Lapan pindaan perkasa proses kewarganegaraan

Lapan pindaan perkasa proses kewarganegaraan

KEMENTERIAN Dalam Negeri melalui proses libat urus serta membuat kajian perbandingan dengan amalan di negara-negara lain berhubung proses kewarganegaraan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANIFESTO Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kesemuanya memuatkan janji jaminan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan wanita Malaysia yang bersuami warganegara asing di luar negara melalui pindaan ke atas Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran itu, Kerajaan Perpaduan melalui Mesyuarat Kabinet pada 18 Februari 2023 membuat keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak dalam kategori ini.

Pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) membentangkan cadangan pindaan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 pada 22-23 Februari 2022 yang memutuskan supaya dibentangkan mekanisme pelaksanaan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ke dalam mesyuarat ke-262 pada 25-26 Oktober 2023.

Pada 10 Jun 2023, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) setelah melalui proses libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan serta membuat kajian perbandingan dengan amalan di negara-negara lain mengumumkan lapan perkara yang akan dipinda.

Lapan perkara yang akan dipinda adalah:
(1) Memasukkan perkataan ‘ibu atau bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua bagi membenarkan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia diterima sebagai warganegara Malaysia melalui Kuat Kuasa Undang-Undang (KKU).
(2) Menjadikan pendaftaran warganegara bagi kelahiran luar negara dilaksanakan segera dalam tempoh satu tahun.
(3) Mengehadkan hanya satu generasi bagi kelahiran luar negara yang boleh menuntut kewarganegaraan melalui KKU manakala generasi seterusnya boleh memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran.
(4) Menjadikan warganegara melalui KKU hanya terpakai untuk individu yang salah seorang ibu atau bapa kandungnya adalah warganegara Malaysia pada masa kelahiran individu tersebut tetapi anak daripada ibu dan bapa pemastautin tetap tidak dibolehkan mendapat kewarganegaraan melalui KKU.
(5) Menjadikan kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan wanita warga asing yang menjadi warganegara Malaysia selepas dua tahun mulai dari tarikh wanita berkenaan dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia bagi mengekang keadaan yang mana perkahwinan di antara wanita warga asing dengan lelaki warganegara Malaysia dibubarkan sejurus wanita berkenaan dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.
(6) Menambah peruntukan syarat asas kemahiran Bahasa Melayu sebagai syarat wajib penganugerahan kewarganegaraan Malaysia bagi isteri kepada lelaki warganegara Malaysia.
(7) Menurunkan had umur baharu memohon kewarganegaraan dari 21 tahun kepada 18 tahun agar selaras dengan umur kelayakan mengundi automatik 18 tahun.
(8) Meletakkan Seksyen 19B iaitu anak yang baru lahir dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan dianggap warganegara dan 1(e) iaitu anak yang lahir di Persekutuan dan semasa lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran bukan melalui KKU. Tempoh satu tahun selepas kelahiran diberikan untuk tujuan pembuktian kepada ibu atau bapanya atau orang yang mengetahui tentang kelahiran itu.

Cadangan pindaan ini dibawa untuk disembah-maklum dan diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 pada 22 dan 23 Februari 2023 diikuti mesyuarat ke-262 pada 25 dan 26 Oktober 2023 dan mesyuarat ke-265 pada 22 Februari 2024. Ia juga telah dibawa dan mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Menteri Dalam Negeri mengumumkan persetujuan Mesyuarat Kabinet pada 8 Mac lalu manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa ia akan dibawa ke Parlimen pada bulan ini selepas diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Secara umumnya, kesemua lapan perkara yang akan dipinda ini mendapat penerimaan baik daripada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, terdapat kesilapfahaman sesetengah pihak ke atas cadangan pindaan kelapan yang didakwa akan melucutkan hak kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan (anak terdampar atau foundlings) untuk mendapat kewarganegaraan.

Hakikatnya perkara ini tidak akan berlaku. Apa yang berlaku hanyalah perubahan pemberian kewarganegaraan dari KKU ke pendaftaran dibuat bagi memasukkan elemen permohonan ke dalamnya sekali gus untuk memastikan hanya permohonan yang layak, bukannya permohonan yang tidak layak seperti yang dibuat oleh sindiket pemerdagangan bayi, dipertimbangkan.

Ini penting kerana pelucutan kewarganegaraan di bawah kaedah KKU setelah ia diberi dengan cara fraud, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap tidak boleh dibuat kerana Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai untuk mereka yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian sahaja.

Walaupun peruntukan Seksyen 1(e) dan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua adalah peruntukan mengenai KKU, elemen penyiasatan tetap dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyemak latar belakang kes kanak-kanak berkenaan.

Ada juga pihak yang mempersoalkan mengenai pemberian kuasa kepada menteri dan proses birokratik yang didakwa akan memakan masa panjang tetapi hal ini juga tidak berbangkit kerana menteri selama ini memang menggunakan kuasanya di bawah Perkara 15A untuk memproses permohonan anak terdampar melebihi usia bayi bersekali anak luar nikah dan anak angkat.

Dakwaan menteri menggunakan kuasanya untuk menafikan pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak ini adalah tidak benar. Buktinya ialah, mengikut data KDN, sejak 2014 hingga 2023, daripada 59,000 permohonan yang dibuat di bawah Perkara 15A, 35,000 sudah diproses dan peratusan yang berjaya ialah 98 peratus berbanding permohonan di bawah Perkara 19B, iaitu 142 sahaja.

Bilangan permohonan yang dibuat di bawah Perkara 19B ini sedikit kerana anak terdampar memerlukan laporan PDRM, JKM dan hospital terlebih dahulu sebelum boleh diproses oleh KDN. Bila KDN memproses permohonan ini di bawah Perkara 15A, dan peratus berjayanya lebih tinggi, ia bukti bahawa KDN sebenarnya mempermudahkan proses kewarganegaraan anak terdampar. Benar selama ini pemohon terpaksa menunggu terlalu lama tetapi kini KDN telah menyiapkan satu prosedur standard (SOP) dalam mana proses dan pemakluman permohonan wajib dibuat dalam garis masa setahun. Oleh itu, kerjasama rentas parti diperlukan bagi memastikan ia diluluskan. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Ketua Unit Penyelidikan Institut Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN