Selamatkan Seladang daripada diancam kepupusan

Selamatkan Seladang daripada kepupusan

Seladang merupakan haiwan yang terancam sekarang dan berhadapan dengan kepupusan sekiranya habitat mereka terus diasak dengan pembangunan dan menjadikan habitat mereka terpencil. - Gambar Simfoni Alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERITA tentang seladang atau nama saintifiknya Bos Gaurus kian pupus telah lama dibincangkan. Malah, Jabatan Perhilitan sudah lama menyedari hal ini memandangkan haiwan ini sangat sensitif kepada persekitaran yang berubah akibat aktiviti manusia seperti pembalakan dan pertanian yang melibatkan ladang kelapa sawit dan getah.

Perubahan alam sekeliling yang semakin bertambah menghimpit habitat seladang. Aktiviti manusia yang paling bermasalah kepada populasi seladang adalah pemburuan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Penubuhan pusat pembiakan dan konservasi seladang di Jenderak, Pahang dan di Sungkai, Perak merupakan inisiatif penting Jabatan Perhilitan.

Pusat konservasi hidupan liar Sungkai Perak sudah lama dikenali sebagai kawasan yang diperuntukkan bagi program pembiakan dalam kurungan untuk seladang, rusa sambar dan burung kuang. Malah kawasan rizab yang ditubuhkan sejak 1928 ini bertujuan untuk melindungi seladang. Menurut Jabatan Perhilitan, keluasan kawasan rizab berubah-ubah dengan pertambahan pada 1940 dan pengurangan pada 1957 dan seterusnya.

Pusat Konservasi Hidupan Liar Seladang di Jenderak Selatan, Pahang pula merupakan satu lagi kawasan penting dalam pemuliharaan seladang. Kawasan seluas 20 hektar ini dibuka pada 1982 dengan tujuan untuk melindungi seladang daripada kepupusan. Pusat ini telah menjinakkan seladang liar dan membiakkan mereka dalam kurungan untuk tujuan pemuliharaan jangka panjang. Sejak penubuhannya pusat ini berjaya menghasilkan lebih 200 ekor seladang melalui kaedah pembiakan dalam kurungan.

Program pembiakan seladang dalam kurungan berperanan meningkatkan populasi seladang yang terancam dan hampir pupus. Seladang yang sudah cukup matang dan mampu berdikari boleh dilepaskan di kawasan yang sesuai untuk seladang terus hidup di habitat semula jadi seperti di Hutan Simpan Krau dan Taman Negeri Kenyir. Seladang di Jenderak Selatan adalah daripada spesies bos gaurus hubbacki yang hidup liar di Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Kesudian kerajaan negeri Pahang mewartakan Hutan Simpan Krau sebagai lembah biodiversiti menjanjikan program pemuliharaan hidupan liar yang berjaya. Demikian juga dengan kewujudan Taman Negeri Kenyir yang boleh menggalakkan kawasan legar untuk kepentingan ekologi hidupan liar. Sumbangan kerajaan negeri Pahang dan Terengganu sangat penting dalam pemuliharaan hidupan liar termasuk seladang.

Kawasan yang penting itu perlu disusuli dengan kajian yang teratur dan tersusun agar maklumat berkaitan habitat hidupan liar lengkap dan boleh dirujuk untuk pengurusan habitat yang baik. Di Malaysia, tidak banyak kajian berkaitan pengurusan habitat hidupan liar dilakukan. Ekologi dan tingkah laku haiwan mesti difahami sekiranya inginkan program pemuliharaan hidupan liar terbaik.

Tekanan ke atas populasi seladang ialah pengurangan habitat akibat daripada penebangan hutan untuk pembalakan, pertanian dan perbandaran. Pengurangan habitat, kawasan mencari makan dan kawasan legar mereka memberikan peluang untuk mereka diburu secara haram tidak terkawal dan menghadapi masalah lain secara semula jadi atau tindakan manusia.

Pemulihan ekosistem antara proses pengurusan habitat hidupan liar yang baik. Pendekatan secara ekologi penting dalam pemulihan ekosistem. Kaedah sesuai perlu bagi memfokuskan kepada organisasi biologi yang berfungsi dalam struktur dan proses yang melibatkan interaksi antara organisma dan alam sekeliling mereka. Dalam hal pemuliharaan seladang, pengurusan habitat mesti mengambil kira semua faktor ekologi yang boleh mengkayakan ekosistem dan boleh melindungi mereka daripada semua kesan negatif mengganggu pemuliharaan seladang.

Kesedaran terhadap pemuliharaan hidupan liar dalam habitat semula jadi sudah lama sejak tahun 1930an lagi apabila Taman Negara ditubuhkan dan lain-lain rizab hutan untuk perlindungan hidupan liar. Sekiranya program pemuliharaan hidupan liar berterusan melibatkan kesedaran awam, penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan yang cekap, program pendidikan dan penyelidikan yang berkesan, sudah tentu Malaysia sudah mendahului dunia dalam pemuliharan hidupan liar.

Walaupun Malaysia sudah terkenal sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi di dunia, namun Malaysia masih kurang penyelidikan umum tentang hidupan liar dan kajian khusus berkaitan haiwan sensitif dan terancam seperti seladang.

Kepupusan badak sumbu kerbau atau badak sumbu Sumatera yang nama saintifik Dicerorhinus sumatrenesis di Malaysia mesti menjadi pengajaran dan amaran kepada spesies lain seperti seladang. Seladang merupakan haiwan yang terancam sekarang dan berhadapan dengan kepupusan sekiranya habitat mereka terus diasak dengan pembangunan dan menjadikan habitat mereka terpencil. Seladang merupakan mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah.

Seladang yang hidup berkumpulan dan aktif sepanjang hari memerlukan kawasan legar dan makanan yang cukup. Kawasan ragut yang cukup dengan rumput, pokok herba dan pokok renek lain serta kawasan rehat yang sesuai untuk mereka mesti ada dan selamat daripada pemangsa dan pemburu haram. Sifat seladang yang lebih aktif ketika awal pagi dan lewat petang serta suka berehat di bawah pokok sepanjang hari, memerlukan landskap khas dalam pengurusan habitat mereka. Pemantauan yang lebih teratur dan cekap mesti diadakan oleh pihak berkuasa.

Kes penyakit kaki dan mulut yang merebak dalam kalangan populasi seladang di Malaysia pada 2016 menjadi satu lagi cabaran baharu. Kejadian ini memberikan peringatan berkaitan pengurusan seladang dalam kurungan dan interaksi dengan habitat liar. Pendedahan kepada aktiviti pelancongan dan interaksi dengan haiwan ternakan dan peliharaan mungkin antara penyebab kepada jangkitan penyakit kaki dan mulut.

Pengiktirafan hutan simpan untuk habitat seladang, pengurusan habitat yang baik dan kajian yang sistematik berkaitan ekosistem berkenaan bukan sahaja memberikan kebaikan kepada manusia dari segi perkhidmatan ekosistem tetapi juga kepentingan ekonomi. Pengurusan habitat yang baik termasuklah ruang dan makanan yang cukup serta keseimbangan hubungan mangsa dan pemangsa mesti berlaku dalam pemuliharaan hidupan liar amnya.

Sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia pada 3 Mac 2024, isu hidupan liar mesti diangkat lagi untuk semua penduduk dunia memahami dan bersama memulihara hidupan liar. Dengan tema Connecting People and Planet: Exploring Innovation in Wildlife Conservation menunjukkan hubungan manusia dan planet sangat penting. Maka sewajarnyalah penerokaan dari segi inovasi digital dalam pemuliharaan hidupan liar terutamanya seladang mesti disegerakan secara berkesan. – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN