PEPERANGAN antara Israel dan Palestin yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah melampaui masa tiga bulan. Angka kematian rasmi melebihi 20,000 orang (dan dipercayai angka sebenar kematian adalah lebih besar daripada angka rasmi).
Mangsa runtuhan bangunan dan mengalami kecacatan dipercayai besar angkanya. Yang dibawa ke hospital tidak mendapat rawatan yang sempurna dengan kekurangan alat perubatan, ubat-ubatan, sumber tenaga yang sangat terhad serta bangunan hospital sendiri berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan sentiasa terdedah kepada kemusnahan ancaman perang. Apa yang sedang berlaku di Gaza adalah tindakan penghapusan etnik oleh pihak Israel.
Persoalannya apakah yang organisasi antarabangsa lakukan terhadap kekejaman ini? Masyarakat Islam Gaza seolah tiada pembelaan. Masyarakat antarabangsa amat bersimpati dengan apa yang berlaku.
Majoriti seluruh dunia menyokong gencatan senjata perlu dilakukan segera. Pembunuhan yang berlaku ke atas kanak-kanak, wanita dan orang tua di Gaza mesti di hentikan segera. Ini dijelmakan dengan jelas oleh Keputusan Majlis Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Dua pertiga anggota majlis perhimpunan UNGA menyokong supaya gencatan senjata perlu dihentikan sesegera mungkin. Keputusan akhir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan terletak kepada keputusan perhimpunan agung tetapi juga oleh Majlis Keselamatan yang terdiri daripada 15 anggota (lima anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap) tidak bersifat demokratik.
Keputusan Majlis Keselamatan tertakluk kepada lima kuasa utama iaitu Amerika Syarikat (AS), Great Britain, Rusia, Perancis dan China yang mempunyai kuasa veto terhadap keputusan kuasa-kuasa lain. Dengan hanya satu kuasa anggota tetap, Majlis Keselamatan yang tidak bersetuju mampu membatalkan semua keputusan.
Apa yang berlaku dalam keputusan gencatan senjata di Gaza, walaupun semua anggota lain bersetuju (satu kuasa berkecuali) kecuali AS, maka gencatan senjata gagal dilaksanakan.
MATLAMAT
Persoalan dan masalah yang timbul sebenarnya bukan kecacatan organisasi antarabangsa (iaitu PBB), tetapi perubahan struktur politik antarabangsa yang berlaku ketika PBB mula dirangka pada awal 1940-an dan struktur politik yang berlaku. Ketika awal penubuhan semua anggota tetap Majlis Keselamatan rakan rapat yang sama-sama menghadapi musuh yang sama iaitu Jerman, Itali dan Jepun. Ketika ini negara anggota tetap itu sudah tidak lagi berada dalam situasi pada awal tahun 1940-an.
Apa yang berlaku sekarang, Majlis Keselamatan PBB juga gagal mencapai matlamatnya, khususnya memenuhi apa yang digariskan dalam Artikel 1, Tujuan PBB. Apa yang berlaku sekarang adalah dengan jelas gagal mencapai tujuan asal yang dinyatakan dalam Artikel 1(1), 1 (2), 1(3) dan 1 (4). Amalan dalam Majlis Keselamatan juga sebenarnya bertentangan dengan apa yang diperuntukkan dalam Artikel 2 (1) Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu “The Organization is based on the principle of the sovereign equality of all its Members.”
Jadi, masih berharapkah kita kepada jaminan PBB? Jawapan mudahnya PBB tidak mampu memberi jaminan kepada keselamatan dunia seperti yang berlaku di Gaza.
Struktur yang ada adalah tidak bersifat demokratik dan bertentangan dengan prinsip moral sejagat. Masyarakat antarabangsa, negara-negara Islam khususnya perlu memikirkan dan mencari jalan bagi memberi jaminan yang lebih terjamin.
Negara-negara Islam perlu memikirkan penubuhan Pertubuhan Perjanjian Negara-Negara Islam (ICTO) bagi jaminan keselamatan yang lebih terjamin dalam jangka masa panjang.
Majlis Keselamatan di bawah PBB jelas sudah tidak dapat melakukan sesuatu yang sepatutnya dan tidak mampu. Struktur yang ada adalah sangat sukar bagi memberi jaminan keselamatan kepada semua.
Kuasa besar utama hanya memastikan keuntungan kepada dirinya dan negara-negara sekutu rapatnya, tetapi tidak kepada jaminan keseluruhan kepada semua negara.
Prinsip ini adalah sama sebagaimana yang dirumuskan oleh Ho Chi Minh dalam perdebatannya dengan Presiden Woodrow Wilson di Versailles, Paris menjelang perjanjian Versailles 1919 dan Penubuhan Liga Bangsa-Bangsa 1920. Pihak AS tidak melindungi semua, tetapi lebih kepada kepentingan AS dan Barat sahaja.
Kepentingan orang-orang Asia, seperti bangsa Vietnam yang diperjuangkan oleh Ho Chi Minh adalah jauh sekali. Situasi yang sama yang sedang berlaku di Gaza sekarang.
Persoalan penubuhan ICTO adalah tidak mudah, tetapi pemikiran ke arah itu perlu difikirkan bagi kepentingan dan jaminan keselamatan negara-negara Islam.
Pemimpin-pemimpin negara Islam yang kuat seperti Iran dan Turki perlu bertindak ke arah penubuhan ICTO atau pertubuhan yang seumpamanya. Pihak AS dan Barat pastinya tidak bersetuju kepada penubuhan kerjasama keselamatan seperti ICTO.
KERJASAMA
Tidak cukup dengan kemajuan fizikal sahaja, kemantapan iman dan kekuatan semangat juang berasaskan prinsip Islam perlu dibina dengan lebih mantap.
Sistem pendidikan rendah, menengah serta peringkat universiti bagi negara-negara Islam perlu dirangka supaya selaras dengan matlamat di atas. Pendidikan memainkan peranan penting dan dapat mengelakkan daripada berlakunya penjajahan Barat terhadap pendidikan di negara-negara Islam.
Apa yang berlaku di Gaza itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua, khususnya umat Islam. Kita perlu kembali kepada ajaran dan perpaduan sebenar. Ini bukan bermakna kita menolak kerjasama dengan bukan Islam, tetapi kerjasama yang dibina adalah yang menjamin kepentingan semua pihak.
Perpecahan sesama negara Islam hanya melemahkan kita. Andainya negara-negara Islam bersatu membina pakatan pertahanan bersama, negara-negara Barat dan AS akan lebih menghormati kita dan terasa ‘kegentarannya’ terhadap kita . Perpecahan yang berlaku serta tahap kekuatan pertahanan yang relatifnya lemah menyebabkan apa yang berlaku di Gaza itu akan berulang lagi.
Al-Quran juga menyatakan dengan jelas akan peri pentingnya bersiap sedia melakukan persiapan bagi menghadapi musuh Allah dan musuh kamu dengan apa saja kekuatan sama ada kamu tahu atau tidak ketahui.
Berserah kepada Allah bukan hanya sekadar bersujud penuh insaf, menadah tangan berdoa dengan penuh yakin tetapi perancangan teliti dan tindakan tepat berasaskan keyakinan mendalam dan tawakal sepenuhnya kepada Allah Azzawajalla perlu digabung bersama.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.










