KEPUTUSAN kerajaan yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan data mengenai kemalangan jalan raya pada setiap hari secara real time berbanding setahun sekali seperti diamalkan sebelum ini dilihat antara langkah dan strategi baik yang boleh meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya dan anggota masyarakat.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet dan mahu rakyat sedar bahawa kematian melibatkan kemalangan jalan raya sebenarnya lebih tinggi daripada wabak Covid-19.
Usaha meningkatkan tahap kesedaran seperti ini adalah satu langkah pencegahan yang baik kerana pendedahan data secara real time pada setiap hari boleh mendatangkan ketakutan dalam kalangan rakyat sekali gus mendorong setiap pengguna jalan lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.
Statistik data kematian akibat kemalangan pada 2023 menunjukkan sebanyak 18 kematian direkod setiap hari, bersamaan purata satu kematian setiap 80 minit.
Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kematian sehari melibatkan penunggang motosikal, yang bermakna setiap dua jam, seorang penunggang motosikal maut. Secara keseluruhannya jumlah kematian disebabkan kemalangan jalan raya pada 2023 merekodkan 6,443 orang sekali gus menjadi angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Data ini membuktikan kemalangan jalan raya sudah menjadi penyumbang utama kadar kematian di negara ini. Adakah kita mahu pejam mata dan terus biarkan perkara ini berlarutan, yakni lebih banyak lagi nyawa terkorban di atas jalan raya?Tuntasnya, sampai bila kita mahu biarkan jalan raya di negara ini terus bermandi darah?
Anggota masyarakat dan setiap pengguna jalan raya perlu ambil iktibar dengan statistik yang menggerunkan seperti ini lantas berusaha sebaik mungkin untuk mencegah kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut daripada terus berlaku.
Kita risau jika lambat bertindak, kadar kemalangan maut boleh terus meningkat ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada bulan April kelak. Kadar kemalangan ketika musim perayaan utama seperti ini sememangnya tinggi walaupun pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa pada setiap musim perayaan.
Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa namun jelas sekali sikap pemandu kita terus menjadi antara punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan maut di negara kita. Kajian sebuah agensi kerajaan menunjukkan 80.6 peratus kemalangan jalan raya berlaku akibat kesalahan pemandu itu sendiri.
Antara sikap pemandu yang dikesali ialah mementingkan diri, tidak mempedulikan hak dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, tidak mematuhi undang-undang serta ego dilihat seringkali menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan jalan raya di negara kita.
Kita perlu akui bahawa sikap adalah aspek yang amat sukar untuk diubah dan dibentuk dalam sekelip mata kerana sikap pada zahirnya sebati dalam diri individu masing-masing.
Sikap baran misalnya wujud sejak kita kecil lagi dan ia tidak boleh diubah dalam sekelip mata melalui kempen semata-mata. Begitu juga sikap para pemandu yang lain seperti tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri, ingin menunjuk-nunjuk, memandu dengan laju melebihi had laju yang telah ditetapkan, berlagak seperti jaguh di atas jalan raya serta sikap tidak mahu mengalah dan bertolak ansur.
Buatlah kajian sebanyak mana sekalipun inilah jawapannya. Inilah hasil ataupun sikap yang dimiliki oleh majoriti pemandu kita yang terus menjadi duri dalam daging di atas jalan raya.
Sudah tiba masanya setiap pengguna jalan raya mengubah sikap masing-masing dengan meningkatkan tahap kesedaran dan keselamatan ketika memandu. Ubahlah sikap supaya kita boleh menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain ketika berada di atas jalan raya.
Ingatlah kata-kata keramat yang sering diungkapkan iaitu “seminit tidak membawa erti jika ia berakhir dengan tragedi”. Hanya kita sendiri yang mampu mengubah sikap dan ego kita ketika memandu. Kenapa begitu sukar untuk ambil iktibar dengan segala insiden dan kemalangan yang sering berlaku selama ini.
Amalkanlah tiga tips mudah iaitu kawal kelajuan ketika memandu, bersabar di atas jalan raya termasuk dengan gelagat pemandu lain serta pastikan diri kita sentiasa cergas ketika memandu terutamanya membabitkan perjalanan yang jauh kerana boleh mengantuk dan membawa kepada pelbagai musibah.
Dalam konteks ini, penunggang dan pembonceng motosikal misalnya yang sering menjadi mangsa utama nahas kemalangan maut wajar bertindak mengambil langkah yang lebih berhati-hati dan selamat supaya tidak terus menjadi mangsa keadaan.
Statistik 2023 juga menunjukkan hampir dua pertiga kemalangan membabitkan motosikal iaitu 4,480 kematian disebabkan kemalangan motosikal. Utamakan keselamatan diri dan jangan terlalu mengharap ihsan daripada pengguna jalan raya yang lain kerana masing-masing ingin cepat sampai ke destinasi dan tidak ramai yang sanggup bertolak ansur ataupun memberi laluan dengan mudah.
Ingat, tiada gunanya kita memiliki kenderaan yang besar dan mahal jika gagal mematuhi peraturan jalan raya dan menganggap diri sebagai raja di atas jalan raya. Tiada gunanya juga segala kempen yang dianjurkan oleh pelbagai pihak yang prihatin jika kita masih mementingkan diri sendiri apabila berada di atas jalan raya.
Cukuplah jumlah darah yang membasahi jalan raya selama ini. Hargailah nyawa sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Usah menyalahkan takdir semata-mata tatkala jelas kita yang cuai dan leka.
Marilah kita bertekad untuk mengubah sikap dan tingkah laku diri masing-masing apabila berada di atas jalan raya dengan menjadi seorang pengguna jalan raya yang berhemah, berhati-hati, mengutamakan keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain seterusnya lebih bertanggungjawab dan saling menghormati. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).










