KELMARIN telah berlangsung Konvensyen Khas 25 Tahun PKR yang dipenuhi dengan imbauan sejarah serta pesanan-pesanan pemimpin tertinggi tertinggi parti mengenai keperluan memperkuatkan organisasi dan berpegang teguh dengan idealisme perjuangan.
Antara tema yang paling menarik dalam konvensyen khas ini ialah kepentingan Setiausaha Agung sebagai penggerak utama parti selain keperluan untuk sentiasa bersikap optimis dan tidak terburu-buru dalam perjuangan serta untuk terus mengembangkan parti khasnya dari sudut keahlian.
Kepentingan Setiausaha Agung tergambar melalui pendedahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapannya di konvensyen khas ini bahawa sewaktu PKR mahu diwujudkan pada 4 April 1999, yang ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dalam penjara Sungai Buloh meminta pandangan beliau siapa selayaknya menjawat jawatan itu.
Jawab Saifuddin di dalam suratnya kepada Anwar bertarikh 19 Februari 1999: “Setiausaha Agung harus seorang yang punya kualiti berani sanggup bekerja keras, berpengalaman di peringkat administratif, strategis, boleh bekerja secara berdikari, mobilizer dan berpengalaman sebenar dalam penyertaan politik dan parti politik. Watak ini (harus) punya jaringan kerja pada pelbagai peringkat masyarakat, termasuk individu dan pertubuhan. Watak ini (juga) harus memiliki tasawwur yang jelas tentang peranan parti sebagai satu vehicle untuk menyertai pilihan raya.”
Menariknya, Saifuddin sendiri sejak 1 Februari 2010 hingga sekarang, terkecuali antara 2014 dan 2016 yang mana jawatan ini dipegang oleh Rafizi Ramli, memegang jawatan penting Setiausaha Agung PKR yang bertanggungjawab dalam usaha pengembangan parti.
Keperluan untuk sentiasa bersikap optimis dan tidak terburu-buru dalam perjuangan pula digarapkan oleh Saifuddin melalui penceritaan beliau mengenai sepucuk surat Anwar kepadanya selepas PKR jatuh terduduk dalam Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 21 Mac 2004 dengan hanya memenangi satu kerusi berbanding lima kerusi dalam PRU10 sebelumnya.
Di dalam suratnya itu, Anwar menunjukkan sikap yang sangat optimis serta cuba meniupkan semangat pemimpin PKR dengan menulis, “prestasi (PKR dalam PRU11) tetap membanggakan dan pengalaman yang diperoleh berharga sekali”.
TIGA PESANAN
Terdapat tiga pesanan Anwar di dalam surat itu. Pertama, membuat langkah segera dengan mengumpul maklumat tentang kekuatan dan kelemahan dalam menghadapi pilihan raya.
Kedua, tidak mengambil langkah-langkah secara terburu-buru, sebaiknya ditunggu sesudah Aidilfitri untuk membuat perubahan kepimpinan serentak dengan penyerapan Parti Rakyat Malaysia (PRM) (yang bersatu dengan PKR pada 3 Ogos 2003) serta penyertaan lain-lain pemimpin masyarakat Islam dan bukan Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), pertubuhan-pertubuhan masyarakat Cina serta wakil Sabah dan Sarawak.
Ketiga, keperluan untuk melakukan pembaharuan dalam suasana baik dan terkawal yang harus menjamin kepentingan semua kelompok dan tidak mewakili kepentingan mana-mana kabilah.
Selanjutnya, berdasarkan pesanan-pesanan dalam surat Anwar pada awal 2004 inilah maka usaha memperkemas organisasi dan pemantapan kepimpinan di semua peringkat, yang disertai juga dengan Gerakan Menambah Ahli (Gema), dibuat.
Hasil dari langkah-langkah ini serta suntikan semangat ekoran pembebasan Anwar dari penjara pada 2 September 2004 maka PKR menjadi parti paling berpengaruh dalam kalangan semua parti pembangkang setelah memenangi 31 kerusi berbanding 28 kerusi DAP dan 23 kerusi Pas dalam PRU12 pada 8 Mac 2008. Begitulah evolusi yang berlaku dalam PKR.
Perhatikan penegasan Anwar pada awal 2004 ini, iaitu pembaharuan perlu dilakukan dalam suasana baik dan terkawal serta tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
Perkara sama masih dinyatakan oleh Anwar dalam ucapannya di konvensyen khas ini: “Kita memerlukan kebijaksanaan. Jangan sekali kali undur dari agenda reform tetapi jangan sekali kali gopoh untuk bertindak memenuhi selera elit yang hanya menggagaskan perubahan, tidak fikir sama sekali kesan politik. Tidak renung kestabilan dan tidak renung apakah perubahan itu dapat menarik minat serta mengekalkan dukungan dalam kalangan rakyat.”
Saya sendiri telah menulis pada 13 April lalu mengenai tindakan gopoh yang menjadi punca kegagalan reformasi yang mahu dilakukan oleh presiden Mesir kelima, Mohamed Morsi, yang berakhir dengan penggulingan beliau oleh satu kudeta tentera.
Keperluan untuk terus mengembangkan parti khasnya dari sudut keahlian juga jelas terbukti. Seperti dinyatakan oleh Saifuddin dalam ucapannya, “tanggungjawab kepimpinan sekarang ialah mengembangkan terus parti kerana politik pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada politik a game of number”.
Dari sudut bilangan keahlian PKR tidak berpaling ke belakang lagi selepas PRU12 walaupun prestasinya dalam PRU13, PRU14 dan PRU15 sedikit turun naik dengan 30, 49 dan 31 kerusi masing-masingnya.
KEKUATAN JENTERA
Daripada 339,850 ahli berdaftar pada 2 November 2008 ia berubah menjadi 526,232 pada 30 April 2017 sebelum menjadi 970,407 pada 15 November 2019. Paling mutakhir, jumlah ahli berdaftar pada 21 Mac adalah 1,153,212. Tahniah kepada Saifuddin selaku Setiausaha Agung dan kepada semua pemimpin PKR lain.
Malah, dalam konvensyen khas ini Anwar juga mengarahkan anggota bawahan parti supaya terus menerangkan sikap dan perjuangan PKR serta berusaha menambahkan bilangan ahli dan menguatkan jentera supaya muncul sebagai gergasi dalam sistem politik Malaysia.
Sehubungan itu, pelancaran dua kerangka gerak kerja, Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Kerangka Kerja PKR Menang Siri PRU16 (KEMAS16), selain pelancaran Felo Keadilan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti dalam parti, adalah langkah yang tepat bagi memperkasakan lagi parti di masa depan.
Masa sama, usaha-usaha ini akan lebih bermakna jika ia dapat disertai dengan sambutan ke atas saranan untuk membawa kesemua pemimpin umat Islam di Malaysia bergabung dalam solidariti ummah bagi membela saudara seIslam di Palestin seperti yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki dan disokong antaranya oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan oleh Dr. Maszlee Malik selaku Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.
DR. Rosli Allani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan.










