Usahakan cari malam al-qadr dalam pemusafiran

Usahakan cari malam al-qadr dalam pemusafiran

DALAM kita sibuk membuat persiapan Aidilfitri, jangan dilupakan amalan-amalan 10 malam terakhir Ramadan dalam mengejar kelebihan lailatul qadar. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini kita sudah berada pada 25 Ramadan. Maknanya, bulan yang penuh keberkatan ini berbaki empat atau lima hari sahaja sebelum ia pergi meninggalkan kita untuk kita menyambut hari raya pada 1 Syawal.

Apa yang diharap, setiap Muslim akan meneruskan misi ibadah dalam misi memburu pahala lebih 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun empat bulan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 1-3)

Memuatkan artikel berkaitan…

Esok atau lusa, ramai yang merancang perjalanan balik ke kampung halaman bagi menyambut hari lebaran bersama ibu bapa. Rancanglah perjalanan anda supaya tidak melepaskan peluang beribadat pada malam-malam yang terdapat di dalam malam al-qadr.

Bagi yang memilih untuk balik kampung selepas berbuka, paling tidak pilihlah untuk lakukan solat berjemaah Isyak bersama keluarga. Sama ada dilakukan di rumah atau pun ketika dalam perjalanan di hentian Rehat dan Rawat (RnR). Amatlah rugi jika kita melepaskan peluang mendapat pahala lailatul qadar, jika kita meninggalkan solat Isyak berjemaah.

Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang solat Isyak yang terakhir (Isyak merupakan solat fardu terakhir yang wajib ditunaikan atau solat Isyak yang sebenar dalam waktunya) dengan cara berjemaah pada bulan Ramadan maka dia telah mendapatkan Lailatul al-Qadar. (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Sementelahan pula, bermusafir itu juga meletakkan kita dalam keadaan orang yang dimakbulkan doanya.

Mengikut satu pandangan fuqaha, musafir bermaksud seseorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua marhalah atau 81 kilometer.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan dan tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa musafir dan doa orang tua untuk anaknya. (Riwayat Tirmidzi)

Sepanjang perjalanan pula, janganlah hanya mendengar lagu-lagu raya, Sebaliknya, selang selikan dengan selawat, bacaan al-Quran atau zikir-zikir semoga perjalanan itu juga diberkati dan berpahala.

Bagi yang bermusafir selepas Maghrib pada malam hari raya, sesekali bertakbirlah di dalam kenderaan masing-masing bagi menunjukkan kesyukuran dan kegembiraan atas kejayaan melalui Ramadan dengan jayanya.

Waktu takbir bermula dengan terlihatnya anak bulan Syawal menandakan berakhirnya Ramadan iaitu apabila masuk waktu Maghrib 1 Syawal dan berterusan hinggalah imam keluar untuk solat sunat hari raya Aidilfitri.

Kata Imam as-Syafie di dalam kitab al-Umm: “Apabila mereka melihat anak bulan Syawal, aku suka jika orang ramai bertakbir baik secara berjemaah dan individu, sama ada di masjid, pasar, jalan dan rumah, baik bermusafir atau bermukim, pada setiap keadaan dan di mana jua mereka berada.

“Dan hendaklah mereka menzahirkan takbir itu serta terus bertakbir sehingga mereka pergi ke tempat solat dan juga selepas tiba di sana, sampailah keluarnya imam untuk bersolat. Kemudian barulah berhenti takbir.”

Bagi yang memilih bermusafir ketika puasa pula, mereka turut ada kelebihan terutama dalam memohon keampunan dan juga segala hajat untuk dimakbulkan.

Ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Ada tiga orang yang tidak akan ditolak doanya iaitu: Orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang teraniaya. (Riwayat Tirmidzi).

Lebih molek jika kita boleh aturkan solat tarawih dan witir berjemaah anak beranak dalam perjalanan pulang ke kampung. Fadilatnya sangat besar.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. (Riwayat Tirmidzi)

Solat bersama imam sampai ia selesai yang menjadi anjuran dan sunnah Rasulullah SAW adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir. Hadis ini menunjukkan fadilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala qiam sepanjang malam.

JANGAN ABAI MALAM GENAP
Walaupun mood raya makin dekat, jangan alpa untuk meneruskan ibadat terutama memburu malam al-qadr. Ada sekurang-kurangnya dua kali lagi malam ganjil untuk kita beri tumpuan beribadat.

Namun begitu, jangan pula kita abaikan malam-malam yang genap. Sebabnya, tidak mustahil malam al-qadr boleh berlaku pada malam-malam genap.

Sekiranya, sibuk sangat dan tak sempat nak solat tarawih bolehlah amalkan petua yang dikongsi oleh imam Masjidil Haram, Syaikh Mahir Al Mu’aiqily bagi 10 malam terakhir Ramadan agar dapat mendapat kelebihan malam al-qadr.

1. Sedekahkan kepada siapa saja setiap hari minimum RM1 dalam 10 malam terakhir ini sehingga apabila lailatul qadar jatuh pada 10 malam terakhir maka ia sama dengan kita bersedekah RM1 selama 84 tahun atau RM1 x 365 hari x 84 tahun = RM30,660

2. Tunaikan solat sunat paling kurang dua rakaat tiap malam sehingga jika lailatul qadar jatuh pada 10 malam terakhir maka sama dengan anda solat dua rakaat selama 84 tahun atau 2 rakaat x 365 hari x 84 tahun.

3. Bacalah surah al-Ikhlas paling sikit tiga kali setiap malam hingga apabila lailatul qadar jatuh pada 10 malam terakhir maka sama dengan anda mengkhatamkan al-Quran selama 84 tahun.

Dalam pada itu, buatlah persiapan menyambut Syawal sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak. Janganlah dibiarkan malam 1 Syawal dihabiskan dengan perkara-perkara yang lagha seperti menyanyi, bermain mercun dan sebagainya.

Seperkara yang penting juga jangan lupa bayar zakat fitrah. Tempat afdal membayarnya adalah di tempat yang kita tunaikan solat sunat hari raya.

Selain itu, Imam Al-Nawawi menjelaskan, adalah harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan dan ibadah. Inilah juga saranan yang diberi oleh Imam Al-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm.

Walaupun hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya adalah hadis yang daif, ia dibenarkan kerana hanya melibatkan fadhail amal.

Diberitakan juga doa mustajab berlaku pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, malam bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.

Marilah kita menghidupkan malam hari raya Aidilfitri dengan perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita kepada Allah.

Di samping membuat persiapan menyambut Syawal, jangan kita terlalu seronok sehingga lupa bahawa kita adalah hamba Allah. Jangan tutup bulan Ramadan dengan perbuatan maksiat.-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×