MEMASUKI tahun baharu mungkin ada orang sanggup meminta maaf pada diri sendiri kerana tahun yang dilalui kerap mengulangi kesalahan dan kesilapan yang serupa. Baguslah! Itu membuktikan bahawa orang itu berlaku jujur, sedia mengakui kelemahan diri sendiri sambil bertekad untuk memperbaiki sikap dan tingkah laku ke arah yang lebih baik.
Hidup tidak sunyi dari melakukan salah dan silap. Terlanjur dan tersasul itu lumrah. Jika kekhilafan itu berlaku sehingga dirasakan boleh mengganggu atau mengguris perasaan hati orang lain, jalan sebaiknya adalah dengan ‘meminta maaf’. Atas nilai kejujuran, biasanya tidak menjadi masalah besar untuk mendapat kemaafan daripada pihak yang terbabit.
Namun yang sering menjadi isu ialah apabila perbuatan meminta maaf itu agak kerap berulang. Apatah lagi isu yang berbangkit adalah sama. Seorang ketua jabatan misalnya, sukar menerima permohonan maaf daripada pegawai bawahannya jika kesalahan dan kegagalan yang berlaku dalam hal tugasan asyik dengan alasan yang sama. Begitu juga dalam ehwal hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Tegasnya, timbul sangsi dan kecurigaan terhadap tindakan meminta maaf atas isu-isu yang sama. Berapa banyak sudah isu-isu mengenai sensitiviti Islam, raja dan orang Melayu di negara ini cuba ‘dijentik’, dibangkit dan dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu? Nampak sangat pihak-pihak berkenaan tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham tentang struktur kenegaraan yang sedia ada, berpaksikan kandungan Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang sudah erat terikat.
Lalu, kekerapan meminta maaf dalam hal-hal begini boleh menimbulkan pelbagai andaian dan sangkaan. Ada kemungkinan orang yang melakukannya berniat untuk menduga reaksi umum.
Mungkin juga ada yang bertujuan untuk terus menghidup atau melontarkan isu supaya hasrat dan agenda tersirat kaum tertentu dapat di zahir atau disuarakan. Jika tidak, untuk apa misalnya, isu jawatan Perdana Menteri yang tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan diperkatakan di hadapan khalayak orang muda di luar negara?
Dengan jelas pula disebut bahawa sesiapa pun atau kaum mana pun boleh memasang impian untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang sanggup mengganggu hal ehwal Islam sehingga mencadangkan isu memurnikan perundangan Syariah Islam pun perlu dibabitkan dengan orang bukan Islam. Untuk apa?
Hal-hal sensitiviti dan ‘gangguan’ terhadap privacy Islam, keistimewaan raja dan orang Melayu (3R) perlu disantuni dengan cermat. Tidak perlu dilakukan dengan niat untuk meraih pengaruh atau sokongan politik. Berulang kali diingatkan oleh para cendekiawan Melayu bahawa tidak mungkin wujud perpaduan sebenar di negara ini selagi hal-hal asas 3R terus-terusan disebut, diungkit.
JUJUR
Membina keyakinan umum bukan semudah dapat dilaksanakan dalam sehari dua. Prosesnya memakan masa lama. Elemen utama yang perlu dipamer dan diketengahkan secara konsisten ialah jujur menerima sistem kenegaraan yang seadanya. Jangan sampai ternampak ruang yang boleh ditafsir bahawa sememangnya ada pihak yang sukar menyembunyi niat sebenar mereka dalam menebarkan impian tersirat demi atas nama perjuangan dan kepentingan untuk kaum tertentu.
Sepatutnya kini adalah waktu untuk menyakinkan semua pihak bahawa perjuangan politik di negara ini meniti atas konsep terbuka dan bebas dari sebarang unsur perkauman sempit.
Ada bapa boleh dituduh sengaja menyuruh anaknya meletakkan kereta di hadapan halaman eksklusif jiran di sebelah kediamannya. Tindakan itu sekadar mahu melihat respon atau sejauh mana tindak balas jiran berkenaan. Jika tidak menimbulkan bantahan atau teguran, mungkin perbuatan meletak kereta di situ boleh diteruskan. Jika, ditegur atau dibantah, seorang ayah tadi hanya boleh berpura-pura menyalahkan tindakan anaknya itu. Perbuatan sebegitu boleh dianggap sekadar mahu ‘menduga’ atau memang tersimpan muslihat bersedia untuk memberi helah, “Oh, itu memang silap anak saya…”.
Harmoni itu indah. Menjaga harmoni antaranya perlu ada sikap saling sedia menerima serta menghormati. Dan, harmoni boleh menjamin kestabilan. Tidak wajar mengulangi hal-hal yang boleh melukakan hati sesiapa atau mana-mana pihak.
Di Malaysia, tiada siapa terhalang usaha untuk memajukan diri dan keluarga.
MAKMUR
Bersyukurlah berada di bumi Malaysia yang indah permai dan makmur ini. Tidak perlu disebut untuk dibandingkan keadaan dengan mana-mana negara. Tetapi dengan kedatangan ramai pendatang tanpa izin (PATI) tentu mudah untuk diterjemahkan kenapa hal demikian berlaku?
Sekian lama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang agama serta budaya dapat hidup makmur sejahtera dengan pendekatan pemerintahan berlandaskan konsep konsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama.
Jaga kestabilan untuk memacu kemajuan. Ke mana sangat kita di bumi Malaysia ini tanpa perpaduan? Hidup perlu berpegang pada keyakinan bahawa semangat saling bekerjasama dan hormat-menghormati itu adalah unsur utama membina kejayaan dan kekuatan.
Justeru, jaga lidah dan jagalah langkah…
Rakyat Malaysia yang serasi dengan bahasa kiasan dan kata bidalan juga berpesan supaya jangan ada yang bersikap seperti kura-kura di dalam perahu, pura-pura tidak tahu. -UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










