Suratan Al- Sultan Abdullah

Suratan Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama petugas media termasuk penulis dan jemaah selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Al Imam Ash Sha e di Kotasas, Kuantan, Pahang pada 14 Januari 2019
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU sudahpun tercatat saya ke situ, ke situlah saya. Ada dalam surah Yasin ayat ke-82, kita patut semua tengok ayat itu baru kita faham maksud saya.”

Demikian titah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Imam Ash Shafie di Kotasas, Kuantan, Pahang pada 14 Januari 2019.

Ia sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan kemungkinan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ketika itu, takhta ketua utama negara kosong selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletak jawatan pada 6 Januari tahun sama.

Solat Subuh berjemaah di masjid yang terletak paling dekat dengan Istana Abdulaziz sudah menjadi rutin Al-Sultan Abdullah. Namun kemunculan pada hari itu mencuri perhatian memandangkan baginda adalah Sultan Pahang yang baharu.
Pemasyhuran sebagai Sultan Pahang melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Namun persoalan itu hanya akan terjawab selepas Majlis Raja-Raja bermesyuarat memilih pengganti Sultan Muhammad V pada 24 Januari 2019.

Sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja berkenaan, Sultan Johor dan Sultan Perak dikatakan bakal dipilih ekoran Sultan Ahmad Shah yang gering pada masa itu. Bagaimanapun Al-Sultan Abdullah menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda, sekali gus membuka laluan untuk dipilih.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 itu mencuri tumpuan seluruh negara. Ia menjadi topik berita muka depan akhbar-akhbar sehingga berhari-hari, bermula daripada Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Sultan Pahang.
Cadangan melantik baginda sebagai Sultan Pahang dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang berada dalam keadaan gering dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada 11 Januari 2019, setelah perbincangan diadakan dalam kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

Sebagai rekod, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang Kelima mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 22 Mei 2019 selepas memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun.
Peletakan jawatan Sultan Muhammad V dan pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang menyebabkan seluruh negara bertumpu kepada persoalan ‘siapa bakal dilantik’ ketua utama negara yang seterusnya.

Pelantikan Agong secara tradisinya mengikut sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu. Jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, tawaran pemilihan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selepas Sultan Muhammad V adalah dibuka kepada negeri Pahang.mBagaimanapun, perkara itu masih tertakluk kepada undian majoriti dan keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja.

Surah Yasin ayat 82 bermaksud, sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, jadilah! Maka jadilah ia. Dengan kehendak-Nya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara memilih Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dengan tempoh pelantikan lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pelantikan itu disambut baik pelbagai pihak yang melihatnya dibuat secara tertib mengikut Perlembagaan dan seiring dengan giliran diamalkan sekian lama. Ini bertepatan dengan kebesaran dan kepentingan institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong sendiri yang terlibat menjalankan puluhan tugas penting mengikut lunas Perlembagaan.

Perjalanan Al-Sultan Abdullah untuk bersemayam di Istana Negara menyaksikan Seri Paduka pernah diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang selama 44 tahun, dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang dan dua minggu berada di singgahsana takhta kesultanan Pahang seterusnya dilantik sebagai ketua utama negara.

Pelantikan Al-Sultan Abdullah mengulangi sejarah Almarhum Sultan Ahmad Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Sepanjang berada di singgahsana, nama Almarhum Sultan Ahmad Shah meniti di bibir rakyat sebagai seorang raja pemerintah mempunyai karakter mesra, prihatin, sederhana dan tegas yang cukup terserlah menerusi sikap baginda sering mendahulukan kepentingan rakyat terutama ketika mereka ditimpa musibah serta kesusahan.

Sifat keprihatinan dan penyayang dimiliki Almarhum Sultan Ahmad Shah turut diwarisi Al-Sultan Abdullah. Apa sahaja bencana atau malapetaka menimpa rakyat Pahang, baginda pasti tiba di lokasi kejadian atau tempat-tempat berkaitan jika berkesempatan.

SIMBOL PERPADUAN

Al-Sultan Abdullah menjadi simbol perpaduan bagi rakyat Pahang yang mana dapat dilihat dalam titah baginda dengan sering menekankan tentang soal perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ketika bertitah semasa istiadat pemasyhuran sebagai Sultan Pahang Keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan pada 15 Januari 2019, Al-Sultan Abdullah berazam menjadikan legasi pemerintahan ayahanda baginda berpaksikan kepada frasa keramat raja dan rakyat berpisah tiada, sebagai cogan utama pemerintahannya.

Azam itu diterjemahkan sepanjang lima tahun Seri Paduka bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia. Memetik titah Seri Paduka dalam Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262, antara cabaran sepanjang tempoh pemerintahan adalah penularan pandemik Covid-19. Ia memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata, sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan serta negara menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia turut berdepan situasi tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Namun kebijaksanaan, keupayaan kepemimpinan dan budi bicara membolehkan Seri Paduka menempuh pelbagai peristiwa serta badai termasuk kemelut politik yang melanda.

Menjunjung sumpah yang telah dilafazkan, Seri Paduka memerintah Malaysia secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan sepanjang bergelar Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka turut mencipta sejarah sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Agong diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri berlainan.

Esok, Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahannya selepas lima tahun memegang jawatan sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-16 dan kembali ke Pahang. Sesungguhnya, pemilihan Sultan Pahang keenam tersebut sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 adalah ketentuan Allah SWT. Ia seperti mana yang dititahkan baginda berhubung peluang untuk berada di kedudukan itu seusai solat Subuh, kira-kira lima tahun lalu. –UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN