PENGUMUMAN awal pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak dua tahun lagi sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu bersungguh-sungguh, sekali gus merebut tempat di universiti milik Sarawak.
Dianggarkan seramai 25,000 pelajar di negeri itu bakal memanfaatkan dasar pendidikan tinggi negeri itu secara percuma bermula tahun 2026.
Apabila dilaksanakan nanti, Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua anak negerinya.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga pernah mengakui bahawa manfaat yang bakal dinikmati anak-anak Sarawak itu merupakan satu inisiatif yang tidak pernah terfikir akan berlaku oleh anak Sarawak sebelum ini.
Malah katanya, keputusan untuk memartabatkan pendidikan di negeri itu berdasarkan keyakinan kerajaan Sarawak terhadap kekuatan ekonomi yang akan bertambah maju dan stabil selagi rakyat bersatu padu.
Inisiatif itu terus diperhebatkan dengan pelajar-pelajar berpeluang meneruskan pengajian di universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri, seperti University Teknologi Sarawak (UTS), Curtin University, Swinburne University, i-Cats University College and Centre for Technology Excellence Sarawak (Centexs).
Abang Johari berkata, unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 memberikan keyakinan kepada pihak kerajaan negeri untuk menetapkan jangkaan itu dan sasaran untuk membiayai pendidikan bagi 25,000 pelajar mulai 2026.
Beliau berkata, sebagai permulaan, kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, mulai tahun ini.
Menurutnya lagi, bantuan yang dikhaskan untuk pelajar anak Sarawak dari kalangan B40 itu seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2024 pada 20 November tahun lalu.
“Memang ada dalam dasar kita untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak dan kini kita sedang menuju ke arah dasar itu,” kata Abang Johari.
Tambah Abang Johari, antara bantuan yang dicadangkan ialah pembelian buku teks yang harganya agak mahal dan membebankan bagi golongan B40.
“Kita menganggarkan lebih 5,000 anak-anak dari keluarga B40 yang menuntut di IPT awam dan swasta memerlukan bantuan bagi meringankan beban bagi mendapatkan keperluan pembelajaran,” ujar beliau baru-baru ini.
KEWANGAN KUKUH
Tidak dinafikan, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, mendedahkan dasar itu boleh dipertahan menerusi model kewangan kukuh yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam tahun-tahun sebelum ini.
Annuar berkata, kerajaan Sarawak mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pendidikan itu kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh dengan menyaksikan kenaikan pendapatan beberapa tahun lepas.
“Kita sudah menjangkakan pendapatan negeri akan meningkat. Sebelum ini Sarawak mencatatkan pendapatan sebanyak RM13.1 bilion pada 2023 dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga dijangka meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, adakah pelajar bersedia merebut peluang dan inisiatif tersebut? Ini yang menjadi persoalan.
“Kumpulan pelajar terawal yang bakal menerima manfaat pendidikan percuma Sarawak pada 2026 kelak kini berada di tingkatan tiga dan empat.
“Pada 2026 kelak, faktor kewangan bukan lagi menjadi penyebab seseorang pelajar tidak melanjutkan pelajaran. Selain itu, kita berharap keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini perlu dipertingkatkan supaya lebih ramai anak Sarawak menikmati inisiatif tersebut,” tambah Annuar.
Sehubungan itu, beliau berharap agar usaha kerajaan negeri itu menjadi pembakar semangat buat anak-anak Sarawak untuk belajar bersungguh-sungguh merebut tempat di universiti milik Sarawak kelak.
Beliau berkata, masalah kewangan merupakan salah satu punca ramai anak-anak tidak mampu menyambung pengajian ke universiti selain keputusan SPM tidak memuaskan.
Oleh itu, katanya, kerajaan Sarawak memperkenalkan inisiatif itu dengan mengambil kira dua perkara di atas.
“Jika kita tidak bersedia dari sekarang, saya percaya hanya beberapa ribu sahaja bakal menikmati manfaat ini,” jelasnya.
GANDING BAHU
Tidak dinafikan juga, masa depan Sarawak amat cerah. Bagaimanapun, rakyatnya perlu kekal bersatu dan bekerjasama untuk membolehkan negeri ini mencapai kejayaan yang lebih besar.
Keyakinan bahawa kerajaan Sarawak mampu menyediakan faedah pendidikan percuma dalam masa dua tahun lagi juga merujuk kepada kekuatan ekonomi negeri itu selain seluruh rakyatnya berganding bahu bagi merealisasikan usaha murni itu.
“Saya yakin bahawa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Sarawak mampu menawarkan pendidikan tertiari secara percuma kepada pelajar-pelajar Sarawak menjelang 2025 atau 2026.
“Lebih-lebih lagi pada 2026 kerana kekuatan ekonomi kita akan lebih kukuh pada masa itu,” jelasnya.
Sebagai rekod, pada tahun lepas sahaja hasil pendapatan Sarawak berjumlah RM13.3 bilion menjadikan angka tersebut tertinggi yang pernah dicapai oleh negeri itu. – UTUSAN
COWEN Linch ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.










