Tiba-tiba sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu jadi berbahang. Popularnya gelanggang pilihan raya kecil (PRK) ini yang tarikh penamaan calonnya 27 April, menyusul pula pengundian 11 Mei, makin hari makin jadi sebutan.
Tidak lagi disebut kerusi itu penyandangnya calon Cina dari DAP, mahupun lawannya, Gerakan. Sebaliknya DAP dan Gerakan sama ada bercadang mahukan dicadangkan supaya calon Melayu daripada parti-parti itu pula diletakkan di situ.
Mengapa mendadak pula sentimen Melayu melingkari bahang PRK Kuala Kubu Baharu? Ada mendakwa dalam kurang dua tahun ini masih ada syak wasangka menebal sebahagian orang Melayu terhadap sebuah parti yang pernah menerima julukan cauvinis.
Kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan kepimpinan parti itu dikatakan mencetuskan suasana tidak selesa kepada sensitiviti rakyat malah keharmonian masyarakat. Sehinggalah timbul persoalan apakah pimpinan parti itu sengaja mahu melihat dan mengukur reaksi orang Melayu dan Bumiputera?
Beberapa kenyataan kontroversi pimpinan parti itu bermula dengan cadangan Lim Kit Siang berkenaan perdana menteri bukan Melayu; Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (pilihan raya PBT); Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (pakar bukan Islam dalam jawatankuasa syariah) dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO).
Yang hairannya parti berkenaan pernah menjadi kerajaan dan didakwa melakukan lebih kurang hal serupa mencetuskan tindak tanduk ‘tidak selesa’ kepada orang Melayu dalam tempoh berkuasa Mei 2018 hingga Februari 2020. Takkanlah tidak belajar dari itu, kata pengkritik.
BERTOLAK ANSUR
Sejarah membuktikan orang Melayu adalah kaum yang begitu bertolak ansur di dunia. Bukti paling besar yang mungkin tidak mudah dibenarkan oleh kaum-kaum pribumi di mana-mana negara adalah jus soli.
enerusi prinsip jus soli, dikatakan kira-kira 980,000 orang bukan Melayu (tidak berkerakyatan atau stateless persons) secara en-bloc diberikan kerakyatan percuma oleh kerajaan.
Sebagai balasannya, kaum-kaum lain diminta menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini serta menyetujui Islam dijadikan agama rasmi negara. Dan menerima beberapa hak istimewa Melayu, misalnya dalam bidang perkhidmatan awam.
Apa yang berlaku ialah warisan atau sejarah ini dikekalkan dalam negara Melayu yang merdeka. Yakni yang dibebaskan daripada penjajahan British. British menjajah Tanah Melayu, negeri dan kerajaan Melayu dan bangsa Melayu. Bukannya negeri, kerajaan dan bangsa bukan Melayu.
Ini memang disedari kaum-kaum bukan Melayu. Kerana itulah apabila orang Melayu bangkit menentang gagasan atau muslihat Malayan Union antara 1946 hingga 1948 , kaum-kaum lain tidak menyokong atau tidak ikut menentangnya. Mereka anggap Malayan Union itu masalah antara Melayu, kerajaannya serta raja-raja Melayu dengan kerajaan British.
Lagipun, pada masa itu mereka bukan rakyat Tanah Melayu, yakni bukan rakyat raja-raja Melayu. Maka tentulah rasa taat setia kepada kerajaan atau raja Melayu tidak ada dalam hati mereka. Mengapa mereka mesti menentang British untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu?
Tetapi oleh kerana salah satu isu yang dibangkitkan oleh pihak British ialah isu perpaduan kaum setelah pihak British meninggalkan Tanah Melayu (seolah-olah semasa British memerintah negara waktu itu, kaum-kaum itu bersatu padu) maka orang Melayu dan pemimpin kaum-kaum lain bersetujulah mencari ‘formula’nya.
Dari situlah timbulnya semangat tolak ansur tadi dan sebahagian daripada formula tolak ansur ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal Suruhanjaya Reid.
Anggota suruhanjaya semuanya orang luar, dari England, dari India, Pakistan dan Australia. Tidak ada seorang pun wakil Melayu atau wakil kaum-kaum lain yang duduk dalam suruhanjaya itu.
Selain formula yang diperlembagaankan itu, terdapat pula tolak ansur lain. Misalnya, kuasa politik dan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu hendaklah dikongsi oleh orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Maka dibentuklah Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC yang memerintah negara ini dari 1957 hinggalah 9 Mei 2018.
JANGAN PERSOAL
Dan kalau benarlah Malaysia mahu terus menjadi negara yang aman dan damai dengan penduduk pelbagai kaumnya hidup bersatu padu, formula tolak ansur yang asal itulah patut dipertahankan dan dihormati,
Jangan dipersoalkan, dijadikan isu lagi dan dicairkan dengan pelbagai tuntutan dan desakan lain hari ini. Atau dimusnahkan dengan pelbagai tolak ansur lain yang dibuat oleh mana-mana kaum berdasarkan kepentingan politik, budaya dan ekonomi etnik masing-masing.
Barang diingat, daripada 21 juta pengundi yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, kira-kira 60 ke 70 peratus mereka tetap gemarkan gosip, persepsi dan dambakan kontroversi.
Apa lagi kira-kira 40,000 pengundi di Kuala Kubu Baharu nanti. Untuk mereka dapatkan fakta sebenar, sebahagiannya mahu jalan pintas belaka. Sebab itu TikTok merajai kehidupan. Sentimen pengundi kategori ini sukar dibaca oleh mana-mana ahli politik sekalipun untuk meraih sokongan.
Apabila masuk ke satu lagi kategori pengundi yang ini – menengah Melayu – yang kini kian membesar, kelihatannya mereka tidak perlukan data saintifik untuk dibuktikan sehingga dipangkah atas kertas undi. Yang dipentingkan – kewibawaan pimpinan. Kategori pengundi ini tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Politik pembangunan, bina sana sini kemudahan asas tidak lagi berfungsi jadi tarikan khas.
Dan satu lagi kategori kelas tinggi, tidak ramai kumpulan ini, sudah pasti mereka perlukan kajian empirikal serta data saintifik untuk dibuktikan mengapa perlu dipilih calon tempat mengundinya. Tetapi sayangnya mereka ini tidak ramai.
Tidak boleh dipersalahkan sesiapa di luar kerajaan 100 peratus jika parti yang sudah pun berada dalam kerajaan ‘tidak faham, sengaja enggan memahami atau sememangnya tidak tahu’ situasi permasalahan hidup hari ini.
Sama ada berkait soal-soal periuk nasi, sara hidup, agama dan penyelewengan atau desakan yang menuntut itu ini, komitmen dan daya juang memperjelas, menyangkal dan mempengaruhi perlu ada dalam diri para pembesar kerajaan.
Tetapi soal ini belum mantap dilakukan dan kelihatannya tidak dilakukan penjelasan mengapa hubungan antara parti-parti politik dalam kerajaan itu berlaku dan dilakukan biarpun berbeza ideologi dan perjuangan? Mengapa konflik membabitkan soal-soal sensitiviti Melayu ‘kelihatan dibiarkan’?
Sebab itu PRK Kuala Kubu Baharu bukan sebarang PRK. Apa lagi jika PRK ini dilihat satu-satunya gelanggang untuk memadam rekod DAP sapu bersih 15 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Selangor 12 Ogos tahun lalu.-UTUSAN










