UIAM mengorak langkah bestari

UIAM mengorak langkah bestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WACANA Strategik Pengajian Tinggi berlangsung hujung minggu dan pelbagai berita ceria untuk hari muka dilaporkan. Namun bagi Universiti Islam Antarabangsa (UlAM) kemuncaknya adalah semalam pada tanggal 10 Januari. Ia merupakan tarikh bersejarah dalam usaha membawa anjakan paradigma unggul untuk memaknakan semula sebuah gedung ilmu.

Berbekalkan pengalaman 40 tahun sejak penubuhannya pada 1983, UIAM berdiri tegak lagi tegas merintis masa hadapan yang sesuai dengan matlamat akhir pendidikan – menginsankan pendidikan secara menyeluruh melibatkan bukan sahaja kaki dan tangan (jasmasi) tetapi kepala (akal-rasa) dan juga hati (rohani).

Justeru, satu kajian merubah semula kerangka akademik serta kurikulum sesuai dengan tuntutan semasa dilakukan dengan terzahirnya Kerangka Akademik Sejahtera (KAS).

Istilah ‘sejahtera’ mengambil maksud yang dipadankan dari Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996 serta disesuaikan pula dengan aliran Islam membawa kepada pembentukan insan sejahtera.

Bukan modal insan yang sering dilaung-laungkan sejajar teori modal insan, anjuran puak neoliberal di Barat. Sekali gus UIAM menolak pendidikan tanpa roh ini yakni yang berpaksikan kebendaan, kerakusan dan kepasaran!

Sebaliknya, menegakkan kerohanian, kesyukuran dan keredhaan Ilahi. Tiada kompromi dengan tuntutan menara gading tanpa roh yang taksub dengan sistem rankingnya. Pendidikan menjadi songsang dan terbabas dari matlamat membentuk insan sejahtera yang seimbang, beramanah serta bermaruah.

Serentak, KAS menggalakkan pendekatan yang lebih perkasa, anjal, inovatif serta bertanggungjawab. Empat perkara ini mendorong kepada keluwesan pembelajaran serta pengalaman diluar kamar kuliah, makmal mahupun institusi umumnya. Ini menuntut penglibatan terus bersama anggota masyarakat khususnya yang tercicir atau dicicirkan oleh sistem yang tidak berperi kemanusiaan.

Dengan lain perkataan, nilai-nilai kemanusiaan tidak mendapat tempat dalam ekosistem pembelajaran dini hari. Lebih kepada nilai-nilai teknologi yang sifar naluri.

Serta meningkatkan risiko penyahmanusiaan dalam aspek nilainya.

Oleh itu, UIAM terpanggil mengorak langkah mengatasi ini dengan membela nasib anggota masyarakat melalui penglibatan bersamanya secara bersistem dan berkesan. Dibawah program tersusun, Usrah Bertindak, para pelajar digalakkan mendampingi masyarakat sekitarnya, malah di mana sahaja dengan tujuan membangunkan lagi taraf hidup kepada yang lebih bermaruah dan manusiawi.

Formula unik KHAIR – Khalifah, Amanah, Iqra dan Rahmatan lil alamin, menjadi pendekatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sebagai satu bentuk perkongsian ilmu yang bermanfaat. Ringkasnya, bertindak menggunakan ilmu yang telah dipelajari. Ilmu dan amal seiring. Tidak sekadar mengomong kosong belaka. Tidak lagi cakap tak serupa bikin.

Di sinilah 10 Januari menjadi tarikh keramat apabila lebih dari 150 projek serta program kelolaan para pelajar sejak 2023 telah dipersembah dengan jayanya supaya dinilai dan disusul oleh pelbagai pihak. Ia sebagai sumbangan langsung limpahan ilmu untuk amalan dan pelaksanaan.

Terjemahan amalan inilah yang amat sangat membeza yang terdidik dengan yang semata-mata berijazah, rabun didikan. Malah tidak beradab, berkurap dengan pelbagai penyakit jiwa yang tidak terurus. Lantas, Usrah Bertindak menjadi pentas utama menginsankan pendidikan, meratakan ruang dan peluang, serentak menyelami KHAIR sebagai pedoman asas hidup manusiawi. Apa kedudukan rankingnya tidak menjadi ketaksuban bak kata bekas Menteri Pengajian Tinggi dengan cukup jelas dan yakin. Tidak wajar berpatah kembali.

 


KOMUNIVERSITI
Bagi mereka yang masih meraba-raba mencari bukti akan disedarkan bahawa ia wujud senada rasa yang dialami sendiri.

Tiada nombor atau ukuran, malah mendekatkan lagi penyampaian pendidikan lestari tiada henti.

Bagai kata Albert Einstein, tidak semua yang diambil kira dapat dihitung, tidak semua yang dihitung diambil kira.

Kesudahannya berupaya mencantumkan amali dengan hati budi bersemadi dalam insan sejahtera yang kelompangan selama ini.

Meraih pendidikan tahap paling tinggi, terus bersemi menyelusuri akhlak berbudi.

Inilah yang membolehkan UIAM membuat langkah berani merapatkan gabungan komuniti (masyarakat) dengan universiti bergelar Komuniversiti.

Ia mengambil kira beberapa aspek yang berbeza dengan kefahaman universiti semasa. Umpama, sikap bekerjasama antara satu sama lain. Termasuk menggabungkan ilmu-ilmu yang ada bersepadu. Juga ilmu wahyu sebagai asasnya.

Bukan persaingan semata-mata sehingga bercerai-berai, berciciran. Merugikan. Seterusnya, penglibatan anggota masyarakat semua peringkat yang turut serta termasuk dari mula sehingga akhir dan berpeluang memberi pendapat serta teguran. Selanjutnya, berdikari dan tidak bergantung kepada manamana pihak. Kesemuanya boleh diselenggarakan sendiri tanpa melibatkan proses yang rumit atau kos tinggi. Oleh itu dapat diperkongsikan dengan pelbagai pihak di luar negara sekalipun.

Dalam pada itu, komuniversiti disokong rapi melalui satu lagi dokumen strategik – IIUM 2040, satu dekad selepas pencapaian Agenda 2030 yang ditetapkan diperingkat global.

Hakikatnya, persediaan UIAM terkehadapan, tatkala ia mendapat perhatian dunia. Misalnya di undang berkongsi panel pada 2022 di Forum Pendidikan Tinggi Sedunia anjuran UNESCO di Barcelona, Sepanyol.

Kemudian, Dialog Pemenang Hadiah Nobel 2023 di Seoul, Korea. Terbaharu, di United Nations University, Tokyo, Jepun pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini. Semua menunjukkan minat mendalam akan pelaksanaan Komuniversiti.

Ekoran ini, beberapa projek termaju dikenal pasti sebagai tonggak masyarakat akan datang. Antaranya, zoo beku yang berupaya ‘menghidupkan semula’ badak sumbu yang telah pupus.

Projek inovasi frugal bagi menumpung percambahan makanan organik dalam memulihara planet sejahtera, makmal neuro-digital sebagai asas pengesanan kesihatan mental khalayak umum dan kecerdasan budaya serta diplomasi sejahtera yang dipupuk bersama dengan Kementerian Luar, khasnya Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).

Masing-masing mempunyai nilai strategik tersendiri untuk di hari muka demi masa hadapan negara.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×