KEKUATAN orang Melayu sebenarnya adalah pada kerajaan. Mengapa? Kerana orang Melayu tidak ada dalam perniagaan yang besar, melainkan padi.
Tetapi sekarang padi pun sudah berdikit-dikit lenyap nilainya dari tangan Melayu.
Walaupun masih lagi Melayunya, tetapi masa depan padi orang Melayu tidak ada jaminan. Dari segi kedudukan ekonomi, Melayu memang sudah jauh tertinggal. Kalau sebut ayam, kartelnya bukan Melayu. Jadi yang tinggal pada Melayu adalah kuasa. Apakah kuasa ini boleh kekal selama-lamanya?
Sekarang ini kalau dilihat pun, orang Melayu semua jadi pembangkang. Apa yang boleh menyatukan kekuatan Melayu? Parti politik, sentimen atau ada perkara lain? Tidak ada.
Apakah parti-parti politik sedia ada yang wujud sejak tahun 1940-an, kemudian muncul yang baharu di era 1990an, bercambah ke tahun-tahun 2000 adalah platform yang memecahbelahkan Melayu?
Lagi lama kita berparti, lagi pecah kita. Dan orang Melayu kalau ikut parti, tidak akan boleh bekerjasama dengan pihak lain. Kalau parti itu, parti itulah dia. Kalau tidak sokong parti itu, dia dilabelkan pengkhianat.
Padahal parti-parti ini adalah platform sahaja. Yang kita hendakkan adalah kemajuan – kepentingan bangsa, agama dan negara.
Kita boleh berbeza dalam parti, tetapi maksud perjuangan adalah hendak kekalkan orang Melayu sebagai pemerintah negara ini. Mahu membela masa depan orang Melayu. Itu agenda pertama. Bukan mempertahankan parti.
MODEL
Apa salahnya menyokong Perdana Menteri? Pilihan raya umum sudah selesai pun. Tidak cukup majoriti membentuk kerajaan tempoh hari 19 November 2022, sudahpun dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya bersepakat, duduk semeja dan akhirnya selesai. Tapi lihatlah. Nak masuk ke tahun kedua pentadbiran kerajaan perpaduan atau kerajaan Madani ini pun masih lagi bertelingkah, berseteru sesama parti-parti Melayu.
Tiga tahun lagi kita akan menuju pilihan raya umum ke-16. Menjelangnya mulai hari ini banyak pentas yang kita boleh gunakan untuk selesaikan masalah. Rundinglah, bincanglah, jadi profesional. Jika ada idea bagus-bagus, ketengahkan.
Di pihak pembangkang, apa model yang anda ada? Apa model hendak bantu orang Melayu? Apa model kejayaan untuk orang Melayu? Apa model ekonominya? Jika belum ada, adakah ini bermakna kita hanya bercakap atas platform yang sama. Isu-isu yang tidak jelas. Isu-isu yang remeh. Isu kantin sekolah, bak kut teh dan sebagainya yang sebenarnya kita boleh selesaikan dengan cara rundingan. Tak payah kita bercakap di luar dan heboh dalam media.
Yang penting, semua pemimpin politik Melayu harus fikirkan bagaimana hendak satukan Melayu. Bagaimana hendak perkuatkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini. Itu yang penting.
Hakikatnya kita orang Melayu sekarang dalam keadaan kritikal. Jadi, macam mana kita hendak bangunkan kawasan luar bandar?
TOKOH, BUKAN PARTI
Adakah sudah tiba masanya sekarang orang Melayu melihat individu-individu yang tidak berparti? Pergilah lihat tokoh dan carinya. Jika dalam pilihan raya, sudah mulalah lihat siapa yang bertanding. Letakkan parti itu di sebelah.
Sebab dalam parti, orang yang bagus-bagus ini biasanya dibuang, tidak jadi calon. Yang diambil hanya calon atau orang yang rapat dengan pucuk pimpinan. Jadi, orang yang berpotensi, rajin bekerja dan tidak pandai main politik akan tenggelam dalam permainan politik sekarang.
Jadi, adakah mulai hari ini kita sebagai pengundi patut beri peluang kepada sesiapa sahaja, tidak semata-mata melihat calon dari parti-parti yang bertanding.
Maknanya jika calon bebas itu bagus dan berwibawa, berilah dia peluang untuk menang. Jangan pangkah (undi) mana-mana calon parti.
Adakah Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini akan menjadi titik mulanya? Tanda arasnya? Adakah Kuala Kubu Baharu menjadi petunjuk yang jelas nanti bahawa parti-parti politik ini sebenarnyalah telah mendatangkan mudarat kepada orang Melayu dan negara? Memecahbelahkan kita?
Ini soal masa depan, kestabilan dan kehidupan negara di masa depan. Jika inilah caranya untuk merungkai segala perseteruan Melayu yang ligat berparti, maka kita pengundi ketepikanlah sentimen parti. Lihat kepada tokoh pula.
Adakah tidak lagi kelihatan tokoh-tokoh? Semua tokoh kita telah ‘dipancung’ semuanya? Tidak ada yang tulen ketokohannya disebabkan kita Melayu ini bersentimenkan parti?
MELAYU KEBANGSAAN
Berpijaklah di di bumi nyata. Isu politik Melayu berpecah ini tidak akan timbul jika mereka dari akar umbi hingga kepimpinan atasan politiknya memiliki ciri pemikiran Melayu kebangsaan. Melayu kebangsaan – seorang Melayu berpengetahuan luas, baik pergaulannya tetapi tetap berpegang pada nilai-nilai budaya, adat resam Melayu, Islamnya.
Istilah Melayu kebangsaan ini tidak sahaja melahirkan jaguh kampung, tetapi lebih lagi dengan rakyatnya mencerminkan pencapaian.
Kalau dalam industri, piawaiannya Melayu-Islam tinggi dengan usahawan Melayu bergiat dalam industri berteknologi tinggi.
Jika dalam agamanya, bukan setakat mampu mengungkapkan firman-firman dan hadis dengan manfaat untuk kebaikan ummah, bahkan boleh mengimbangkan antara soal dunia dan akhirat dengan berkesan.
Kata seorang rakan, dulu di era 1960-an dan 70-an, dia buat kerja sekolah, membaca bertemankan pelita ayam. Menulis dok meniarap atas tikar. Tiada meja kerusi. Melihat kebelakang, masa kemajuan berjalan pantas. Kini berhijrah hidup di kota. Kongsinya, orang Cina masa itu amat daif, rumah robek, tumpang Tanah Melayu, terbiar tepi paya dan lain-lain.
Tapi lihatlah hari ini mereka sudah potong orang lain dalam ekonomi. Dahsyat hanya dalam masa enam dekad. Apa akan jadi pada 2050?,” soalnya. Kita menaruh keyakinan tinggi untuk politik Melayu yang berpegang pada nilai-nilai murni. Buangkanlah minda yang toksik dan gemar putar belit.
Jadi, adakah PRK Kuala Kubu Baharu akan membuka lembaran baharu yang bermulanya trend calon bebas menang. Maknanya, selepas ini dalam mana-mana pilihan raya Malaysia tidak semestinya ada parti politik – kerana yang penting rakyat boleh memilih orang yang bukan partisan, tetapi yang boleh buat kerja. Kenapa kita tidak mahu mulakan eksperimen ini?
Kita sudah mencuba banyak parti sebelum ini, tetapi adakah kita berpuas hati? Nasib rakyat terbelakah? Harga barang, kos sara hidup baguskah?
Apa kata sekarang kita mencuba (calon) bebas…third force.-UTUSAN










