Malaysia ada 11 jenis jalan raya

Malaysia ada 11 jenis jalan raya

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU-ISU berkaitan keselamatan jalan raya, cerun dan pembinaan seringkali berkait rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Apatah lagi sekiranya berlaku kejadian seperti tanah runtuh, nama kementerian ini pasti ‘panas’ dan diperkatakan selain pandangan berkaitan survival UMNO.

Justeru wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, DATUK SERI AHMAD MASLAN bagi mendapatkan perspektifnya.

KUALITI JALAN RAYA
Ada tiga sebab mengapa keadaan jalan raya seringkali menjadi pertikaian. Pertama keadaan cuaca. Kalau banjir sudah semeninya jalan rosak. Ini faktor alam semula jadi. Jadi banjir ini kalau berlaku memang susah dijangka.

Kemudian disebabkan kenderaan yang lebih muatan yang membawa melebih had dibenarkan. Ini kita perlu bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, ada lagi satu masalah iaitu disebabkan struktur tanah yang lembut dan ini semestinya memerlukan kaedah pembuatan jalan berbeza. Sebagai contoh, perlu tebuk lebih dalam (tanah) dan penggunaan konkrit berbeza. Kalau guna ketebalan standard, kita perlu guna kaedah berbeza.

Bagaimanapun, kita dalam masa yang sama mempunyai aplikasi MYJalan untuk pengguna membuat aduan dan boleh dibaiki dalam tempoh 24 jam menerusi aplikasi ini.

Masalah kita sekarang jalan di Malaysia ada 11 jenis dan setiap jenis ada tuan empunya. Sebagai contoh jalan bandaran di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Begitu juga jalan-jalan lain. Jadi dalam aplikasi MYJalan kita gunakan no wrong door policy. Kita ambil segala aduan yang bukan hanya melibatkan KKR tetapi jabatan lain. Selepas itu sekretariat kita yang uruskan MYJalan ini akan menghantar masalah-masalah jalan kepada pihak yang dipertanggungjawab.

Apa yang kita janji sekarang, tampalan dan tindakan memperbaiki akan dibuat dalam tempoh 48 jam hanya untuk jalan persekutuan sahaja. Itu dibawah KKR.

KESESAKAN JALAN RAYA DAN LEBUH RAYA
Jika dikaji, kesesakan di lebuh raya berlaku pada hujung minggu pada musim perayaan, ketika cuti yang panjang. Untuk pengetahuan awak, saya juga salah seorang yang mengalami kesesakan ketika balik kawasan ke Pontian, Johor.

Jadi saya faham masalah dilalui rakyat. Maka kita buat keputusan waktu kesesakan lebuh raya hendaklah dibuat beberapa perkara. Antaranya jangan ada kerja penyelenggaraan.

Kedua, kita buka laluan pintar. Ia hendaklah dibuka terutama di kawasan laluan bootle neck supaya lorong kecemasan boleh digunakan untuk pemanduan. Selain itu, kita gunakan media sosial untuk pastikan rakyat diberi tahu beberapa perkara. Contohnya aturan perjalanan. Jangan keluar serentak pada masa-masa tertentu.

Saya juga ingin memaklumkan di negara ini ada 33 konsesi lebuh raya. Selalu orang tahu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sahaja dan ia antara yang terbesar. Akan tetapi sebenarnya ada 32 lagi konsesi lain dan kita berikan pandangan serupa supaya ada alternatif.

Di samping itu kita tambah tempat pembayaran tol di kaunter sebelah tol termasuk sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

PENGUASAAN EKONOMI BUMIPUTERA
Saya salah seorang ahli jawatankuasa kongres dan saya hadir tiga hari. Malah saya dengar hampir keseluruhannya. Apa yang boleh saya rumuskan ialah kejayaan sedikit sebanyak sudah ada. Antaranya penyertaan golongan bumiputera dalam bidang profesional seperti bidang arkitek yang meliputi 30 peratus. Begitu juga bidang lain seperti jurutera, pensyarah dan doktor. Cuma mungkin akauntan dan peguam perlu ditambah.

Namun dalam masa yang sama, Bumiputera bukan bangsa 30 peratus, tapi kita kita bangsa 70 peratus. Malangnya daripada segi ekonomi kita tidak dikuasai.

ORANG MELAYU JADI BANGSA USAHAWAN
Dahulu saya pernah sebut bahawa kalau 100 tahun pun orang Melayu bangsa makan gaji, kita tidak akan menguasai ekonomi.

Saya ambil contoh. Di Malaysia ada 50 orang Jutawan. Tapi berapa senarai orang Melayu yang ada? Hanya tiga orang Melayu tiga India dan seorang siam. Yang lain 43 orang Cina. Dan sudah tentu semua yang disenaraikan itu usahawan.

Sebenarnya banyak lagi kerja yang perlu dibuat sebab pegangan ekuiti bumiputera baru 18 peratus.Cuba kita naikkan 50 peratus sekurang-kurangnya. Selain itu ada pula dasar sekurang-kurangnya 30 peratus projek hartanah termasuk pemaju perumahan perlu diperuntukkan 30 peratus kepada golongan bumiputera.

Sekali lagi saya sebut golongan bumiputera ini bangsa 70 peratus. Akan tetapi kita kuota hanya 30 peratus. Jadi sudah terbalik bukan? Sebab itu golongan bumiputera mesti jadi bangsa usahawan. Tahap pencapaian keusahawanan ini mesti dipertingkatkan sebab 90 peratus bumiputera ini dalam mikroekonomi atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

SURVIVAL UMNO
Kawasan-kawasan yang kita kalah akan ditandingi UMNO. Jadi sesiapa yang menjadi pemimpin di kawasan itu pastikan menang. Sebagai contoh Mersing.

Kawasan itu selama ini kawasan kita. Maksudnya BN (Barisan Nasional) dan UMNO. Tetapi baru-baru ini kita kalah. Justeru pemimpin di kawasan-kawasan yang sebelum ini kawasan kita dan kalah perlu dapatkan semula dengan pelbagai kaedah. Kalau tidak bagaimana nak bangkit balik?

Ada beberapa kawasan seperti di Kepala Batas, Pulau Pinang; Gua Musang, Kelantan dan Padang Rengas, Perak. Ini suara saya sebagai Ketua Sekretariat ‘War Room’ UMNO Pusat. Perlu cari formula dengan mengikut kawasan masing-masing. Ini kerana setiap kawasan ada perbezaan daripada segi strateginya. Saya ambil contoh di Wilayah Persekutuan. Kalau di Labuan, Putrajaya dan Titiwangsa tidak sama (strategi) kerana ada perbezaan daripada segi demografi dan beberapa faktor lain. Justeru strategi di tangan mereka.

PENGUNDI MUDA
Saya harapkan team media sosial UMNO dan BN betul-betul mantap supaya media sosial di kuasai dan dijadikan alternatif.

Perlu diingat ketika kita menjadi kerajaan, populariti kita turun naik. Ketika kita jadi pembangkang, bila kita sebut akan jadi benda tular yang positif. Masalahnya takkan kita nak jadi pembangkang, kita nak jadi kerajaan. Bila dah kerajaan, mana ada yang sempurna. Jadi team media sosial perlu bekerja keras.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN