Mukadimah
TINDAKAN telah pun diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah, baru-baru ini.
Tahniah atas tindakan pantas pihak berkuasa.Semoga tidak timbul lagi perkara sama di masa akan datang terutama perkara sensitif dan hal-hal berkait agama dan bangsa.
Bagaimanapun, di sebalik isu panas ini , terselit banyak persoalan lebih-lebih lagi tentang langkah memboikot yang didakwa segelintir pihak sebagai bertentangan dengan semangat perpaduan.
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Pemuda UMNO, DR. MUHAMAD AKMAL SALEH bagi mendapatkan penjelasan beliau.
Turut membantu jurufoto AMARULLAH ZAINUZZAMAN dan FARIS IDERIS.
ASAL BUAT SALAH, MINTA MAAF
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah terdapat pemimpin DAP atau MCA datang berjumpa dengan saudara bagi membincangkan isu ini?
DR. MUHAMAD AKMAL: Setakat ini tiada yang berjumpa secara peribadi. Bagaimanapun ada yang menelefon termasuk daripada Ketua Pemuda DAP dan MCA. Mereka ada bercakap dengan saya sebelum mengeluarkan beberapa kenyataan.
Pada masa sama, mereka telah pun menyatakan pandangan. Apa yang saya beritahu mereka adalah ini bukan soal perkauman tetapi soal hati umat Islam seluruh negara yang tengah terluka yang teramat sangat. Jadi, kita mesti sedia maklum perkara ini.
Kalau kita tidak tangani dengan betul, saya bimbang ia akan jadi lebih parah. Dan saya pada masa sama menyatakan juga kepada mereka mengapa saya buat kempen boikot ini.
Saya telah katakan kepada mereka yang pertama kempen boikot ini untuk memberi pengajaran keras kepada pelaku dan juga kepada orang yang akan cuba melakukan lagi perkara sama pada masa akan datang.
Sebab apa saya katakan begitu? Kerana mungkin akan ada lagi terjadinya hal yang sama selepas ini. Boleh dikatakan orang Melayu dan umat Islam di negara ini sudah fed up apabila hal yang sama berulang kali berlaku.
Asal buat salah hina agama minta maaf. Kali pertama buat salah kita maafkan, kali kedua buat lagi kita maafkan dan begitu juga kali ketiga kita maafkan. Tapi kali ini sudah berkali-kali. Jadi, pada saya sudah tentu ada satu had maksimum yang mana kita kena ada tindak balas semula.
Tetapi itu bukan bermakna kita hendak tindak balas sampai ke tahap kasar. Kita cuma mahu beritahu bahawa kuasa pembeli di negara ini ialah orang Melayu dan umat Islam majoritinya.
Apa yang kita mahu sampaikan, kalau kamu buat masalah dan hina agama kami sudah tentu kita akan menggunakan kuasa pembeli ini sebagai tindak balas terhadap mereka yang hina agama kami.
OPORTUNIS
Ada beranggapan saudara seorang oportunis dengan bersifat lantang di sebalik beberapa isu untuk meraih populariti. Komen saudara?
Saya tidak pernah rasa saya seorang oportunis. Apa yang saya rasakan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin dan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim. Sebab apa saya katakan begitu? Pertamanya, sejak saya jadi Ketua Pemuda sehingga hari ini, isu agama dan bangsa, saya tidak pernah berdiam diri walaupun ada perkara yang saya rasakan dan dalam masa-masa tertentu, kita dapat kecaman daripada orang parti kita sendiri.
Tetapi ini bukan soal hendak jaga hati sesiapa. Ini soal seorang pemimpin yang perlu menjaga agama dan bangsa. Malah ini bukan soal oportunis. Kalau soal oportunis, sudah tentu saya ambil langkah lain dan kita boleh tengok perkara ini pada banyak sudut.
Malah kali ini, di peringkat awal lagi kita dikecam dan saya sentiasa konsisten dengan pendirian saya iaitu Pemuda UMNO akan terus untuk memperjuangkan tiga prinsip.
Pertama, jangan sentuh agama kedua jangan sentuh bangsa kami dan ketiga jangan sentuh Raja-Raja kami.
Jadi, apabila sampai ke tahap isu stoking ini. Saya sendiri tak jangka ia (boikot) akan menjadi begitu terkesan sebab sebelum ini isu-isu yang kita bawa mungkin hanya di peringkat Pusat sahaja. Tetapi isu ini rupa-rupanya hampir berada di setiap hati orang Melayu. Ini menunjukkan kita konsisten daripada peringkat awal sehingga akhir.
Saya tidak mahu populis dan saya tidak mahu political mileage. Bila kita cakap soal stoking ini, ia bukan soal parti mana bercakap. Ini soal pemimpin Islam yang mahu mempertahankan agamanya.
Kalau orang lain hendak ambil mileage politik silakan. Saya tidak kisah. Itu bukan kami dan kita sentiasa konsisten. Waima apa juga isu yang datang, kita tidak berubah. Kali ini kita hendak tunjukkan perlunya ada seorang pemimpin Melayu dan Islam yang berani memperjuangkan tentang agamanya, bangsanya dan tentang tanah airnya.
Sudah lama kita tidak ada pemimpin Melayu yang berani perjuangkan isu-isu sebegini. Kalau dulu kita tahu apabila kita duduk berkawan dengan seseorang, kita perlu jaga kawan kita. Kalau kawan kita buat salah pun kadang-kadang kita diam. Tetapi kali ini tidak lagi. Sebab itu, saya hendak tekankan UMNO boleh berkawan dengan siapapun. Tetapi kalau bab melibatkan prinsip, Pemuda UMNO akan ke hadapan.
PEMUDA UMNO DI LANDASAN BENAR
Ada pemimpin UMNO termasuk Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi datang berjumpa saudara?
Saya bercakap dengan beliau dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini. Alhamdulilah dalam mesyuarat itu, saya mendapat sokongan penuh ahli sebulat suara. Mereka sokong tindakan Pemuda UMNO dalam isu ini.
Malah ia telah pun dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan akhbar sekali gus menunjukkan Pemuda UMNO berada di landasan yang benar.
Jadi, saya merasakan tiada apa yang saya perlu takut untuk membawakan isu yang menyentuh hal agama Islam dan hak orang Melayu atau tanah air. Kita akan terus konsisten dalam isu-isu berkenaan daripada hari pertama sehingga hari ini.
HANGAT-HANGAT TAHI AYAM
Apabila ada pandangan sinis dan hanya melihat boikot ini satu tindakan yang umpama hangat-hangat tahi ayam. Adakah saudara terkesan?
Saya tidak rasa kali ini ia akan jadi begitu. Mungkin sebelum ini ada yang hanya bersemangat sedemikian. Bersifat sementara. Saya boleh beri contoh isu Israel. Ia bukan baru pertama kali berlaku. Tapi apa yang kita lihat baru-baru ini tindakan boikot betul-betul memberi kesan.
Tengoklah apa yang terjadi pada jualan McDonald’s yang jatuh merudum, Starbucks pun begitu.
Sebab, ia sudah sampai hadnya. Orang Islam ini ada had kesabarannya. Apabila orang Islam ini ditolak ke dinding sudah tentu dia akan bertindak balas. Pada masa sama, kita perlu kena sedarkan orang Melayu dan Islam bahawa kita kuasa Melayu terbesar.
Maka kita yang tentukan ekonomi negara. Memang betul tauke Cina kaya raya, tetapi mereka kaya sebab orang Islam dan Melayu di negara ini. Yang ini kita hendak sedarkan orang Melayu dan Islam bahawa kita adalah kuasa pembeli terbesar. Jadi, mana-mana pihak yang cuba mainkan isu perkauman dan hina Islam pasti ada kesannya. Kita tak perlu jadi ekstremis, tidak perlu angkat parang dan pistol.
Sebaliknya, gunakan kuasa yang ada iaitu kuasa paling besar adalah kuasa membeli untuk menekan mereka ini. Bila ditekan dengan ekonomi, maka lepas ini mereka akan berjaga-jaga serta pandang ia sebagai satu perkara serius.
Kita tidak mahu isu menghina agama ini berulang lagi dan hanya berakhir dengan kemaafan. Ini bukannya cara hendak jaga keharmonian. Hendak menjaga keharmonian negara ini pertama awak kena faham. Bagaimana hendak faham? Perlu ada satu pengajaran supaya dapat belajar daripada pengajaran berkenaan. Jadi, yang ini (tindakan boikot) ini saya harap ia boleh jadi pengajaran sangat besar bukan sahaja kepada KK Mart tetapi semua pihak agar tidak bermain dengan agama dan bangsa.
MAHU JADI JUARA ISU
Mungkin ada yang melihat saudara hanya juara dalam isu tertentu seperti sekolah vernakular atau stoking. Komen?
Mereka kena lihat juga dikala orang tidak angkat soal beras tempatan, siapa yang ke depan dan mengangkat isu ini? Siapa yang serbu kilang beras tempatan dan kilang yang sorokkan beras? Tidak lain dan tidak bukan sayalah.
Kalau saya hendak bercakap dalam semua isu, apa guna ada Ketua Pembangkang. Apa guna ada yang lain. Saya cakap dan kita akan terus bercakap. Tiada masalah. Akan tetapi saya akan bercakap dalam isu-isu relevan dan sesuai untuk bercakap.
Kalau mahu cakap soal pengguna saya tidak bercakap dalam isu salah. Di saat orang tidak cakap soal beras tempatan, saya yang naikkan isu ini dan mendedahkan isu sorok beras. Pada saya mudah. Ada isu yang saya boleh bercakap dan ada yang saya harapkan agar orang lain untuk sama-sama bercakap.
Kalau orang lain tidak boleh bercakap, akhirnya kita yang bercakap. Malah kita sebenarnya telah cadangkan banyak lagi perkara lain seperti pendidikan, isu bagaimana nak tingkatkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan kita juga ada buat konvensyen Pemuda untuk dasar DEB baharu.
Di samping itu, kita juga ada bercakap dalam beberapa perkara berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera. Tapi isu ini tidak banyak yang mengetengahkan. Mungkin orang nampak hanya isu vernakular dan kalimah Allah. Walau apa pun, saya percaya Pemuda UMNO kekal konsisten untuk bawa suara rakyat tanpa gentar.
JUNJUNG TITAH AGONG
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak perlu menghentikan kontroversi isu stoking. Komen saudara?
Kita junjung titah Tuanku sebaik mungkin. Sudah tentu dari hari pertama isu kalimah Allah ini kami mengatakan ia bukan isu perkauman. Namun, ada pihak lain yang menjadikan ia isu perkauman. Kita cakap lantang hari ini bagaimana kita mahu beri tunjuk ajar kepada pasar raya KK Mart. Kalau awak lihat dalam KK Mart ini ada India ada Melayu dan ada Cina.
Jadi, kami tidak cakap ‘mesti boikot perniagaan Cina’. Tidak sama sekali. Kami juga tidak bercakap apabila boikot KK Mart kita mesti bakar pasar raya berkenaan.
Malah, apabila keganasan yang berlaku seperti semalam sehingga dilempar ada bom petrol, kami kecam.
Ini bukan cara kita dan kita tidak minta tindakan dilakukan secara ekstremis. Kita mahu boikot secara aman walaupun ada ugutan bunuh terhadap saya. Hal itu biar kita beri pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Tetapi apabila kita melancarkan boikot, ia sebenarnya sama macam mana kita boikot terhadap makanan segera seperti McDonald’s atau Starbucks. Dan apabila kita bercakap soal boikot ia melibatkan hak pengguna.
Di samping itu, apabila kita ajak boikot sudah tentu rata-rata umat Islam yang terkesan dia akan ikut. Tetapi kalau tidak terkesan, kita tiada paksaan. Ia bukan satu isu besar. Ia isu bagaimana kita mahu tunjukkan satu keadaan kalau orang Melayu bersatu menerusi tindakan secara ekonomi.
Kita adalah pengguna dan kuasa pembeli terbesar di negara ini. Kalau pengajaran keras diberikan kepada KK Mart, selepas ini dia akan jadi pengajaran orang lain supaya lebih berhati-hati terutama dalam isu 3R. Ini sebenarnya yang kita nak sampaikan.
HUBUNGAN DENGAN KERAJAAN PERPADUAN
Adakah kelantangan saudara terutama melibatkan isu ini akan mengganggu gugat hubungan dengan Kerajaan Perpaduan?
Pertama, kalau kita hendak berbuat satu hubungan baik, saya percaya kita mesti ada pemahaman yang sangat jitu. Kalau awak tidak faham atau tidak tahu sensitiviti kawan, maka saya percaya hubungan itu tidak boleh kekal lama.
Jadi, UMNO hari ini boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Tetapi UMNO sudah garis panduan ada tiga perkara kamu jangan sentuh iaitu tentang agama Islam, bangsa Melayu dan tentang Raja-Raja Melayu. Ini tiga perkara yang kita rasakan ia terlalu sensitif. Jadi, sebagai rakyat Malaysia, mana-mana perlu faham dari merdeka sampai sekarang, inilah perkara kita perjuangkan sejak dulu lagi.
Kalau mana-mana kawan kita dalam rakan perpaduan, saya tidak ada masalah dan boleh duduk atau berbincang bersama. tetapi mereka juga perlu faham ini isu sensitif. Jangan pernah sentuh.
Saya tidak pernah serang DAP selagi mana mereka tidak menyentuh tiga perkara ini. Saya juga tidak serang Parti Amanah, PKR kalau ia tidak melibatkan isu rakyat. Jadi, ini yang penting.
Sebelum kita hendak duduk bersama dan kekalkan hubungan, mereka perlu faham kami sebab itu kami tidak sentuh isu sensitif.
Tetapi bila mereka sentuh isu sensitif sudah tentu kami tidak boleh berdiam. Maka kami perlu nyatakan hasrat kami. Prinsip kami kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi kami sama sekali tidak akan menggadaikan prinsip kami.
Adakah isu stoking ini ada unsur intervensi daripada Presiden UMNO?
Tidak. Saya hendak katakan begini. Presiden tidak ada intervensi dalam isu ini. Ini adalah hasil perbincangan saya bersama rakan-rakan dalam Exco Pemuda UMNO Malaysia.
Apabila kita hendak buat satu keputusan, kita duduk bincang dalam tim dan apakah fakta kes serta bagaimana kita nak suarakan hasrat rakyat di media sosial atau di media massa. Jadi,
Presiden tidak pernah menghalang atau bagi galakkan. Dia bagi kebebasan dan sudah pasti jika ada melampaui batas sudah pasti Presiden panggil. Tapi setakat ini kami dapat sokongan penuh termasuk daripada Presiden.
SAMPAI BILA BOIKOT?
Sampai bila Pemuda UMNO mengambil tindakan boikot ini?
Pertama begini. Kita telah pun memberitahu kepada KK Mart untuk minta maaf dan mereka telah pun melakukannya. Pada masa sama, kami suruh gantung banner di seluruh cawangan KK Mart. Ada yang tanya kenapa kena gantung banner?
Kerana biarlah setiap kawasan yang ada KK Mart ini orang tahu mereka minta maaf. Ini hendak tunjukkan mereka serius memohon maaf. Tapi ia hampir tidak berlaku. Kalau ada pun letak dalam televisyen. Isu ini menjadi besar apabila ada segelintir pemimpin DAP dan MCA yang cuba menjadikan isu perkauman. Yang mengatakan boikot ini salah.
Saya mahu tanya salah daripada segi mana? Adakah hak pengguna dinafikan? Sekiranya umat Islam rasa hendak boikot itu terpulang pada mereka. Tetapi janganlah sampai kata isu boikot ini isu perkauman. Bila bab yang menyentuh perihal mereka, hendak reserve pula.
Apabila ada isu berkaitan kena pada kita, kata ia sebagai isu perkauman. Saya tidak pernah cakap pun boikot yang ada menyentuh isu 3R. Pada saya isu boikot ini isu individu. Sampai bila boikot? Sampai ia dijadikan pengajaran keras pada KK Mart.
Katakanlah pengajaran keras itu menyebabkan KK Mart ditutup, sebab orang betul-betul marah. Perlu diingat orang Melayu ini kalau marah tidak pergi demonstrasi atau lakukan perkara-perkara ekstremisme. Mereka tunjukkan dengan kuasa pembeli yang ada.
Selagi mana hari ini ia terkesan di hati umat Islam, selagi itu ia diboikot. Maka, tanya pada hati umat Islam. Mungkin kalau hatinya sudah ok sikit? Sampai bila diboikot, saya tiada jawapan. Ia berada pada hati individu setiap umat Islam. Kalau saya, saya akan boikot sampai hati saya terubat. Sehingga ini hati saya masih belum terubat. – MINGGUAN MALAYSIA










