Reformasi satu proses ‘menyakitkan’ – Adam Adli - Utusan Malaysia

Reformasi satu proses ‘menyakitkan’ – Adam Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

DALAM tempoh 25 tahun penubuhan PKR, pelbagai pahit getir ditempuhi. Pemimpin juga ada yang bertukar ganti dalam tempoh berkenaan. Yang pasti, sokongan terus dituntut daripada pelbagai pihak terutama bagi memastikan PKR kekal relevan.

Bagaimanapun, kini timbul persoalan terutama berkaitan sokongan, strategi dan agenda reformasi lebih-lebih dalam kalangan orang muda.

Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ADAM ADLI ABD. HALIM. Turut membantu FAIZ ALIF ZUBIR.

 

REFORMASI BUKAN MUDAH
MINGGUAN MALAYSIA: Agenda reformasi masih belum dilaksanakan.Adakah ia memberi kesan sokongan terhadap PKR dan PH?
ADAM ADLI: Adakah orang menilai reformasi itu hanya semata-mata apa yang dipersembahkan PKR, tuntutan masyarakat atau perkara yang dibawa oleh seluruh Kerajaan Perpaduan?

Sebenarnya, ada banyak isu yang menyentuh masyarakat itu sendiri. Dari segi budaya dan perpaduan, gejala sosial yang melanda masyarakat, ekonomi serta jurang antara miskin dan kaya.

Ada juga kumpulan yang menilai reformasi itu daripada kaca mata institusi. Jadi, untuk mencapai reformasi itu sendiri ia adalah proses yang sangat panjang.

Ia tidak tertakluk kepada soal menjelmakan satu atau dua program. Ia harus meliputi tatakelola, daripada sudut bagaimana kita uruskan kerajaan dan mengagihkan dana selain bagaimana mahu pastikan setiap dasar serta polisi boleh dilaksanakan sepenuhnya demi memastikan hasilnya dirasai masyarakat.

Agenda reformasi juga menuntut satu proses sangat panjang. Tidak pernah ada orang lihat reformasi itu berlangsung hanya selepas kerajaan ditubuhkan, terus ada proses berkenaan. Ia akan ambil masa dan prosesnya ‘menyakitkan’.

Kalau kita cakap proses reformasi ia bukan hanya berkait dengan menteri-menteri atau perdana menteri. Sebaliknya, ia melibatkan proses kepimpinan termasuk penjawat awam. Bagaimana kita hendak ubah pendekatan, dasar, pemahaman, falsafah dan ekonomi. Ia menuntut satu pergerakan yang melangkaui dasar kerajaan.

Reformasi bukan satu keadaan yang selesa. Ia satu yang sangat sulit bagi banyak pihak yang melaksana.Ia juga tidak pernah popular. Ambil contoh sekarang. Orang ramai anggap ia daripada keadaan yang ‘begini ke begitu’. Hakikatnya, ia bukan satu proses yang mudah.

Saya risau apabila orang melihat reformasi tanpa memahami. Saya risau apabila orang salah anggap dan beranggapan reformasi itu bermakna tol dihapuskan dan minyak turun harga.

Walhal reformasi itu menuntut sebuah keadaan dimana pelaksanaan dasar perlu betul dengan sasarannya tepat.

Sebab itu, kalau orang tanya di mana reformasi? Apa berlaku pada reformasi? Saya katakan ia sedang berlangsung dan kita perlu ambil keadaan di mana ia bukan hanya melibatkan seratus peratus PKR atau BN. Ia melibatkan Kerajaan Perpaduan dengan membabitkan gabungan yang sebelum ini tidak pernah muncul. Jadi, perlu dibuat dengan hati-hati.

Berdasarkan rekod PRN sebelum ini, sentimen kaum dan agama dimainkan pihak lawan. Bagaimana PKR dan PH menangkis serangan sebegini terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?

Politik perkauman akan sentiasa memecah belah masyarakat. Ini tentu sekali jadi halangan kemajuan negara. Itu sebabnya PKR muncul sebagai parti berbilang bangsa. Jadi, apa usaha kita untuk meyakinkan masyarakat yang berbeza latar belakang? Ini kerana kita masyarakat majmuk yang boleh duduk dan berdiri sama. Inilah cabaran PKR.

JANGAN HILANG IDENTITI

Bagaimana dengan strategi menarik golongan pengundi muda terutama orang Melayu?
Dalam kita hendak tarik sokongan Melayu, jangan PKR hilang identiti. Dalam kalangan masyarakat muda Melayu, ia sangat bergantung kepada ciri-ciri menjangkaui soal identiti.

Mahu tarik mereka perlu lebih banyak pendedahan bukan semata-mata menjual PKR. Kita juga perlu jual dan promosi apa produk kita. Kekuatan kita terletak pada parti berbilang kaum. Walaupun dipimpin oleh majoriti Melayu, ia membawa satu pandangan yang lebih baik.

Ada nilai tersendiri dan menghormati satu sama lain. Kita sentiasa mengetengahkan nilai-nilai yang ada selama 25 tahun dan ini yang kita buat.

YAKINKAN RAKYAT
Bagaimana PKR mampu mengembalikan prestasinya seperti dulu?

Saya harap dalam tempoh yang kita ada sekarang, beri tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan fokus bagaimana untuk kita jelmakan sebuah reformasi. Perbaiki komunikasi kita dan beri tumpuan bukan sahaja perkara -perkara makro tetapi mikro.

Cuba fahamkan rakyat dengan keadaan semasa. Pulihkan kesan sosial yang cedera. Selepas itu, baru kita boleh lihat hasil positif. Untuk pulihkan keyakinan, PKR perlu cekal jangan terlalu terbawa-bawa dengan sentimen.

Kita ada tanggungjawab berat jaga negara. Kritikan berkaitan korupsi, salah urus tadbir dan kritikan kita lontarkan sebelum ini, sekarang menjadi tanggungjawab kita.

SIAPA GANTI ANWAR?
Selepas Anwar siapa boleh mengetuai PKR?
PKR ada banyak pemimpin. Sama ada yang mengikut hierarki parti atau pengaruh, semua ialah orang yang diuji dan masing-masing ada cara.

Bagi saya kalau ditanya siapa selepas Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada ramai. Tapi dia tidak akan jadi Anwar dan ia akan bawa kepada lembaran baharu. Tetapi kita hanya ada seorang iaitu Anwar sahaja.

DULU TIADA PEJABAT, KAKITANGAN
YB tidak lantang seperti dulu atau selantang Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh. Mengapa?

Orang kenal saya sebagai orang yang lantang dan menonjol dan waktu itu ada pemimpin lain tidak lantang. Namun masa itu tidaklah sampai buat perbandingan.

Sebenarnya, setiap orang ada pembawaan masing-masing dalam situasi berbeza.Lagipun situasi saya pada masa itu menuntut saya menjadi lantang sebab saya tiada saluran, tiada kuasa, tiada pejabat untuk digerakkan dan saya tiada kakitangan untuk susun atur kerja. Tiada apa-apa. Hanya diri saya dan rakan-rakan lain. Maka senjata pada masa itu suara.

Dan waktu itu kalau kita tidak ada suara yang lantang, orang akan abaikan kita.Dan sebagai pelajar itu saja kita ada. Tapi sekarang sebagai pemimpin, saya guna pendekatan berbeza. Lagipun, saya takut kalau terlampau lantang, tindakan tidak sekuat suara kita.

Saya melihat diri saya masih ada banyak kerja yang perlu dipertingkatkan. Sama ada di kementerian, parti atau kawasan parlimen. Saya tidak rasa harus lantang dalam keadaan saya tidak puas hati dengan kerja saya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN