TIDAK sensitif. Tiada deria rasa untuk tidak membenarkan penjualan stoking yang menghina kalimah Allah.
Mujurlah umat Islam di Malaysia daripada kalangan orang Melayu yang lebih banyak bertolak ansur dalam kehidupan bermasyarakat. Jika hal ini terjadi di negara Arab atau Perancis atau Sweden yang turut didiami minoriti orang Islam, boleh gegak gempita jadinya sehingga menelan korban.
Pengalaman di banyak tempat di dunia menunjukkan persengketaan agama amat berbahaya – permainan hasil tambah sifar (zero-sum game), tidak akan ada tolak ansur sama sekali.
Apa yang berlaku dari isu kalimah Allah tempoh hari, kita wajar mencubit diri sendiri. Kebelakangan ini pun ada ahli politik cuba menabur benih politik kebencian. Segelintirnya ghairah memecahbelahkan perpaduan dan merosakkan keharmonian.
Meskipun `pahlawan budaya dan pahlawan papan kekunci’ juga mengacah-acah di sana sini, tindakan itu setakat ini tidak membawa kemudaratan berbanding tindakan agresif ahli politik. Ini kerana ahli politik mempunyai pengikut dan musuh yang sentiasa bersiap sedia untuk mencetuskan kegelisahan, kalaupun bukan kekacauan. Lantas kesannya lebih dahsyat terhadap kestabilan dan ekonomi.
Sebab itu tanpa kesedaran dan kepekaan sosio-historical atau sejarah sosial, dipercayai kita tidak dapat memahami dengan mendalam sifat masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi. Apa lagi implikasinya.
Inilah barangkali satu ‘tragedi’ kepada orang-orang politik jika mereka terus alpa. Padahal masyarakat sedang melihat, mendengar dan memikir akan fi’il mereka, sebelum ‘membalasnya’.
Meskipun kita menolak kebenaran falsafah-falsafah berbentuk sejarah yang bersifat dogmatik dan linear – contohnya, dialectical materialism – kesedaran sejarah itu tetap penting. Ia membuatkan kita memahami keadaan hidup, cabaran getir mendatang dan kewujudan kita.
KONTRAK SOSIAL
Jika diamati, teras kontrak sosial adalah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas jus soli. Namun ia perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.
Dan sekali gus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.
Robert D. Kaplan dalam bukunya, Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos mengingatkan, kekalutan dan kecelaruan pada abad ke-21 mungkin juga berbangkit daripada gerakan populis. Iaitu mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, dirangsang pula oleh kepercayaan agama dan sektarian atau taifah. Dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian, terutamanya teknologi maklumat.
Waima apa pun, harus diakui aset, kekuatan dan daya tahan negara Malaysia terletak dalam pembentukan kaum yang pelbagai, iaitu masa depan yang berbilang budaya dan kaum. Apabila perpaduan terhasil, bermakna pelabur akan mula mempercayai pasaran ekonomi negara yang menjadi stabil. Seterusnya mereka mula melakukan pelaburan ke negara ini. Anjakan sistem ekonomi akan naik seiring dengan perpaduan pada tahap maksimum.
TITAH RAJA MELAYU
Dan kita cukup maklum sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah berkenaan.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda.
Demikianlah kata Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis pada tahun 1935 dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya. Dia sependapat dengan Frank Swettenham bahawa “a Malay is not quite a Malay, if he does not adhere to the ways of the sultanate”.
Swettenham pada tahun 1905 menyatakan: “When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans.”
Kehidupan orang Melayu dilingkungi oleh adab sopan yang diwarisi turun temurun dan menjadi pegangan hidup. Dan tidak kira di mana kita berada dan siapa kita, sebagai rakyat Malaysia termasuklah pengusaha kedai serbaneka terbabit, berpeganglah kepada pendirian ini:
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” – Ikutlah peraturan tempat di mana kita berada. – UTUSAN










