KONSEP Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandungi enam tonggak utama, iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
Mengenai Ihsan, dalam buku beliau bertajuk “Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi”, Perdana Menteri menulis: “Ihsan itu sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan… Perasaan ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.’”
Pentadbiran awam selama ini sering kali dilihat sebagai kurang mempunyai ciri ihsan, birokrasinya menyulitkan, lambat dan kurang responsif terhadap keperluan dan harapan masyarakat. Proses pembuatan keputusan yang panjang dan terlalu sukar, serta kurangnya inovasi dan fleksibiliti, menjadi ciri utama dalam pentadbiran awam sebelum ini.
Di bawah konsep Malaysia Madani, penekanan utama kerajaan ialah kepentingan dan keperluan masyarakat sebagai fokus utama dalam pembangunan dan pengurusan perkhidmatan awam. Ini termasuk pengiktirafan bahawa rakyat adalah pelanggan utama perkhidmatan awam dan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan yang efektif, berkesan dan bertanggungjawab kepada mereka.
Penjawat awam khususnya yang terlibat dalam pengurusan projek perlulah mempunyai kemahiran tertentu untuk memastikan bahawa organisasi awam dapat memberikan nilai yang maksimum kepada masyarakat dan memenuhi aspirasi untuk pembangunan yang inklusif, adil, berkualiti dan berdaya saing.
Antara kemahiran ini ialah merancang dengan berkesan, melibatkan penggunaan sumber secara bijak untuk memastikan keberlanjutan projek dan penggunaan yang optimum dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ia juga memerlukan pemikiran kreatif untuk menghasilkan penyelesaian yang inovatif dan efektif bagi cabaran yang dihadapi.
Seterusnya ialah melaksanakan dengan cekap, melibatkan penggunaan sumber secara efisien untuk mencapai matlamat projek tanpa pembaziran. Pelaksanaan projek yang cekap harus memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh, meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan mereka.
Memantau dan mengawal projek dengan teliti pula akan membolehkan pengenalpastian awal terhadap isu-isu dan risiko-risiko yang mungkin timbul, membolehkan tindakan korektif diambil dengan cepat. Ia akan memastikan bahawa pelaksanaan projek memberi manfaat sebesar mungkin kepada masyarakat, serta meminimumkan risiko-risiko yang mungkin memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mereka.
Selanjutnya, menyelesaikan masalah memerlukan pemikiran kreatif untuk mengatasi cabaran dan menghasilkan penyelesaian yang efektif. Dengan keyakinan, pengurus projek akan bersedia untuk menghadapi cabaran dan mencari penyelesaian yang sesuai tanpa mengorbankan prinsip dan nilai-nilai yang penting.
Berfikiran kreatif dan berdaya saing juga akan membolehkan pengurus projek mencipta penyelesaian yang inovatif untuk mencapai matlamat projek selain akan memastikan projek berjalan secara berkesan dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat tanpa mengorbankan keperluan generasi akan datang.
Sentiasa positif dan berkeupayaan untuk berkomunikasi juga amat penting melalui penunjukan rasa hormat kepada semua pihak yang terlibat dalam projek. Komunikasi yang efektif dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan memastikan kejelasan dan kefahaman terhadap pelaksanaan projek.
Akhirnya, berakhlak mulia dalam pengurusan projek menunjukkan kebaikan hati dan tujuan yang baik, dengan berusaha untuk memberi manfaat maksimum kepada masyarakat dan mengutamakan kepentingan umum.
Untuk membolehkan penjawat awam khususnya yang terlibat dalam pengurusan projek bersifat ihsan, adalah penting untuk mereka terlebih dahulu mempunyai sifat kesyukuran kerana tidak mungkin untuk sifat ihsan kepada orang lain ditunjukkan jika mereka sendiri tidak bersyukur.
Pentingnya kesyukuran kepada penjawat awam kerana ia akan membantu membawa anjakan paradigma mereka untuk menghargai dan mensyukuri peluang, sumber dan sokongan yang mereka terima dalam menjalankan tugas mereka. Mereka akan lebih bertenaga dan bermotivasi untuk memberikan yang terbaik dalam menjalankan projek, amanah dan tanggungjawab yang dipikul ini akan dapat meningkatkan kepuasan dan kesejahteraan masyarakat.
Sikap kesyukuran juga akan membantu penjawat awam menghargai nilai setiap usaha yang dilakukan dalam menjalankan projek serta amanah yang diberikan. Ini dapat memperbaiki produktiviti dan kecekapan kerja, kerana mereka akan bekerja dengan lebih tekun dan berdedikasi dalam mencapai matlamat projek dan aktiviti yang telah ditetapkan.
Kesyukuran juga boleh membantu menangani stres dan tekanan yang mungkin dialami oleh penjawat awam semasa melaksanakan projek-projek yang sukar atau amanah. Dengan bersyukur, mereka dapat melihat sisi positif dalam setiap cabaran dan mencari penyelesaian dengan lebih positif, berhikmah dan tenang.
Penjawat awam yang bersyukur juga cenderung untuk lebih menghargai sumbangan dan sokongan dari rakan sekerja, pasukan projek dan pihak berkepentingan lain. Ini dapat membina hubungan yang lebih baik dan meningkatkan kolaborasi dalam projek-projek, yang dapat meningkatkan keberhasilan projek serta melincinkan urusan dalam organisasi dalam suasana yang harmoni, positif dan dinamik.
Kesyukuran juga adalah satu aspek penting dalam memperkukuhkan komitmen kepada nilai-nilai Madani yang lain kerana dengan bersyukur, penjawat awam akan lebih cenderung untuk bertindak dengan integriti, hormat dan keadilan dalam menjalankan tugas serta dalam pengurusan projek mereka dengan berperanan sehabis komited kepada kecemerlangan dengan tanggungjawab yang diberikan.
Penjawat awam seharusnya bersyukur dengan pengumuman kenaikan gaji mereka pada 1 Disember depan yang menggambarkan betapa prihatinnya Perdana Menteri terhadap nasib penjawat awam. Melalui rasa kesyukuran begini, mereka perlulah berusaha membalas budi kerajaan dengan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat sekali gus membawa satu anjakan paradigma dalam membentuk karakter cemerlang penjawat awam Madani.
Ini selaras dengan satu hadis nabi berbunyi “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) serta satu lagi hadis nabi berbunyi “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain” (Riwayat Ibn Hibban). Demikianlah pentingnya kesyukuran untuk membentuk nilai ihsan. – UTUSAN
NURULAINI Zamhury adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Kampus Sungai Petani, Kedah.










