Seimbangkan kedaulatan negara dalam penerimaan syor

Seimbangkan kedaulatan negara dalam penerimaan syor

KERAJAAN harus kekal tegas dengan menolak syor yang tidak memanfaatkan atau mengubah struktur dan identiti negara. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara-negara anggota yang terlibat dalam memberikan syor berkenaan hak asasi Malaysia semasa Sidang Mesyuarat Ke-45 Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 25 Januari lalu. Ucapan penghargaan ini disampaikan oleh delegasi Malaysia semasa proses menerima pakai atau ‘adoption’ pada 31 Januari lalu.

Dalam sesi menerima pakai ini juga, tiga negara troika, iaitu negara yang bertindak sebagai pencatat atau rapporteur bagi Malaysia yakni Argentina, Eritrea dan Vietnam memaklumkan bahawa Malaysia menerima sebanyak 348 syor daripada 130 negara-negara anggota berkenaan pelbagai perihal hak asasi manusia di Malaysia.

Dilaporkan juga terdapat soalan yang disampaikan secara awal oleh 11 buah negara sebelum sesi mesyuarat kali ke-45 pada 25 Januari yang lalu. Kesemua 348 syor yang diberikan akan dipertimbangkan kerajaan Malaysia, yang mana kerajaan akan merujuk pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pihak-pihak berkenaan.

Malaysia perlu memberikan pendirian sama ada untuk menerima atau menolak syor-syor yang diutarakan selewat-lewatnya pada Jun ini.

Terdapat syor-syor yang diutarakan oleh negara-negara anggota yang bercanggah dengan dasar, perundangan dan jati diri watan. Maka, seharusnya sebarang penerimaan syor-syor perlu dibuat secara berhati-hati kerana dikhuatiri mempunyai kesan mengikat tindak-tanduk kerajaan di masa hadapan dan berkemungkinan menjadi beban kepada negara.

Oleh itu, pertimbangan yang teliti dalam segenap aspek keupayaan dan perundangan perlu diambil kira terhadap syor-syor yang dikemukakan. Dalam konteks penerimaan atau penolakan syor-syor ini ia tidak sepatutnya menjadi menjadi bebanan yang tidak perlu kepada kerajaan.

Kerajaan harus kekal tegas dengan menolak syor yang tidak memanfaatkan atau mengubah struktur dan identiti negara. Ketegasan dalam menolak syor yang tidak selari dengan kepentingan negara bukanlah suatu perkara yang janggal. Malah Jordan misalnya menyatakan pendirian yang sama dalam sesi menerima pakai mereka, yang mana wakil Jordan dengan tegas menyatakan syor yang diterima tidak akan bercanggah dengan perlembagaan dan perundangan tempatan.

Ketegasan ini juga selari dengan pendirian negara jiran, Singapura ketika sesi semakan ke atas negara tersebut.

Hakikatnya, terdapat beberapa syor yang diutarakan oleh negara anggota yang boleh dipertimbangkan kerajaan kerana ia selari dengan kedudukan perundangan dan hak asasi manusia dalam konteks tempatan. Malah terdapat syor-syor yang dikemukakan semasa sidang ini, sebenarnya telah diusahakan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh ada negara yang mencadangkan agar Malaysia meningkatkan umur minima perkahwinan.

Penerimaan syor sebegini tidak menyukarkan pihak kerajaan untuk menjawab kelak semasa prosiding yang akan datang kerana sudahpun secara prinsip diterima dan diusahakan melalui dasar dan kerangka perundangan di dalam negara.

Hakikatnya perjalanan UPR ini tidak terhenti setakat sesi menerima pakai ini sahaja.

Proses UPR ini akan berterusan sehinggalah semakan ke atas Malaysia dilakukan pada pusingan kelima yang akan berlangsung dalam tempoh empat hingga lima tahun mendatang. Kerajaan juga akan berterusan perlu memberikan maklum balas berkenaan penambahbaikan yang dilakukan.

Dalam hal ini, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) seperti Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) masih perlu secara konsisten mengutarakan isu-isu hak asasi manusia yang membelenggu masyarakat sebagaimana dalam laporan pihak berkepentingan yang telah dihantar untuk perhatian Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (OHCHR) sebelum ini.

CSO juga mempunyai tanggungjawab untuk semak dan imbang aduan yang diadukan sama ada berjaya ditangani atau dibiarkan sepi begitu sahaja oleh kerajaan walaupun selepas memberi komitmen untuk menyelesaikan isu itu.

HOLISTIK
Walaupun terdapat syor-syor dan aduan MACSA tidak disuarakan dalam mesyuarat kali ke-45 ini, namun usaha boleh dilakukan oleh pihak kerajaan secara holistik untuk menyantuni aduan-aduan yang disuarakan oleh CSO tempatan. Ini kerana terdapat isu pelanggaran hak asasi manusia yang direkodkan oleh badan-badan gabungan dalam MACSA yang berulang-ulang dan telah lama dihadapi oleh komuniti di lapangan.

Sebagai contoh, isu yang membelenggu masyarakat Islam di Sabah berkenaan masjid yang dihalang pihak berkuasa tempatan merupakan antara isu yang telah dibangkitkan oleh MACSA dan memerlukan santunan oleh kerajaan Malaysia.

Tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini tidak terhad kepada pengenalan polisi sahaja tetapi juga kepada penggubalan undang-undang yang signifikan.

Barangkali terdapat pandangan sinis pihak-pihak tertentu bahawa UPR tidak memberikan apa-apa kesan kepada persekitaran hak asasi manusia di Malaysia. Terdapat juga yang berpandangan Malaysia masih berdegil dalam menerima atau meratifikasi konvensyen atau protokol serta menyahjenayahkan kesalahan hubungan songsang sehingga ditegur berkali-kali oleh negara anggota.

Namun, sebagai negara yang berdaulat Malaysia semestinya mempunyai hak untuk menolak sesuatu yang di luar norma masyarakat tempatan. Tiada salahnya di sini. Tumpuan harus diberikan kepada pemerkasaan dan perlindungan golongan rentan, golongan wanita dan kebebasan beragama yang selama ini telahpun dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuntasnya, kebebasan dan kedaulatan negara bermaksud Malaysia bebas menentukan hala tuju perundangan dan apa sahaja polisi yang ingin dilaksanakan. Pihak lain hanya boleh menasihati tetapi tidak sama sekali boleh mengubah struktur negara yang telah dibina sejak dahulu lagi. Lebih-lebih lagi sebelum tertubuhnya Malaysia ini, ia terdiri daripada negeri-negeri yang berdaulat yang mempunyai catatan sejarah yang panjang.

Teguran luar boleh menambah baik situasi di dalam negara tetapi tidak untuk mengubah identiti pertiwi.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×