Warga emas perintis negara

Warga emas perintis negara

WARGA emas seharusnya diangkat dan disanjung dan bukannya hanya setakat menjadi sebutan buat penyedap hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGUHAN sesebuah negara itu bergantung kepada kesejahteraan warga emas. Mereka merupakan perintis negara. Perintis yang menegakkan kemakmuran dan kelangsungan bangsa.

Kehebatan generasi muda bertali pusat dengan warga emas. Warga yang harus disanjung dan dinobatkan. Tiada warga emas, lenyaplah bangsa itu dari peta dunia.

Sejarah dan tamadun jelas membuktikan akan kegagalan sesebuah bangsa itu mewarisi ilmu dan amalan daripada warga emas, menjadikan bangsa itu bangsa mundur dan kafir.

Siapakah warga emas? Muniandy, Valiyamah, Wak Kentut, Ah So Lim, Pak Lah, Tok Wan Samad, Sarimah, Kanang antara panggilan dan nama klasik warga emas di negara kita. Ia adalah nama dan panggilan yang kian pudar di kaca mata warga maya.

Adakah kita terlintas untuk menamakan anak abad ke-21 dengan nama-nama klasik ini? Tidak? Mengapa? Adakah kita cuba melayani peredaran zaman atau menolak dengan persepsi akan ia mundur dan reput?

DIDIKAN
Anak yang diasuh dan disekolahkan oleh warga emas kita dikategorikan sebagai Pahlawan Nusa yang berjaya mengangkat martabat bangsa berbanding dengan anak yang didigitalkan oleh ayah dan ibu kandung. Mungkin pahit untuk ditelan madu ini, namun itulah hakikat sebenarnya.

Mereka berjaya mendidik kita menjadi manusia tetapi kita enggan menyerahkan tanggungjawab itu kepada mereka dalam mendidik anak kita. Kita sanggup menghantar anak ke taska dan diletakkan di bawah mata-mata pembantu rumah mahupun tidak sanggup dicium mahupun diapit oleh orang tua kita. Adakah ini membawa maksud, sekali mereka didulang sebagai warga emas, selamanya disimpulkan sebagai tidak bermaya? Mengapa perlu kita ‘kafirkan’ warga emas?

Warga emas penuh dengan ciri kepimpinan yang unggul dan wasatiyyah. Memimpin keluarga dengan acuan tersendiri dan gaya kepimpinan yang bertoleransi. Tegas pada tempat, tidak pilih kasih, sanggup berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan dan kemakmuran keluarga. Sifat ini semestinya dijadikan teladan.

Berikan pengiktirafan kepada warga emas dalam meneruskan tradisi kepimpinannya kepada anak-anak kita. Jangan sesekali terdetik untuk meminggirkan dengan menyorong mereka bantal rumah kasih nur, pusat jagaan seri emas dan pelbagai pusat jagaan yang merata di pelosok negara.

BAKTI DICURAH
Warga emas, ketika usia muda mereka telah mencurah bakti kepada negara. Mereka terbilang dan tersohor dalam segala bidang. Sebut sahaja bidang apa, ada sahaja tokoh dan pahlawan terbilang.

Dalam Tentera Darat Malaysia, ia bermula dengan pengambilan 25 orang anak Melayu sebagai Kompeni percubaan Pasukan Askar Melayu pada 1 Mac 1933 yang mengorbankan jiwa dan raga mereka demi nusa ini terus mekar dengan wangian merdeka.

Datuk Kanang anak Langkau, Datuk Dol Said, Datuk Bahaman dan banyak lagi senarai pejuang tanah air yang menjadi perintis dalam mendaulatkan negara Malaysia.

Dalam bidang politik, mendiang Tan Sri Devaki Krishnan yang menjadi urat dan nadi dalam memartabatkan perjuangan wanita dan perkhidmatan awam negara. Tun Lee Hau Shik atau lebih dikenali dengan gelaran Tun H.S.Lee yang menjadi delegasi kemerdekaan negara tiada kurang hebatnya.

Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann, ‘Spiderman’ Datuk R. Arumugam, Datuk Punch Gunalan, Josephine Mary, Anita Ali, Datuk Dr. M. Jegathesan, Datuk Zainuddin Abdul Wahab antara tokoh sukan yang melakar butir-butir emas dalam kancah sukan negara.

Tan Sri Ramli Puteh atau Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau nama seninya P. Ramlee, A.R Badul, Datuk L.Krishnan, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin, Saloma, Datuk Sarimah Ahmad, Ruminah Sidek (Mak Mah), Latifah Omar dan Datin Saadiah antara nama yang berputar dan berlegar di layar hitam putih.

Adakah kita mengambil inisiatif dalam menimba dan jadikan teladan daripada perjalanan hidup mereka? Sudah tentu jawapannya, amat mendukacitakan. Ramai di antara anak muda sekarang tidak mengenali sejarah dan nota-nota kehidupan tokoh-tokoh negarawan, yang kini telah menjadi nostalgia.

Ilmu dan sifat kepimpinan mereka harus dinovelkan dan disemadikan dalam jiwa anak muda kita. Sayang seribu sayang, kita agak lambat menjadikan mereka ini sebagai teman inspirasi, jika adapun, ia boleh dibilang.

Tradisi dan budaya Malaysia yang turun temurun tiada bandingan dengan mana-mana negara. Kita berdiri atas kaki sendiri dengan nilai dan ketamadunan yang berjiwa kemanusiaan dan bersifat penyatuan. Nilai dan amalan tradisi ini dipelopori oleh warga emas di negara kita.

Beberapa adab seperti makan, masuk rumah, bersalaman, bertutur dan sebagainya diwarisi daripada mereka. Tetapi alangkah sedihnya kita apabila melihat segelintir masyarakat mulai kehilangan adab. Bahkan para siswa-siswi kita masuk ke bilik kuliah melalui pintu belakang. Adakah ini gara-gara kita megah dengan budaya yang menyongsongkan akidah dan tasawuf kita?

TRADISI
Walau seribu ledakan merobek hati dan naluri jiwa-jiwa muda melalui dunia pendigitalan, pantang untuk menidakkan sentuhan warga emas. Juadah masyarakat Melayu seperti kuih kalakatar, dodol kukus tahi minyak dan puteri dua sebilik, manakala makanan orang India yang terdiri daripada uppudu, ukkaarai, raagi adai dan patir pehni serta masakan masyarakat Cina contohnya krim susu dua lapis, Jiaozi merupakan antara makanan tradisional masyarakat Malaysia yang telah hilang dan luput daripada deria rasa.

Kita harus mempelajari resipi, sukatan dan adunan serta cara membuatnya secara tradisional daripada warga emas kita. Ilmu makanan tradisional ini harus dibukukan dan diwariskan kepada generasi mahir digital. Jika gagal menterjemahkannya maka kita bakal menguburkannya buat selamanya.

Warga emas seharusnya diangkat dan disanjung dan bukannya hanya setakat menjadi sebutan buat penyedap hati. Kehebatan dan kewibawaan mereka jelas terbukti dan terukir di bumi bertuah ini.

Ayuh kita memegang dan memimpin jari-jemari mereka yang mencari arah. Kita harus berpegang pada prinsip, warga emas perintis negara dan mendaulatkan warga emas demi kesinambungan dan peradaban negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN