Perkukuh solidariti ummah

Perkukuh solidariti ummah

PEMBELAAN terhadap perjuangan saudara Islam di Palestin telah seringkali menumpulkan ketajaman pertembungan sesama umat Islam di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETOKOHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa telah diakui ramai.

Dalam edisi terbaru “500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2024” (The World’s 500 Most Influential Muslim 2024) yang dikeluarkan oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre pada 12 Oktober 2023, Anwar menduduki tangga ke-17 Muslim Paling Berpengaruh Dunia dan tangga ke-11 Pemimpin Muslim Paling Berpengaruh Dunia.

Pengiktirafan ke atas Anwar ini adalah pengiktirafan paling tinggi pernah dicapai oleh mana-mana Perdana Menteri Malaysia. Dalam edisi yang dikeluarkan pada 16 September 2019, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang waktu itu adalah Perdana Menteri Malaysia, walaupun dikira hebat kerana berjaya menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan walaupun lantang bersuara membela negara Islam dan negara dunia ketiga, hanya berada di kedudukan ke-44 Muslim Paling Berpengaruh Dunia.

Ketangkasan Anwar menguruskan dasar luar dan kebijaksanaan beliau memposisikan Malaysia di peringkat antarabangsa adalah punca utama kenaikan pengaruh beliau ini. Selain cuba mengimbangi hubungan dengan kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan China, keutamaan dasar luar Anwar terfokus pada dua kawasan utama, iaitu Asean dan Timur Tengah.

Setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Anwar menjadikan keutamaan beliau untuk memupuk hubungan rapat dengan ketua-ketua negara anggota Asean menyebabkan beliau mengunjungi satu demi satu negara-negara anggota Asean melainkan Myanmar yang dilihat bermasalah. Beliau juga lantang menimbulkan masalah di Myanmar dalam pelbagai forum.

Ekoran itu, nama Anwar harum di peringkat Asean. Dr. Tanri Abeng, mantan Menteri Negara Pendayagunaan Badan Usaha Milik Negara Indonesia di zaman Presiden Soeharto dan Presiden B. J. Habibie, umpamanya pernah menulis pada 1 Februari 2023 mengenai Anwar sebagai seorang pemimpin humanis yang diyakini akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik di masa depan.

Selain Asean, Timur Tengah menjadi kawasan yang paling kerap dikunjungi oleh Anwar. Selain mengadakan lawatan rasmi ke negara seperti Turki, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, Anwar juga kerap menghadiri forum seperti mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sidang kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Konflik di Gaza yang kembali membarah sejak 7 Oktober 2023 mendorong Anwar menjadi salah seorang pengkritik paling lantang terhadap Israel, baik di dalam sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mesyuarat OIC, sidang kemuncak Asean-GCC atau di mana-mana forum sahaja. Tidak terkecuali Anwar memperkatakannya dalam pertemuan peribadi beliau dengan pemimpin Islam seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Pemangku Raja Saudi Mohammed bin Salman dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.

Paling mendapat perhatian pastilah sidang media bersama antara Anwar dan Olaf Scholz, Canselor Jerman, pada 11 Mac lalu apabila mana Anwar lantang menyanggah pendirian Olaf Scholz mengenai isu Palestin dengan menimbulkan isu sikap hipokrasi dan berat sebelah negara Barat dalam mencari penyelesaian ke atas isu Palestin.

Video ucapan Anwar ini tular di seluruh dunia dengan perkongsian oleh Arnaud Bertrand mendapat 3.4 juta tontonan, perkongsian oleh Bruno Maçães mendapat 3.4 juta tontonan dan perkongsian oleh Mehdi Hasan mendapat 2.2 juta tontonan. Komentar berani Anwar ini juga mendapat liputan luas oleh pelbagai media antarabangsa.

Sejak Anwar berjaya menyelamatkan anak-anak dan isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Gaza, nama Anwar semakin harum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Penerangan Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan terbuka mengakui kesungguhan dan usaha Anwar memastikan keluarga Nadir disatukan semula. Ini, katanya, tentu sekali memerlukan kepada perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir khususnya.

Nadir sendiri menulis mengakui ketegasan Anwar dalam bersolidariti dengan rakyat Palestin sekali gus “menjadikan nama Malaysia disebut-disebut dalam kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa”. Selepas Saddam Hussein dan Erdogan, kini tiba giliran Malaysia untuk menjadi jaguh di peringkat dunia dalam isu Palestin, ujar Nadir.

Paling mutakhir, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki menulis mengakui kelantangan suara Anwar dalam membela saudara seIslam di Palestin. Ujar Zuhdi, beliau sendiri tidak menyangka, Anwar berani keluar dari zon playsafe setelah beliau melihat kekejaman terhadap rakyat Palestin semakin memuncak.

Zuhdi melihat situasi hari ini sangat memerlukan kesemua pemimpin umat Islam di Malaysia untuk duduk semeja dan berdiri sepentas, bukan hanya untuk memperkukuhkan solidariti membela saudara seIslam di Palestin bahkan bersama-sama menongkah cabaran getir yang bakal dihadapi oleh Malaysia disebabkan solidariti tersebut.

Tanya beliau, sekiranya semasa zaman Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat dan zaman Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam pemimpin-pemimpin politik umat Islam boleh dipersatukan di atas pentas yang sama, mengapa pada zaman Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh tidak boleh?

Ramai yang bersetuju bahawa pembelaan terhadap perjuangan saudara seIslam di Palestin telah seringkali menumpulkan ketajaman pertembungan sesama umat Islam di Malaysia, mengharmonikan hubungan antara parti-parti politik yang mewakili umat Islam di Malaysia sekali gus merapatkan jurang antara para penyokong mereka.

Semoga hasrat Zuhdi ini disambut baik oleh pemimpin parti-parti politik yang mewakili umat Islam di Malaysia serta dapat direalisasikan segera demi kepentingan semua. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN