ILMU umpama pelita yang menerangi jalan hidup. Tanpa ilmu, kita ibarat berjalan dalam kegelapan, lalu teraba-raba mencari arah tuju. Apa yang dibuat serba tak kena kerana tidak tahu caranya. Lebuh sempit kuda penyepak, jalan licin tebing berkelok.
Ilmu penunjuk jalan lurus agar kita tidak tersesat dan tersasar. Ilmu juga menolong kita melaksanakan apa sahaja yang dikerjakan dengan baik, cekap dan teratur mengikut aturannya. Tidaklah nanti, hati gatal mata digaruk. Atau lebih parah lagi, bagai tikus membaiki labu.
Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk, jangan bawa resmi jagung makin berisi makin jegang. Orang bijaksana tidak sombong dan tidak pula mendabik dada merekalah paling arif dalam segala hal. Seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi.
Orang bijak pandai dan kaya ilmunya tidak riak, tinggi budi pekerti, cermat berkata-kata dan sentiasa mencari serta menegakkan kebenaran. Mereka tidak sekali-kali menegakkan sumpit tak berisi dan berani mengaku jika terkhilaf.
Lalu, amat malang jika ada yang merasakan diri sudah terlalu hebat dan betul segalanya. Hingga tiada ruang memperbaiki diri, pandangan berbeza semuanya disanggah. Ilmu sejengkal tetapi merasa udah tua daripada kakak, sudah cerdik dari mamak.
Jangan sampai menuntut ilmu yang salah. Atau lebih parah, menyalahgunakan ilmu tanpa rasa bersalah. Walau apa pun hujah diberi dan walau apa pun tujuan di hati, ia tetap salah. Matlamat tidak sekali-kali menghalalkan cara, itulah hukum Allah.
Di pentas maya, ramai berlumba mahu menjadi juara. Tanpa menyiasat, mereka terus bersuara, meluahkan apa sahaja yang terlintas di kepala. Betul tidak kemudian dikira. Kena caranya, ramai pula yang percaya.
Pada penerima, tiada sebab untuk menyiasat kesahihan cerita. Alasannya, ia datang daripada sumber yang mereka percaya. Lantas dikongsi dan dipanjang-panjangkan kepada rakan dan saudara-mara. Bertebaranlah berita palsu ke suapan media kita.
Permainan persepsi mengakibatkan terbentuknya pelbagai ilusi sehingga mencetuskan pelbagai emosi. Kadangkala kebenaran tidak lagi diambil peduli. Apa yang tular, itulah yang dipercayai. Apa yang dipercayai, itulah yang ditularkan tanpa usul periksa berkali-kali.
Mencari kebenaran juga memerlukan ilmu agar kita tidak mudah termakan fitnah dan mudah diperguna. Hidup di akhir zaman di mana fitnah berleluasa di mana-nana. Persepsi dicipta agar hajat terlaksana. Jangan sampai kita terpedaya, kelak turut menanggung dosa.

NIK ELIN
Terkini, keputusan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menjadi topik panas. Belum selesai penghakiman disampaikan di Mahkamah Persekutuan, ramai yang sudah membuat pelbagai ulasan berapi-api sesedap hati, berdasarkan dua, tiga patah yang dikisahkan. Maka tercetuslah pelbagai reaksi dalam kalangan orang awam.
Fahamilah apa yang diputuskan oleh mahkamah, sekurang-kurangnya bacalah ringkasan penghakiman kes sebelum bersuara. Biar jelas isunya sebelum berkata-kata, agar kelak tidak menjadi beban kepada kita.
Saya tidak bersetuju dengan tindakan Nik Elin, namun pada masa sama, saya juga tidak bersetuju dengan sikap pihak yang melontar tohmahan dan mereka-reka cerita. Bukankah elok jika kita bersikap tertib, jujur dan beretika?
Soalnya, berapa peratus daripada kita yang merasa terkesan dengan kes ini telah membaca kesemua 88 muka surat penghakiman penuh kes dan tidak sekadar membaca apa yang ditularkan sebelum membuat kesimpulan?
Dalam kelas undang-undang, kami diajar supaya teliti, cermat, jujur dan adil dalam menilai semua perkara. Kerana akhirnya, semuanya mengaitkan dosa dan pahala.
Apakah sebenarnya yang mahu kita perjuangkan? Jika sekadar menggunakan andaian dan tohmahan. Kedudukan mahkamah syariah tidak akan dapat kita martabatkan kerana ini ialah hal perundangan.
Pelbagai versi cerita dan berbagai-bagai soalan telah saya terima. Saya berbincang dengan guru-guru serta meminta nasihat dan turut berbincang bersama-sama teman yang saling bertukar pendapat.
Walaupun sibuk dengan peperiksaan akhir semester, penghakiman penuh kes ini saya baca dan cuba fahami sebaik menerimanya daripada guru saya. Ini juga sebahagian daripada bahan pelajaran yang akan mematangkan pemikiran saya.
Kes ini membicarakan bidang kuasa kerajaan. Ia bukan bertujuan menidakkan dan membatalkan hukum syarak atau menguburkan mahkamah syariah.
Malah, kesalahan daripada kesemua peruntukan terbatal itu masih sah sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang Persekutuan seperti mana yang diamalkan selama ini.
Jika kita berazam menyelesaikan masalah, kita mesti tumpukan perhatian kepada isu sebenar dan bukannya persepsi dan ilusi. Jangan menembak secara rambang kerana pelurunya boleh mengena diri sendiri.
Semuanya harus dimulakan dengan penyelarasan perundangan syariah di semua negeri. Demi perjuangan memartabatkan kedudukan mahkamah syariah, ia harus direalisasi. Namun, sehingga kini, hal ini masih satu impian yang belum menjadi realiti.
Menyalahkan pihak lain lebih mudah daripada mengakui kekhilafan diri. Maka, jika itulah yang berlaku dan akan terus berlaku, kita selama-lamanya akan hanya menggigit jari.
Tidak adil jika kita mendakwa mahkamah sivil langsung tidak menegakkan Islam. Walhal, banyak penghakiman kes di mahkamah sivil tegas memartabatkan kedudukan Islam.
Bacalah penghakiman kes Meor Atiqulrahman oleh Datuk Mohd. Noor Abdullah, kes Lina Joy (Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim), kes Kalimah Allah (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) dan kes buku Irshad Manji (Tun Md. Raus Sharif). Kesemuanya mempunyai inti sari yang mengangkat syariat.
Seberapa panjang sarung, begitulah panjang matanya. Keperibadian, tutur kata serta tingkah laku menunjukkan sedikit banyaknya ilmu seseorang itu. Berketak ayam di darat, bersenyap-senyap mutiara di laut.
Bila mengutarakan pendapat biarlah bernas, bila berdebat biarlah berfakta. Berhati-hatilah meniti kehidupan. Kurang budi teraba-raba, tidak ilmu suluh padam.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










