IPOH: Kerajaan negeri akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan pelan pembangunan negeri itu kekal relevan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian itu merangkumi penyelarasan indikator pemantauan semasa agenda, penambahbaikan agenda dan flagship, serta pemutihan dan semakan projek Dashboard (papan pemuka) Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 terus diperkemas selaras dengan keperluan semasa dan hala tuju pembangunan negeri.
Beliau berkata, kajian berkenaan turut mengambil kira penilaian semula terhadap keberkesanan pelaksanaan agenda sedia ada, selain dapatan sesi libat urus dan Perak Policy Research Conference 2026.
Katanya, ia juga akan memberi perhatian kepada keperluan menjajarkan semula hala tuju pembangunan negeri dengan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta trend ekonomi baharu.
Saarani berkata, selepas empat tahun pelaksanaannya, kerajaan negeri mahu memastikan Perak Sejahtera 2030 bukan sahaja dinilai berdasarkan jumlah projek atau program, tetapi juga keberhasilan sebenar kepada rakyat.
“Penyelarasan indikator pemantauan penting supaya tahap kemajuan, jurang pencapaian dan keutamaan intervensi dasar dapat dikenal pasti dengan lebih jelas,” katanya.
Beliau berkata, pemutihan dan semakan projek Dashboard Perak Sejahtera 2030 pula akan memastikan projek serta inisiatif yang dipantau benar-benar selari dengan hala tuju pembangunan negeri.
Saarani berkata, fasa seterusnya pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 turut memberi tumpuan kepada projek quick wins yang bersifat segera dan bersasar sebagai pelengkap kepada usaha memperkemas pelaksanaan pelan itu.
“Semua langkah itu akan menjadi asas untuk memastikan Perak Sejahtera 2030 terus menjadi kerangka pembangunan yang hidup, dilaksana dan memberi makna kepada kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN










