KES jenayah seperti membunuh, menculik, merompak dan merogol yang berlaku di negara kita dilihat semakin membimbangkan dan mula mengancam kehidupan anggota masyarakat.
Statistik yang terkumpul membuktikan perkara ini, misalnya pihak polis merekodkan purata sebanyak lima kes bunuh dalam seminggu bagi tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sebanyak 741 kes bunuh direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun tersebut. Berlaku peningkatan kes bunuh dengan sebanyak 239 kes berlaku pada 2021, diikuti 214 kes (2022) dan 261 kes pada 2023.
Antara kes pembunuhan kejam pada 2023 yang masih segar dalam ingatan kita ialah, pembunuhan kanak-kanak Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berusia enam tahun dilaporkan diculik sebelum mayatnya ditemui dibuang di dalam anak sungai berhampiran kawasan kediamannya. Selain itu, kes membabitkan ibu tunggal Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella maut dibunuh selepas hilang sejak 14 Disember lalu.
Bagi kes membunuh misalnya, kajian pihak polis mendapati jenayah berkenaan berlaku secara rawak dan antara motif utama ialah pertengkaran atau perselisihan faham, cemburu, mabuk, balas dendam dan hutang.
Secara umumnya kita boleh merumuskan antara faktor yang menyumbang kepada kejadian jenayah di negara kita ialah desakan hidup, latar belakang keluarga yang bermasalah, kegagalan mengurus tekanan diri sehingga sukar mengawal emosi dan tingkah laku selain masalah kesihatan mental. Situasi seperti ini menyebabkan seseorang itu mudah hilang pertimbangan dan sanggup buat apa saja termasuk membunuh.
Jadi persoalannya adakah kita mahu terus membiarkan perlakuan jenayah mengancam kehidupan selain hanya menyerah kepada pihak polis semata-mata untuk menangani perkara ini? Di mana peranan kita sebagai anggota masyarakat dalam membantu membendung kes jenayah?
Ironinya seluruh anggota masyarakat perlu memikul tanggungjawab bersama-sama dengan pihak berkuasa untuk mencegah serta memerangi perlakuan jenayah di negara ini. Jangan kita meletakkan semuanya di bahu polis semata-mata kerana harus diingat dalam kebanyakkan insiden pihak polis hanya dimaklumkan tentang sesuatu kejadian selepas ia berlakunya dan semestinya itu sudah terlewat.
Jadi tanggungjawab mencegah itu lebih terarah kepada anggota masyarakat sendiri. Misalnya kita sendiri yang mampu menangani masalah seperti pertengkaran atau selisih faham, cemburu dan mabuk. Jika kita dapat mengawal diri sudah tentu boleh mengelakkan sesuatu jenayah itu terus berlaku.
TANGGUNGJAWAB
Maka antara tanggungjawab kita ialah perlu bijak mengawal diri serta emosi dan jangan sesekali mudah hilang pertimbangan. Setiap individu perlu fikir masak-masak sebelum berbuat sesuatu kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Dalam hal ini anggota keluarga perlu memainkan peranan dengan memantau gerak geri ahli keluarga yang lain supaya kita dapat memberikan sokongan yang sewajarnya jika didapati mereka berada dalam keadaan tertekan atau sedang menghadapi sebarang masalah dalam kehidupan seharian.
Hakikatnya cemburu tidak boleh dijadikan alasan untuk menculik, merogol dan membunuh. Begitu juga desakan dan kesempitan hidup kerana kos sara hidup yang tinggi atau masalah kewangan termasuk hutang pula tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk seseorang itu terlibat dalam jenayah seperti merompak, meragut atau memeras ugut.
Dalam situasi masalah seperti ini sudah tentu sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan rapat dapat membantu individu yang terkesan sekali gus menghalang mereka bertindak di luar kawalan atau batasan.
Selain itu anggota masyarakat juga perlu memikul tanggungjawab melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak berkuasa dengan segera. Hakikatnya kita perlu sedar dengan bilangan anggota polis yang terhad tidak mungkin boleh berada di setiap pelusok negara untuk memantau aktiviti jenayah yang akan berlaku.
Justeru sebagai warganegara yang mencintakan keamanan dan keselamatan, kita perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa melalui amalan sikap seperti peka serta ambil peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekitar supaya boleh membantu mencegah sesuatu kejadian jenayah yang mungkin berlaku.
Misalnya jika berlaku kes penderaan atau keganasan rumahtangga yang berpotensi boleh berakhir dengan kematian di kawasan perumahan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sebelum situasi itu menjadi lebih mudarat. Percayalah sikap yang kononnya tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga orang lain atau jaga tepi kain orang boleh menyebabkan nyawa orang yang terlibat terancam.
Selain itu, ibu bapa secara khususnya boleh memainkan peranan besar dengan mendidik dan memupuk anak-anak melalui penerapan ilmu dan kemahiran yang sewajarnya melalui nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, hormat-menghormati, melindungi keselamatan diri dan orang lain, tidak mudah putus asa, suka membantu orang lain, memiliki seni mempertahankan diri serta sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
Umpama melentur buluh biar dari rebungnya, amalan dan nilai murni positif yang diterapkan oleh ibu bapa kepada anak mereka sejak kecil mampu melahirkan individu warganegara yang tidak mudah hilang pertimbangan atau terjebak dalam pelbagai kejadian jenayah baik ketika remaja mahupun bila semakin meningkat dewasa. Tuntasnya, didiklah anak-anak untuk bijak membezakan antara betul dan salah.
Pada masa sama, anggota masyarakat juga boleh meningkatkan tahap kesedaran tentang jenayah dengan melibatkan diri dalam program-program pencegahan jenayah yang dianjurkan oleh pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan. Melalui pendekatan ini kita dapat meningkatkan tahap kebertanggungjawaban masing-masing kerana dapat memahami dengan lebih jelas peranan dalam membendung dan mencegah jenayah.
Semoga dengan adanya kerjasama erat antara anggota masyarakat dan pihak polis kita dapat mengurangkan kadar jenayah di negara ini sekali gus mewujudkan kehidupan yang lebih aman, selamat dan tenang.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).










