PINDAAN terbaharu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini bukan saja memperluas ruang kebebasan dan hak mahasiswa yang dinantikan selama ini malah boleh turut menyumbang ke arah melahirkan bakal graduan dan pemimpin masa hadapan yang lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Pindaan kali ini membabitkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU. Tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi komitmen untuk memartabatkan autonomi mahasiswa dan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong sebulat suara pindaan tersebut.
Ini membuktikan suara mahasiswa sentiasa didengari dan akta itu bukan bersifat statik di mana kerajaan bersedia untuk meminda dan mengukuhkan AUKU dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Ini pindaan terbaharu selepas kali terakhir pada 10 Disember 2018 iaitu pemansuhan sepenuhnya Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus. Untuk rekod, AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus. AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.
Antara pindaan terkini yang menarik perhatian penulis ialah penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekalipun tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
Pindaan Seksyen 48 (11) yang membenarkan MPP membuka dan mengurus akaun dengan mana-mana institusi kewangan yang sah selain pindaan ke atas Seksyen 48 (12A), diwujudkan peraturan am yang dijadikan panduan kepada MPP dan pemegang jawatan dalam menguruskan kumpulan wang atau akaun. Tuntasnya, pindaan berkaitan soal kewangan organisasi dan aktiviti pelajar menarik untuk diteliti.
Pemberian autonomi tambahan terbaharu seperti ini juga selari dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang dibawa oleh KPT pada ketika ini. Melalui pindaan ini sudah tentu golongan mahasiswa akan mendapat peluang untuk berdikari dan menguruskan pelbagai keperluan berorganisasi mereka dengan lebih bebas dan mengikut acuan mereka sendiri.
Pindaan membabitkan urusan kewangan untuk aktiviti sering menarik perhatian mahasiswa selama ini yang mahu diberikan lebih banyak keluwesan supaya mereka mudah bergerak untuk memohon dan menerima sumbangan dari pihak luar dan menggunakan semula untuk menjayakan aktiviti yang dirancang. Kebenaran untuk MPP membuka dan mengurus sendiri akaun dengan mana-mana institusi kewangan yang sah adalah antara berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh mahasiswa selama ini.
Ironinya dengan pindaan ini, mahasiswa lebih bebas bergerak untuk memperkasakan aktiviti yang dirancang berpaksikan kepada panduan pengurusan kewangan yang ditetapkan sekali gus menyelesaikan isu birokrasi yang sering dibangkitkan pelajar sebelum ini.
Pindaan ini bukan sekadar soal memungut wang dan menganjurkan program semata-mata tetapi melalui pendekatan ini kita mampu membangunkan karakter mahasiswa atau bakal graduan yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan. Kebebasan yang diberikan ini boleh membantu universiti membimbing dan mendidik bakal graduan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan yang menuntut pelbagai kemahiran insaniah dan profesional.
Mahasiswa dengan kerjasama universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar perlu menggunakan ruang kebebasan disediakan untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran dalam soal pengurusan organisasi yang efisien dan efektif terutamanya dalam konteks mengamplikasikan ciri-ciri kepimpinan yang bertanggungjawab melalui amalan tadbir urus organisasi yang betul.
Memikul tanggungjawab dengan kawalan yang mininum boleh melahirkan pemimpin pelajar yang berdaya tahan, yakni mampu mengharungi pelbagai cabaran, boleh berdikari, memiliki kemahiran pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah selain meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Ini akhirnya akan membentuk kelompok graduan yang memiliki kemahiran dan karakter diperlukan majikan. Jelas sekali autonomi ini akan menjadi medan latihan sambil belajar yang terbaik kepada mahasiswa sebelum memasuki alam pekerjaan.
Pindaan terbaharu ini turut menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU. Manakala pindaan ke atas Seksyen 48(4) Jadual Pertama AUKU, membolehkan Pihak Berkuasa Universiti iaitu lembaga menguruskan tempoh pelantikan MPP dalam tempoh peralihan selepas tamat tempoh lantikan sehingga pilihan raya kampus diadakan, dengan tempoh lantikan MPP dipinda daripada satu tahun kepada satu tahun akademik.
RUANG KEBEBASAN
Walaupun ada segelintir mahasiswa yang kelihatan kurang jelas dengan pindaan dan penambahbaikan dua seksyen ini tetapi keterbukaan pihak KPT yang membuka pintu kepada kumpulan mahasiswa untuk mendapatkan penjelasan lanjut adalah wajar dipuji dan dihargai. Ironinya bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang justeru golongan yang memerlukan penjelasan lanjut wajar berjumpa dengan pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing atau KPT sendiri untuk sesi libat urus.
Hakikatnya, mahasiswa perlu melihat inisiatif pindaan ini dalam spektrum yang lebih besar dan wajar memanfaatkan pindaan terbaharu ini sebaik mungkin sekali gus menggunakan ruang kebebasan diberikan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab supaya memperoleh impak yang sepatutnya, bukan saja ketika di kampus tetapi sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak. Misalnya, pastikan urusan kewangan terutamanya penerimaan sumbangan dan perbelanjaan dilaksanakan dengan penuh berhemat dan telus tanpa sebarang kepentingan peribadi. Buktikan mahasiswa mampu tampilkan ciri kepimpinan yang terpuji sebagai cerminan bakal pemimpin masa hadapan negara.
Mahasiswa perlu sedar negara meletakkan harapan tinggi kepada kelompok cerdik pandai ini dalam memikul amanah meneruskan legasi kecemerlangan negara pada satu hari ini. Jadi kebebasan yang diberikan perlu hadir bersama tanggungjawab dan kepimpinan yang berintegriti.
Dalam konteks ini, pihak universiti boleh terus memainkan peranan sebagai pembimbing dan pemudah cara bagi membantu mahasiswa menguruskan organisasi pelajar dengan lebih berkesan. Proses pembangunan pelajar perlu terus dijadikan agenda utama universiti supaya negara peroleh manfaatnya kelak.
Sinergi kerjasama dan hubungan erat antara mahasiswa dan pentadbiran universiti mampu melahirkan kelompok bakat masa depan yang boleh membantu memacu kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Semoga pindaan terbaharu AUKU ini dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya tahan dan bersedia menyumbang bakti kepada rakyat dan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).










