MENDAPAT peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang setimpal mengikut kelayakan dimiliki masih menjadi cabaran besar kepada golongan graduan di negara ini.
Hakikatnya ketika ini masih ramai dalam kalangan graduan terpaksa menerima apa saja peluang pekerjaan yang ada demi meneruskan kelangsungan hidup.
Situasi dilihat lebih meruncing kepada graduan yang bekerja di bandar besar dengan menerima kadar gaji di bawah paras kelayakan dimiliki kerana terpaksa mengharungi cabaran kos sara hidup tinggi mencakupi keperluan perbelanjaan makan, minum, sewa kediaman, pengangkutan, hutang pinjaman pendidikan serta keperluan untuk membantu keluarga di kampung.
Ironinya, antara punca yang dikenalpasti menyebabkan para majikan keberatan untuk memberi peluang kepada graduan baharu ialah kerana kekurangan kemahiran tambahan seperti kemahiran insaniah dan profesional yang diperlukan untuk melaksanakan tugas selari dengan tuntutan dan perubahan semasa.
Majikan dilihat kurang berminat untuk menyediakan peruntukan khas bagi melatih graduan baharu sebaliknya lebih selesa untuk mengambil graduan yang sudah sedia miliki pakej kelayakan yang dikehendaki, yakni kemahiran tambahan selain ijazah dalam bidang yang diperlukan.
Kita juga tidak boleh menafikan hakikat dan realiti semasa betapa negara sangat memerlukan tenaga kerja dari kalangan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi dan kompeten dalam pelbagai aspek untuk memacu daya saing ekonomi Madani dan membangunkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi.
Justeru, mahasiswa yang masih berada di universiti perlu cakna dan ambil serius keperluan dan tuntutan majikan supaya dapat melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan yang diperlukan sebelum bergraduasi.
Majikan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran profesional yang khusus selain mampu berkomunikasi dengan baik, memiliki pemikiran kritis dan berkeupayaan menyelesaikan masalah, boleh kerja berpasukan serta ada kemahiran kepimpinan supaya dapat memenuhi tanggungjawab yang bakal diamanahkan.
Agensi bakat terbesar di dunia, Ranstad dalam laporan prospek pasaran pekerjaan dan trend gaji 2024 di Malaysia menyenaraikan syarikat di negara ini sedang mencari bakat berkemahiran tinggi dalam bidang permainan, keselamatan siber, tenaga boleh diperbaharui dan analisis data.
Selain itu, pekerjaan membabitkan penggunaan kecerdasan buatan dan data besar untuk meningkatkan ketepatan akan mendapat permintaan yang tinggi dan peranan baharu ini dilaporkan akan menjadi semakin penting.
Jadi bakal graduan perlu memahami potensi seperti ini sekali gus berusaha untuk menambah kemahiran tambahan di samping ijazah yang ada supaya dapat menembusi pasaran kerjaya tersebut bila bergraduasi kelak.
Ironinya, majikan memerlukan bakat kompeten dan berkemahiran yang memiliki sijil kelayakan profesional dalam bidang-bidang spesifik seperti analisis data kerana proses pembuatan keputusan berdasarkan data semakin dititikberatkan oleh semua organisasi bagi mencapai keputusan yang lebih tepat dan betul.
Harus diingat pihak kerajaan juga akan menggunakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menjadi pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat. Salah satu kepentingan PADU adalah memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial. Ini menjelaskan kepentingan pengumpulan data serta kemahiran yang perlu dimiliki untuk menganalisis data dalam membuat sesuatu keputusan.
Oleh itu, mahasiswa perlu bijak menggunakan kesempatan yang ada ketika berada di kampus untuk meneroka dan menimba pelbagai kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum serta menambah kemahiran profesional dengan mengikuti kursus tambahan secara sampingan, selain lulus dengan cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing.
Aktiviti kokurikulum seperti menganggotai badan beruniform atau kelab dan persatuan boleh menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat dan menimba pelbagai kemahiran insaniah yang diperlukan sekali gus melatih dan membentuk karakter yang diperlukan oleh majikan.
Untuk mendapatkan pensijilan profesional, mahasiswa perlu mengambil inisiatif mengikuti kursus-kursus tambahan berbentuk kemahiran teknikal spesifik yang ditawarkan sama ada di universiti mahupun oleh organisasi luar. Mahasiswa perlu bijak memilih kursus pensijilan yang relevan dengan keperluan pasaran kerjaya semasa dan akan datang dan bukannya pilih mengikut minat semata-mata.
Mahasiswa harus sedar bilangan graduan yang semakin bertambah menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan, justeru kita perlu lebih fleksibel dan bijak beradaptasi sekali gus melengkapkan diri dengan kemahiran khusus dan unik supaya dapat bersaing dengan calon lain.
Dalam konteks ini, mengikuti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara sambilan atau sejurus selepas bergraduasi juga wajar menjadi pilihan utama mahasiswa dan graduan baharu kerana permintaan dalam bidang kemahiran semakin meningkat. Hakikatnya, graduan yang tidak mempunyai kemahiran serta literasi digital dalam TVET dilihat tidak akan bertahan lama dalam industri ekoran perkembangan teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI) yang akan mengakibatkan mereka menjadi kurang relevan dalam industri bagi tempoh 10 tahun lagi.
Pada masa sama, pihak universiti juga boleh terus memperkasa inisiatif untuk melahirkan bakat terbaik keperluan industri dan negara dengan menyediakan peluang mencukupi untuk mahasiswa menimba pelbagai kemahiran insaniah dan profesional ketika berada di kampus.
Misalnya, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh menawarkan pelbagai program pensijilan profesional terutamanya kepada mahasiswa tahun akhir sama ada secara percuma atau dengan kadar kos berpatutan. Ini boleh dilakukan melalui kerjasama strategik dengan institusi latihan profesional lain yang ada kepakaran dalam bidang tertentu.
Ini juga selaras dengan salah satu fokus utama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada tahun ini iaitu keperluan untuk IPT mengambil langkah terbaik bagi melatih dan menyediakan bakat terbaik buat negara. Untuk itu, setiap IPT perlu keluar dari kelaziman dan memberi perhatian serius terhadap proses pembentukan dan kemenjadian mahasiswa holistik yang boleh digilap menjadi bakat bernilai untuk negara.
Tuntasnya, mahasiswa atau bakal graduan dengan kerjasama pihak IPT perlu bijak melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan terkini yang diperlukan industri dan majikan supaya dapat menembusi pasaran kerjaya sekali gus meraih peluang pekerjaan dan menikmati gaji yang bersesuaian dengan kelayakan. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia.










