MIC masih relevan pasca PRU15?

MIC masih relevan pasca PRU15?

BARISAN utama kepimpinan MIC termasuk ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli MIC lebih matang berpolitik berbanding dengan masa-masa lepas. – GAMBAR MIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMAN­DANGKAN tempoh Presiden MIC semasa tamat pada 25 Mei 2024, maka pihak MIC telah memutuskan penamaan calon bagi pemilihan Presiden MIC bagi penggal 2024-2027 diadakan pada 27 Mac 2024 dan pemilihan dijadualkan pada 12 April 2024.

Menurut Perlembagaan parti, seorang ahli MIC yang mendapat sokongan dan cadangan daripada 250 ketua-ketua cawangan yang telah mengadakan mesyuarat tahunan pada 2024 boleh menawarkan diri sebagai calon bagi merebut jawatan presiden.

Meskipun perhimpunan Agong MIC ke-77 yang berlangsung pada bulan November 2023 telah meluluskan resolusi sebulat suara bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tahun 2024, apakah jawatan pesiden akan dipertandingkan pada kali ini? MIC pernah menyaksikan pertandingan hebat bagi merebut jawatan presiden sejak pemilihan presiden MIC kedua.

Sehubungan ini, tinjauan kasar terhadap potensi pencalonan bagi merebut jawatan presiden pada saat-saat terakhir didapati barisan saf utama kepimpinan MIC bukan sahaja menyokong kepimpinan Tan Sri SA.Vigneswaran, malah mereka berharap Vigneswaran meneruskan jawatannya sebagai presiden parti bagi penggal ketiga. Mereka menzahirkan keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap Vigneswaran bersandarkan kepada rekod cemerlang kepimpinan beliau sejak beliau mengambil alih kepimpinan MIC pada 2018.

Vigneswaran dilantik sebagai Presiden MIC ke-10 tanpa bertanding, bagi tempoh 2018-2021 pada 2018 dengan sokongan hebat daripada ahli-ahli MIC. Pada tahun 2018, beliau menerima pencalonan sejumlah 1,801 daripada hampir 4,000 cawangan MIC yang berada di seluruh negara.

Beliau juga memenangi tanpa bertanding jawatan presiden MIC pada kali kedua bagi tempoh 2021-2024. Beliau dijangka akan dilantik sebagai Presiden MIC bagi kali ketiga tanpa bertanding kerana sokongan terhadap kepimpinan beliau datang bercurah-curah daripada keseluruhan warga MIC dari peringkat atas ke peringkat akar umbi.

Vigneswaran dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden berturut-turut bukan kerana tidak wujud kebebasan bagi seorang ahli MIC tampil ke hadapan bagi menawarkan diri untuk merebut jawatan tersebut ataupun amalan demokrasi tidak lagi segar dalam parti MIC.

Ia menunjukkan barisan utama kepimpinan MIC termasuk ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli MIC lebih matang politik berbanding dengan masa-masa lepas. Menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden oleh Vigneswaran jelas memaparkan bahawa warga MIC menerima baik dengan kepimpinan Vigneswaran malah mereka berpuas hati dengan prestasi kepimpinan beliau.

Vigneswaran mengambil alih kepimpinan MIC apabila prestasi MIC merudum dalam beberapa pilihan raya umum. Para penganalisis pula sering mengaitkan prestasi MIC dalam pilihan raya dengan tahap sokongan pengundi India kepada MIC.

Kemerosotan prestasi MIC secara mendadak dalam pilihan raya umum mulai PRU12 telah menimbulkan pelbagai andaian, kononnya MIC semakin hadapi hakisan sokongan kaum India dan akan terkubur dalam sedikit masa.

Malah, MIC tidak lagi relevan sebagai parti politik unggul yang mewakili kaum India dan tidak lagi merupakan suara tunggal kaum India dalam kerajaan.

Lebih-lebih lagi, kemenangan besar parti-parti bukan BN sejak PRU12 pula telah menimbulkan persepsi kononnya kaum India, yang pernah setia dan menyokong kuat MIC sejak PRU pertama telah mengalih sokongan mereka kepada parti-parti bukan BN sekaligus MIC.

Namun, Vigneswaran bukan sahaja berjaya membangkitkan semangat dan menghidupkan semula MIC bahkan mengelakkan MIC daripada terkubur dan hilang daripada medan politik negara.

Dalam pada itu, ada sesetengah pihak mendakwa kegagalan Vigneswaran selaku Presiden MIC untuk menawan Parlimen Sungai Siput daripada parti DAP (PH) dalam PRU15 sebagai bukti MIC hilang pengaruhnya dalam kalangan kaum India.

Tetapi, realitinya Vigneswaran gagal menawan kerusi tersebut bukan kerana merosot sokongan kaum India tetapi kerana sebahagian besar pengundi Melayu yang menjadi deposit tetap BN mengalih sokongan mereka kepada PN.

Vigneswaran memperoleh 19,791 undi dalam PRU15 berbanding dengan 15,210 undi yang diperolehi oleh calon MIC dalam PRU14. Ini bermakna sokongan terhadap Vigneswaran dan undi yang beliau peroleh telah menambah sebanyak 4,581 undi. Penambahan undi kepada Vigneswaran dalam PRU15 jelas membuktikan bahawa sokongan kaum India terhadap MIC bukan terhakis seperti diandaikan oleh seseetengah pihak.

Dalam pada itu, meskipun MIC tidak diberi peluang menyertai kerajaan perpaduan, MIC kepimpinan Vigneswaran didapati tidak mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membela kepentingan dan menjaga kebajikan kaum India. Kepimpinan Vigneswaran didapati telah melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan seperti program bantuan kewangan yang melibatkan berjuta-juta ringgit.

Sebagai contoh, RM3.2 juta disediakan pada tahun 2019 kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu. Malah, kepimpinan Vigneswaran melancarkan pelbagai program baharu untuk membantu masyarakat India.

Antaranya, khidmat nasihat guaman secara percuma kepada ahli-ahli MIC dan orang awam, program bantuan khas seperti membantu mangsa bencana banjir dan kebakaran, pandemik Covid-19, bantuan kewangan RM10,000 kepada keluarga ahli MIC yang meninggal dunia, penubuhan Briged Pemuda MIC 2.0 bagi menggalakkan golongan belia India menyertai MIC, program khas Uttavi untuk membantu kumpulan B40 yang memerlukan pelbagai bantuan, termasuk bantuan makanan dan bantuan wang ringgit untuk rawatan, penubuhan The Indian Consultative Council (ICC) atau Majlis Perunding untuk menghalusi Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) yang disediakan oleh Kementerian Perpaduan bersandarkan Malaysian Indian Blue Print (MIB).

Selain itu, kepimpinan Vigneswaran juga menangani dengan baik isu kasta yang menular sebagai penyakit barah dalam semua peringkat MIC yang menjejaskan perpaduan dalam parti sejak akhir 1970-an malah timbulkan puak-puak dalam parti.

Beliau didapati melarang dengan tegas permainan kasta dalam politik MIC dan dengan itu menamatkan kewujudan puak-puak atau team dalam kalangan ahli MIC yang timbul sebelum ini.

Anjakan paradigma dalam kepimpinan beliau didapati telah banyak membantu MIC bukan sahaja membangkit semula ke arah kegemilangan malah mentransformasikan MIC sebagai sebuah parti politik yang terkuat dalam gabungan BN pada saat politik semasa yang tidak menentu. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN