Beras: Sistem sedia ada perlu diubah - Utusan Malaysia

Beras: Sistem sedia ada perlu diubah

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood ketika ditemubual di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya , baru-baru ini. MINGGUAN / FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
BERAS muncul antara produk keperluan asas yang mencatatkan permintaan tertinggi sejak tahun lalu sehingga berlaku kekurangan bekalan, kenaikan harga serta dakwaan manipulasi kartel.
Ia menimbulkan perdebatan, pandangan, cadangan dan kritikan oleh pelbagai pihak, dengan harapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menanganinya dengan segera.
Ikuti wawancara Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood bersama wartawan Mingguan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto, FAISOL MUSTAFA bagi mendapatkan pandangan beliau.

Apa punca krisis kekurangan bekalan beras ketika ini?
Apabila India membuat sekatan pada pertengahan 2023. Mereka tidak membenarkan beras putih dieksport keluar dan kita terkesan daripada sekatan tersebut. Secara tidak langsung, harga beras dunia telah melonjak daripada biasa.

Apabila India buat sekatan, negara pengeksport lain seperti Pakistan, Vietnam dan Thailand mengambil kesempatan supaya menaikkan harga dan kita terkesan. Oleh itu, pada September 2023, Bernas mengesyorkan supaya harga beras import dinaikkan.
Namun, mereka perlu meminta kebenaran dan memaklumkan kepada kerajaan bahawa kenaikan berlaku. Kalau kita tidak bagi kenaikan berlaku, maka Bernas tidak boleh tanggung lagi kos operasi.

Maka harga naik dalam RM3,200 per tan kepada pemborong. Maknanya, harga beras telah melonjak daripada beras import kepada RM35 hingga RM45.

Ini menjadi keresahan penduduk terutama rakyat Malaysia. Jadi, kerajaan mengambil langkah intervensi antaranya memperbanyakkan beras tempatan melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan yang terlibat dengan pengedaran beras.

BERAS TEMPATAN TAK CUKUP
Mengapa kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada beras tempatan?

Sebenarnya, kawasan penanaman padi di negara ini tidak sampai 700,000 hektar. Kita hanya tanam dua musim dan ada yang separuh satu musim. Tempoh matang benih pula memakan masa 110 hingga 120 hari. Maknanya, kita hanya boleh tanam dua kali setahun.

Di Thailand, mereka ada keluasan 11 juta hektar untuk bertanam. Pengeluaran beras hampir 34 juta tan metrik hasil tanaman tiga ke empat musim. Kita hanya hasilkan 1.5 juta tan metrik.
Indonesia juga tiga hingga empat musim kerana benih mereka di bawah 80 hari sahaja. Kita masih lagi 110 ke 120 hari.

Ini fokus utama kita supaya benih juga sama macam negara lain, kalau kita dapat hasilkan beras sekitar enam tan metrik sahaja, secara purata kita boleh lonjak daripada 62 peratus tahap sara diri beras kepada 91 peratus. Kalau kita dapat capai tujuh tan, kita sudah jadi negara pengeksport beras sebenarnya.

Kalau kita tukar konsep dua musim kepada tiga musim, benih daripada 120 hari kepada 80 hari ke bawah, kita boleh sama macam negara lain. Ini perubahan yang akan dibuat melalui pelaksanaan inisiatif Gelombang Padi.

APA ITU GELOMBANG PADI?
Bagaimana inisiatif Gelombang Padi dijayakan?

Pertama, kita buat dasar baharu benih padi iaitu tanam dalam tempoh 75 hari ke bawah. Kedua, fokus kepada tanah-tanah jerlus di kawasan penanaman padi. Sebab tanah jerlus tidak boleh tuai padi dan ini boleh rugi dari segi beras.

Ketiga, baja. Sebelum ini kita tidak guna baja organik tapi tahun ini baru kita perkenalkan baja organik supaya kita boleh rawat tanah kawasan sawah padi.

Keempat, pengurusan air. Kita bercadang untuk mewujudkan pasukan petugas khas melibatkan semua agensi termasuk kerajaan negeri untuk kita memastikan supaya pengurusan air akan datang tidak terputus sebab tanam padi perlukan air.

Kelima, kita perkenalkan Program Smart SBB ala Sekinchan sebab kalau kita Sekinchankan satu negara, kita boleh jadi negara pengeksport.

Keenam, kita pun hendak cadang lima kali musim dua tahun. Tapi kalau benih itu bawah 80 hari kita sudah boleh buat tiga kali setahun, tidak perlu lagi buat lima kali dua dan kita dah buat tiga projek rintis.

Ketujuh, kita hendak buat pembayaran secara dalam talian. Sekarang ini banyak petani hantar padi ke kilang guna wang tunai. Kita hendak supaya petani selepas ini bayar dan terima duit secara talian masuk akaun bank, kena ada penyata bank dan pendapatan tetap. Kita tak hendak bila pakai tunai nanti, orang tengah akan potong duit itu.

Kelapan, kita mahu mengurangkan kehilangan hasil lepas tuai. Masa kita tuai padi, kita guna mesin yang tidak terlalu besar supaya padi tidak jatuh ke bawah dan kita hendak pastikan mereka hantar ke kilang guna lori betul-betul menggunakan SOP yang betul supaya tidak jatuh di jalan raya. Jadi, kita boleh selamatkan empat hingga lima peratus padi di seluruh negara.

Kesembilan, kita hendak perkenalkan Smart Padi. Ini adalah sistem baharu. Kita akan buat satu sistem untuk kawal semuanya termasuk pemborong, peruncit, pengeluaran beras, jumlah pesawah. Pesawah dapat berapa pendapatan. Sistem ini boleh kita selarikan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kita juga buat satu sistem untuk tahu keadaan tanah. Kita buat mapping supaya petani boleh tahu berapa banyak nak guna baja yang betul, berapakah penggunaan pembajaan tepat dan mengikut lokaliti.

Kita juga akan memperkasakan penanaman padi bukit dan huma di Sabah dan Sarawak kira-kira 43,000 hektar di Sabah dan Sarawak. Tetapi penanaman padi bukit ambil masa enam bulan baru tuai, ia boleh diteruskan tetapi pada masa sama kena perhebatkan beras tradisional.

Yang terakhir, kita cuba perluaskan kawasan jelapang padi sama ada kawasan baharu ataupun kawasan luar jelapang yang buat satu musim kita naik taraf kepada dua musim.

Apa sasaran Gelombang Padi?

Kita sasar penanaman benih padi bawah 80 hari bermula pada 2025, ini satu perubahan besar dalam industri. Kita takut apabila masih dalam keadaan ini, kita bergantung pada import dan berlaku sekatan, ia bahaya kepada negara.

Beras tempatan pun tidak cukup sebab hanya hasilkan 1.5 juta tan metrik sedangkan Vietnam 42 juta, Indonesia 54 juta dan Thailand 34 juta. Tidakkah seolah-olah 40 kali ganda kita ketinggalan?

Sepatutnya kita tidak boleh ketinggalan, kita mesti bergerak bersama orang lain Kalau kita tidak boleh cipta benda baharu, kita pinjam atau bekerjasama. Kalau perlu bayar, kita bayar.

Kita juga sasarkan pengeluaran padi antara enam ke tujuh tan metrik untuk kawasan tertentu. Namun, jika keperluan beras negara adalah 2.5 juta kilogram setahun, kita sebenarnya perlu ada antara 3.8 hingga 3.9 juta kilogram, barulah kita boleh jadi negara pengeksport.

Menjelang 2030, 80 peratus kadar sara diri (SSL) perlu ada tapi kalau padi mula ditanam dalam tempoh 75 ke 80 hari, saya jangkakan tidak sampai 2030 kita dah capai sasaran.

Saya boleh jangka dalam tempoh dua ke tiga tahun kita akan capai dan harapan kita ia menjadi satu lonjakan mega. Sebab itu kita perkenalkan Gelombang Padi ini.

INI SEMUA KERJA KARTEL?
Bagaimana dakwaan beras dikawal oleh kartel?

Kita sudah mengadakan mesyuarat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan kita beri ruang untuk mereka membuat kajian dan semakan.

Mereka juga bersetuju untuk menyiasat di kilang-kilang kalau ada unsur-unsur melibatkan kartel dan boleh membuat pendakwaan ataupun merujuk kepada mahkamah. Kita beri kuasa kepada mereka dan memberi kerjasama sepenuhnya.

Di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, kami menjaga semua dari segi pengguna termasuk pemborong, peruncit, pengilang dan seluruh rantaian industri ini, bukan satu pihak sahaja. Jadi, kalau betul ia berlaku, serahkan bukti, MyCC akan siasat. Kita beri kerjasama dan kita pun tidak pernah lindungi perkara yang tidak betul. Kita nak mereka berniaga secara sihat.

Bagaimana pula desakan untuk mengaudit pemegang lesen padi dan beras?
Mereka sudah melalui proses audit tetapi kalau didapati melanggar akta, kita akan tarik lesennya. Kita sudah minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat, begitu juga MyCC dan agensi bersesuaian.

Mereka yang mendapat lesen untuk borong padi di kilang-kilang pun mereka kena isytihar kepada kita secara sukarela dan kita akan buat semakan. Contoh, prosedur di kilang, mereka boleh simpan 10,000 tan metrik. Kalau lebih, kita akan dakwa dia.
Maknanya, akta sedia ada bukan setakat akta tetapi kita buat semakan dan ada pemantauan.

PESAWAH SUDAH BERUSIA
Adakah kita mempunyai pesawah yang mencukupi?

Sekarang kita ada lebih kurang 211,000 pesawah termasuk padi bukit. Namun, pesawah yang ada, 60 peratus banyak berumur lebih daripada 55 tahun ke atas.

Sebab itu, kita menggunakan mekanisasi dron yang boleh menggantikan tenaga manusia dengan kaedah moden. Kalau kita nak tabur baja dengan tenaga manusia mungkin ambil masa sampai dua hari. Tetapi kalau dron tidak sampai 15 minit.

Dari segi teknologi, industri padi kita sangat maju dan canggih, Thailand pun belajar dari kita.
Kita setaraf dengan Taiwan yang juga maju dari segi mekanisasi.

Bagaimana dengan pesawah muda?
Apabila kita menggunakan teknologi dan pendapatan meningkat secara automatik, golongan muda akan minat. Kalau buat tiga kali setahun dan buat sepenuh masa lagilah orang minat sebab padi tuai tidak sampai 80 hari.

Maknanya, pendapatan tiga kali setahun dan boleh buat kerja lain. Kita mahu mereka ini menjadikan kerjaya ini sebagai pesawah yang bergelar usahawan. Bukannya pesawah sahaja, tetapi pesawah campur usahawan.

Bila kita tanam padi, bahan sampingan padi macam jerami kita boleh jual balik. Jangan bakar, kita gulung balik dan boleh jual balik sebab ada industri mahukannya.

Di Vietnam, mereka sudah perkenalkan ternak udang dalam sawah padi. Pendapatan mereka 60 peratus udang sebab udang sekilo antara RM 35 hingga RM40. Jadinya, di Vietnam mereka buat dua dalam satu iaitu pendapatan tambahan. Kita juga kena ke arah itu sebenarnya.

Barulah golongan muda minat sebab dia nampak pendapatan. Kita boleh lahirkan dan melibatkan golongan muda sebagai usahawan dalam industri padi dan beras.

MASA DEPAN INDUSTRI PADI DAN BERAS
Bila masa depan industri padi dan beras di negara ini?

Bila padi dan beras sudah banyak dihasilkan, pendapatan bertambah maka secara tidak langsung kilang-kilang semua boleh hidup, bumiputera atau bukan bumiputera.

Sekarang ini semua menuduh antara satu sama lain, kilang besar kawal, kilang kecil tidak boleh hidup sebab pengeluaran padi dan beras yang terhad. Sepatutnya, jika pengeluaran banyak, tidak berlaku perebutan dan semua boleh terlibat secara langsung.

Di Jepun dan Korea, mereka menggunakan produk kecantikan daripada air beras. Ini peluang yang kita perlu ada akan datang.

Begitu juga agro pelancongan seperti hotel di sawah padi Sekinchan untuk pendapatan akan datang. Ini peluang-peluang yang perlu direbut oleh golongan muda.

Golongan pesawah yang akan datang bukan setakat tanam padi, dia juga ada produk sampingan dari ekopelancongan, kecantikan dan mungkin makanan yang perlu kita terokai.

Sebab itu di Jepun, produk daripada beras, tidak ada yang membazir. Semua digunakan. Ini perlu kita terokai. Kita tidak boleh lagi berjalan dan juga mengekalkan sistem sedia ada, kita kena buat lonjakan atau game changer. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×