MUSIMNYA telah tiba semula apabila Malaysia disibukkan kembali oleh gimik Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS), satu-satu aktiviti yang ‘memukau’ rasa senegara. Mempamerkan prestasi yang kononnya lebih cemerlang melayakkan di ‘kedudukan ketiga tertinggi di Asia dan keenam di dunia.’
Bermacam faktor diberikan sesuai dengan peningkatan kadar itu dan ini. Kali ini melibatkan lebih program di antara 25 buah universiti di Malaysia. Syabas.
Keseluruhannya, universiti Malaysia dikatakan mendapat kadar peningkatan 22 peratus dalam kenaikan anak tangga berdasarkan data bebas yang diperoleh daripada prestasi 240 program di 25 universiti negara.
Menurut QS dalam program peringkat nasional, 84 universiti menunjukkan penambahbaikan, manakala 38 lagi universiti berjaya disenaraikan buat kali pertama. Ada pula yang 100 teratas di dunia.
Pecah rekod sana dan sini, seolah-olah pendidikan umpama sukan yang hanya memperuntukan satu pingat emas, perak dan gangsa. Yang lain hampa belaka, model pendidikan yang agak sumbang.
Untuk kali ini saingan dari universiti swasta turut ditampilkan. Maka banyak pula yang bangga mengakui bahawa ini bukti komitmen institusi terhadap kecemerlangan pengajaran dan komuniti pembelajaran yang ideal- kononnya. Apatah lagi dalam memenuhi keperluan universiti tersebut buat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti yang ‘diatur’ oleh pihak QS, berkisar utamanya kepada aspek penyelidikan dan penerbitan.
Ada yang akur dan menyifatkan kedudukan kali ini sebagai pendorong besar bagi pemacu masa hadapan mensasari penambahbaikan cabaran mendatang. Ada menyatakan ia ‘holistik’ pula.
Anehnya, bagaimana jika tidak ramai yang mengambil berat aspek pengajaran dan pembelajaran serta libat sama masyarakat. Lebih dangkal dari holistik. Meskipun kelemahan ini tertera dengan jelas. Terutama semasa wabak Covid-19. Kelompongan masih terasa.
Bermaksud penemuan QS agak ketinggalan atau tercicir untuk memperbaiki semula tuntutan pasca Covid-19 memandangkan banyak telah berubah tetapi tidak diambil kira. Lantas, jangan terpedaya.
Tambahan ada panggilan segera dalam aspek ‘edu-genocide’ di Gaza. Telah berterusan selama hampir enam bulan. Mendapat bantahan keras dunia melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini. Lebih 30,000 nyawa tidak berdosa terkorban tanpa berperikemanusiaan. Manakah semua ini dalam perhitungan QS? Mengapa tidak peka?

BANTAHAN
Sebaliknya ternampak dunia maju lebih peka dari kita kerana tidak mempedulikan tentang penarafan komersial ini. Bagi mereka buang masa, bertelur sebiji riuh sekampung, walaupun universiti di sana benar-benar bertaraf dunia mengikut KPI serta kecenderungan cara mengukur QS yang sering dikritik oleh pelbagai pihak, termasuk Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU) yang bertapak di Malaysia, beberapa bulan lalu.
Malah laporan UNU menasihatkan bahawa amalan ranking ini mempunyai sembilan risiko tinggi buat jangka masa panjang.
Seiring itu, masyarakat ilmiah dan universiti dunia maju berhempas pulas menegakkan peranan jati mereka untuk memperdebatkan kedudukan di Gaza pada setiap saat. Yakni segala bentuk persekolahan serta pendidikan ranap dan musnah ditangan rejim Zionis yang kejam. Ribuan kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur persekolahan mati dibom begitu saja.
Akibatnya, contoh terkini University of Columbia di New York, Amerika Syarikat (AS) terus menerus bergelut dengan isu sarat tersebut. Sehingga lebih 100 pelajarnya ditangkap polis atas permintaan pentadbiran universiti atau presidennya (bersamaan naib canselor di universiti Malaysia) kerana menyuarakan sokongan terhadap isu genosid di Gaza, dan Palestin amnya.
Menunjuk perasaan beramai-ramai sejak enam bulan lalu dalam menuntut pembebasan Palestin dari amalan apartheid Israel bersama sekutu kuatnya, AS dan Britain terutama sekali. Apalah gunanya berkelas dunia, melonjak puluhan anak tangga atas kriteria yang tidak bermakna, tetapi terang-terangan mengabaikan prinsip manusiawi serta moral etika pendidikan dalam kerangka manusiawi sejati yang QS tolak ketepi.
Bukan sekadar menerbit dan mengira mata ukuran QS yang sendirinya tidak manusiawi. Lebih-lebih lagi berbaur komersial tanpa menekan hasrat hakiki pendidikan sebenarnya – sepertimana yang diuar-uarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996.
Bagi beberapa kumpulan pelajar seperti Students for Justice in Palestine dan Jewish Voice for Peace (yang turut anti-Zionis) tindakannya: diperintah gantung kerana kononnya menyalahi peraturan universiti. Tetapi mengapa Israel yang didapati menyalahi begitu banyak peraturan serta undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin dengan amat dahsyat, dipertahankan mati-matian? Kemunafikan tahap tinggi.
Untuk mereka yang kaya raya, tuntutannya adalah untuk menekan pergerakan pelajar pro-Palestin. Jika tidak derma dan pembiayaan akan dihentikan. Amaran zalim seumpama ini dijadikan alat untuk ‘memenangkan’ kezaliman terhadap rakyat Palestin tanpa asas keadilan dan belas kasihan.
Namun para pelajar universiti di barat terus bersemangat memperjuangkan hak mereka disamping menolak kezaliman dalam apa bentuk sekalipun kerana tidak mendapat tempat sebagai bertaraf dunia atas apa-apa dasar.
Entahlah bagaimana QS dan sekongkolnya memahami berserta universiti dan kementerian menerimanya tanpa periksa. Hairan di mana pergi nilai perikemanusiaan.
Contoh ilham yang lain di University of Yale, para pelajar pasca siswazah melancarkan mogok lapar terhadap desakan menghentikan sokongan kepada Israel khasnya berkaitan bekalan senjata dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza selama ini. Bagi mereka mogok lapar paling sesuai memandangkan kawasan Gaza dikepung Israel sudah mula mengalami kebuluran oleh sebab tidak cukup bekalan makanan.
Di University of Southern California pula, para pelajar menuntut akan siswazah terbaik tahun ini, seorang wanita Muslim – dibenarkan memberi ucap utamanya dan bukan ditarik balik oleh pihak atasan, atas dakwaan menyokong perjuangan Palestin kononnya. Ini semua adalah antara contoh isu yang tercetus dari semasa ke semasa melibat universiti terkemuka dunia.
Maka umumnya di seluruh AS, termasuk juga Harvard University, Tufts, Emerson dan MIT, ia merupakan landasan bertindak menentang durjana Israel. Sekali gus sebagai suatu nafas baharu untuk pergerakan pro-Palestin. Sedia menghadapi banyak rintangan dan langkah bersifat haiwan secara mendadak.
Tragedi ini menampakkan dengan jelas bahawa ‘piawaian’ yang diperagakan QS selama ini sifar nilai manusiawinya. Malangnya universiti tempatan kurang sedar untuk bangkit memperbetulkan keadaan. Tidak seperti contoh di barat kerana ketakutan akan bayang-bayang.
Tidak pula yakin yang kebenaran itu sememangnya hakiki dan menuntut keberanian kerana benar dalam mengartikan amanah pendidikan sepenuhnya. Ringkasnya, minda teramai masih terjajah. Maka tidak pun terkilas antara institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang lebih 30,000 nyawa diragut musuh durjana di depan mata dunia.
Kini asyik pula dengan satu penarafan yang ‘menipu kita bulat-bulat’ seperti mana pernah tersiar dalam ruangan ini yang bertarikh 16 November 2023. Kita ‘gembira’ atas gelimpangan jutaan mayat saudara tidak berdosa. Dengan rasa tidak sedikitpun terhina.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










