Tuntut janji kerajaan bela warga emas

Tuntut janji kerajaan bela warga emas

WUJUD keperluan mendesak untuk kerajaan memperuntukkan sistem sokongan yang lebih sempurna bagi manfaat dan kesejahteraan warga emas. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KEADILAN menim­bulkan belas-kasihan dan belas kasihan me­nimbulkan kebajikan dan pengorbanan”. – Buya Hamka.

Timbul pelbagai impian dan hasrat yang perlu direalisasikan sempena tahun baharu. Bagi saya, antara yang mustahak dan mendesak sudah tentulah melihat kerangka perundangan dan dasar yang lebih menyeluruh dalam perihal penjagaan kebajikan golongan rentan di dalam negara ini, khususnya warga emas.

Sejak 2019 lagi sudah timbul desas-desus niat kerajaan untuk menggubal akta induk bagi pemeliharaan warga emas dengan tujuan utama melindungi kebajikan warga emas, melindungi hak asasi warga emas serta mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada golongan berkenaan dan penjaga.

Sehingga kini, sudah hampir lima tahun rakyat menunggu, tampuk kepimpinan negara pun sudah bersilih ganti tetapi komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas masih kelihatan samar.

Meskipun Dasar Warga Tua Kebangsaan telah diperkenalkan pada 1995 manakala Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara pula diperkenalkan pada 1998, namun wujud kelompongan besar apabila masih ada warga emas yang dibiarkan hidup terabai.

Lebih buruk lagi, ada dalam kalangan ahli keluarga dan waris yang sanggup meninggalkan warga emas seorang diri tanpa bantuan atau jagaan meskipun mereka sudah tidak mampu untuk menjaga diri.

Antara insiden menyayat hati dilaporkan dalam tahun lalu melibatkan sepasang suami isteri yang direman pada Jun 2023 selepas disyaki mendera ibunya sehingga meninggal dunia. Beberapa bulan kemudian, seorang lagi warga emas ditemui didera warisnya akibat perebutan wang pencen.

Lebih menyayat hati lagi apabila tular berita penemuan seorang lelaki warga emas ditinggalkan di atas tilam penuh najis di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Beliau kini menjadi sebahagian statistik yang dilaporkan membabitkan 2,144 orang warga emas yang diabai dan ditinggalkan di hospital sepanjang tempoh lima tahun dari 2018 hingga Jun 2022.

Mana pergi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)? Mana pergi program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang menjanjikan sokongan buat warga emas?

Sampaikan sebegitu hina sekali hidup sebagai seorang warga emas di bumi Malaysia. Sudah hilangkah rasa perikemanusiaan masyarakat sehinggakan ada yang tergamak mendera dan membunuh warga emas yang sudah tidak berkeupayaan membela diri mereka?

NEGARA LUAR
Di Amerika, sejak 1965 lagi suatu akta khusus, Akta Warga Tua telah digubal bagi memenuhi keperluan perkhidmatan sosial untuk warga emas. Pada 1988, Jepun pula telah menggubal Deklarasi Hak Asasi Orang Tua yang menggariskan prinsip utama bagi memastikan kesejahteraan warga emas termasuklah jaminan penjagaan kesihatan, penjagaan jangka panjang, pendapatan dan pembelajaran. Manakala di Eropah, Piagam Hak Asasi Kesatuan Eropah yang digarap pada 2000 dan berkuatkuasa sejak 2009, memperuntukkan di bawah Artikel 25 pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak warga emas untuk menjalani kehidupan bermaruah dan berdikari serta hak untuk mengambil bahagian dalam kehidupan bersosial dan budaya.

Peralihan semasa yang menunjukkan perubahan pemikiran mengenai penjagaan warga emas berpunca daripada trend global di mana warga emas dianggarkan akan mewakili 22 peratus populasi dunia menjelang 2050. Bahkan, mengikut kajian Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Maka keperluan untuk memperuntukkan sistem sokongan yang lebih sempurna bagi manfaat dan kesejahteraan warga emas adalah kian mendesak.

Sedangkan di negara yang berpasakkan nilai ketimuran dan kekeluarga seperti di Malaysia, warga emas yang sudah tua dibiarkan hidup melarat. Antara faktor utama warga emas terabai di dalam negara ini adalah ketiadaan waris yang mampu memelihara warga emas.

Malang sekali apabila masyarakat pascamoden yang semakin terhakis daripada nilai-nilai tradisional tidak lagi mempunyai kekangan dalam bentuk budaya dan nilai sosial yang jelas.

Maka kerajaan ada masa yang suntuk untuk mengadakan kawalan sosial yang lebih ketara, termasuklah dalam bentuk undang-undang, peraturan dan dasar agar nilai sosial yang memelihara sesebuah institusi kekeluargaan dapat diperkemaskan lagi.

Kebimbangan utama para aktivis dan pekerja sosial yang bekerja rapat dengan golongan warga emas adalah juga keadaan golongan ini yang tiada waris. Ini setelah mengambil kira kadar kelahiran kasar di seluruh dunia yang menunjukkan trend penurunan saban tahun.

Dikhuatiri akan tiba masa yang mana perihal penjagaan golongan ini akan dimonopoli oleh pihak ketiga yang tidak mempunyai pertalian persaudaraan, termasuklah agensi kerajaan akibat daripada ketiadaan waris yang mampu membela warga emas. Sudah tentu situasi ini memerlukan kerangka dasar yang menyeluruh agar warga emas sebagai golongan rentan tidak terus dipinggirkan.

Jun tahun lalu, dikhabarkan kononnya RUU Warga Emas akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada tahun ini yang akan bersidang pada pertengahan Februari nanti. Kini saya menuntut janji kerajaan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN