Boleh fikirkan semula idea wujud ‘Ojek’ teksi motosikal - Utusan Malaysia

Boleh fikirkan semula idea wujud ‘Ojek’ teksi motosikal

Seorang penunggang ‘Ojek’ teksi motosikal menunggu pelanggan di sebatang jalan di Jakarta, ibu negara Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN peningkatan kos sara hidup hari ini, ada baik difikirkan satu dua perkara untuk kita dapat mengharungi bebanan ini.
Salah satu yang pernah difikirkan tujuh tahun lalu tetapi kemudian ditolak oleh kerajaan, dan sekali lagi apabila dibangkitkan pada 2021, tetap diketepikan juga adalah syor memperkenal teksi motosikal atau e-hailing motosikal.
Meskipun penolakan bersangkut-paut dengan isu keselamatan jalan raya, hakikatnya realiti hidup masa ini pihak buat keputusan tidak perlu takut-takut, gundah-gulana atau was-was untuk menempuh gelombang cabarannya.
Biar satu dua perkara dan idea baharu dicetus dan dilaksanakan, barulah ada kualiti dan impak dalam kehidupan. Apa lagi untuk manfaat golongan muda daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Bukan bermaksud menyanggah sesiapa, tetapi tidak salah berkongsi topik perihal penyediaan perkhidmatan teksi motosikal ini.
Kita maklum pendirian Kabinet yang lepas tentang syor ini, namun isu inilah menjadi cabaran kepada Kementerian Pengangkutan untuk ‘buka kembali minda’ melihat ‘keunikan’ luar kotak impak aliran kepesatan laman sosial dan maklumat masa ini.
Ingat tak dulupun perkhidmatan teksi e-hailing Uber dan GrabCar ditentang hebat. Pemandu teksi tekan ‘butang panik’. Banyak pihak menggelabah.
Tetapi kerana keperluan pasaran begitu mendesak dan lebih utama lagi menjadi trend semasa orang muda (dengan London, New York dan negara maju lain sudah lama mempraktiknya), Uber dan GrabCar akhirnya disahkan di sisi undang-undang negara ini.
Keputusan pada 27 Julai 2017 itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat.
Dan sekali gus menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengawal selia undang-undang berhubung perkhidmatan e-hailing itu.
Daripada hasil carian rekod Kementerian Pengangkutan sehingga Disember 2023 menunjukkan sejumlah 16.7 juta motosikal berdaftar berada di jalan raya.
Meskipun ada ‘kebimbangan teramat’ ekoran risiko kemalangan motosikal 48 kali ganda lebih tinggi berbanding bas dan 6.2 kali ganda lebih bahaya berbanding kereta yang bergerak dalam jarak sama, tetapi seperti mana disebutkan ‘kalau tidak dicuba, kita tidak akan tahu’.
Dengan Dego Ride telah beroperasi seperti ojek di Indonesia dan Motoesai Rap Chang atau grab bike di Thailand, yang memberikan pilihan lebih cepat mengatasi kemacetan di sana, kaedah sama boleh dimulakan secara berperingkat di negara ini. Ini terutama melibatkan jarak dekat menghubungkan antara bangunan-bangunan pencakar langit atau tempat kerja ke restoran dan premis makanan terdekat.
Usah khuatir teksi motosikal ini akan ‘mengacau; perkhidmatan MRT, monorel dan LRT. Masing-masing sebenarnya ada pelanggan tersendiri. Bukan itu sahaja, pengguna tiga jenis pengangkutan tadi pun amat memerlukan ojek ini sebaik sahaja tiba di destinasi stesen.
Suatu ketika pernah diserahkan surat daripada pengasas Dego Ride kepada seorang timbalan menteri berhubung hal ini kira-kira tujuh tahun lepas. Antara kandungannya agar diberi peluang untuk membahaskan isu pengangkutan berkongsi motosikal yang beroperasi. Namun kemudian ‘tersekat’.
Waktu itu Dego Ride menyediakan perkhidmatan perkongsian penumpang berdasarkan tiga kilometer (km) dari stesen LRT atau stesen bas ke rumah atau sebaliknya. Semasa perkhidmatannya bermula November 2016, tempahan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3km pertama dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.
Antara lain, pengasas Dego Ride berkenaan memberitahu:
“Dego Ride memberi peluang kepada individu terutama golongan berpendapatan rendah untuk jana pendapatan. Terdapat perlindungan insurans untuk penumpang. Motosikal akan diperiksa terlebih dahulu dari segi usia, keadaan dan penyelenggaraannya.
“Bakal pemandu teksi motosikal akan diperiksa latar belakangnya selain cukai jalan dan insurans bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lalu lintas dan jenayah.”
Elok agaknya dibuat percubaan teksi motosikal ini di beberapa stesen MRT dan LRT terpilih untuk melihat keberkesanannya.
Apa lagi setakat 2023 memaparkan lebih 16 juta penduduk negara ini memiliki lesen motosikal termasuklah kira-kira 50 peratus yang berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen.
Ini pasti memberi imej yang lebih baik kepada kerajaan dalam kalangan orang muda.
Barangkali Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook boleh luangkan sedikit masa Yang Berhormat mendengar idea dan luahan daripada mereka yang pakar tentang perancangan ojek. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×