.
“Bapa saya dulu bekerja sebagai tukang kebun di istana termasuk datuk saya berkhidmat di Istana Sepachendera. Kampung ini adalah sejarah dan sedih jika dilenyapkan begitu sahaja. Namun kami faham tuntutan pembangunan cuma kami harap mendapat layanan sewajarnya, bukan seperti penghuni rumah setinggan,” katanya.
Muhammad Hafiffy Halim, 37, pula berkata, walaupun belum menerima sebarang notis namun turut merasa bimbang dengan nasib yang sama pada masa hadapan.
“Keluarga saya belum dapat notis lagi tetapi memandangkan jiran-jiran sudah dapat mungkin giliran kami tidak lama lagi. Dahulu arwah datuk dan bapa saya pernah bekerja di dapur istana sehingga akhir hayat mereka.
“Kami bukan bina rumah di kawasan setinggan kerana dahulu datuk nenek kami dibenarkan membina rumah di sini cuma masalahnya orang dulu-dulu cakap mulut sahaja dan tidak ada dokumen,” katanya. – UTUSAN










