Jangan tutup ‘periuk nasi’ pekerja ekonomi gig

Jangan tutup ‘periuk nasi’ pekerja ekonomi gig

PENGUSAHA ekonomi gig melakukan mogok atau perhimpunan aman berkali-kali sejak 2016, 2018, 2022 dan juga pada Januari lalu. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEWUJUDKAN persekitaran pekerjaan yang sihat dan berdaya maju adalah salah satu impian setiap warganegara dan pemerintah. Suasana tersebut memainkan peranan yang begitu jelas dalam membentuk keperibadian rakyat serta membina hala tuju yang jelas bagi sesebuah negara menuju kelestarian dan kesejahteraan.

Dalam tempoh tiga kurun ini, pelbagai usaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja di merata tempat terutamanya di negara-negara Barat telah dilakukan. Perjuangan waktu bekerja lapan jam sehari sebagaimana yang tertulis dalam sejarah menerusi peristiwa Haymarket Affair pada 1886, kerja setengah hari pada hari Sabtu akibat budaya Saint Monday dan pelbagai lagi peristiwa memberi kesan positif dalam perkembangan kebajikan pekerja dalam mengharungi arus perindustrian dan kerakusan sistem kapitalis.

Di Malaysia pula, akta-akta seperti Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Akta Usia Persaraan Minima 2012 adalah antara kelompok undang-undang yang menjaga kesejahteraan pekerja di negara ini. Saluran bagi menyalurkan aduan dan masalah juga diwujudkan bagi mencari penyelesaian terbaik dalam memelihara sumber nadi pendapatan negara.

Dalam pada itu, pendigitalan platform-platform perniagaan di negara ini telah memberi impak yang positif dalam mewujudkan peluang kerja baharu. Ekonomi gig adalah sektor baharu dalam dunia pekerjaan berteraskan platform digital dengan beberapa pengusaha yang dominan seperti Grab, Go Teksi, Air Asia dan Food Panda. Dari sudut positifnya, ia merupakan alternatif kepada pekerja yang ingin mencari ‘angin’ baharu dalam pekerjaan juga pilihan untuk menambahkan pendapat bagi mereka yang sudah bekerja.

Ketika ini, terdapat lebih 140 platform ekonomi gig sejak 2014. Ia melibatkan kepelbagaian aktiviti perniagaan melangkaui e-hailing dan p-hailing seperti penjagaan kesihatan, automotif, perkhidmatan domestik, perkhidmatan kreatif dan profesional.

Walau bagaimanapun, pelbagai isu timbul dalam kalangan perkhidmatan penghantaran makanan seperti peningkatan kemalangan, gaji serta upah yang tidak setimpal dan ekosistem perkhidmatan yang tidak teratur mengakibatkan mereka yang terlibat dalam sektor ini merasa kecewa dan terabai.

Baru-baru ini, para pengusaha Grab sekali lagi melakukan perhimpunan aman di ibu pejabat syarikat tersebut dalam usaha mereka untuk mengekalkan kadar bayaran asas penghantaran yang diturunkan pada 16 Januari lalu atas alasan teknikal.

Ini bukanlah kali pertama pengusaha gig ekonomi atau p-hailing ini melakukan mogok, jika dirujuk kembali mereka melakukan mogok atau perhimpunan aman berkali-kali sejak 2016, 2018 dan juga 2022 yang lepas.

Ringkasnya, sekalipun sektor ekonomi gig mengalami perkembangan pesat saban tahun namun ia masih lagi belum mendapat liputan perlindungan perundangan sepenuhnya yang mendedahkan setiap pengusaha kepada risiko pekerjaan dan pendapatan yang tidak menentu.

CAMPUR TANGAN KERAJAAN
Buat masa ini tiada akta khusus yang melindungi pengusaha ekonomi gig melainkan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang mewajibkan mereka untuk mendaftar dan mencarum di bawah skim tersebut. Menurut laporan Tinjauan Makroekonomi yang diterbitkan pada 2019, satu jawatankuasa dibentuk untuk mengkaji keperluan serta merangka penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu-isu yang berlaku dalam sektor tersebut.

Kini kita sudah berada pada 2024, pengusaha dalam sektor ini mencecah 500,000 orang dan ia semakin berkembang. Walau bagaimanapun, perlindungan yang sewajarnya dari segi perundangan masih lagi di peringkat kajian dan dalam masa sama isu yang memerlukan penyelesaian dan campur tangan kerajaan masih berlaku seiring dengan peredaran zaman.

Perkara utama yang perlu diselesaikan ialah kadar upah minimum sebagaimana yang dilaungkan oleh pengusaha ekonomi gig setiap kali mereka mengadakan perhimpunan aman. Ia merupakan asas kepada kerja dan usaha yang dilakukan oleh pengusaha yang bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan atau pengguna sistem ini tetapi juga kepada pekedai, pengusaha restoran, peruncit serta usahawan.

Mengambil iktibar dari apa yang berlaku, syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing disarankan untuk mengutamakan pengusaha yang mewakili sejumlah besar tunggak utama perniagaan ini. Faedahnya tidak hanya terhad kepada mereka tetapi melibatkan setiap rantaian pengguna atau pemegang taruh seperti pelanggan, usahawan yang melanggan perkhidmatan dan orang awam yang berada dalam persekitaran mereka.

Sebaliknya, jika dipandang ringan, lambat laun kebajikan pengusaha akan terjejas dan berpotensi memberikan kesan negatif kepada setiap pengguna dalam rantaian perkhidmatan termasuk kepada orang awam dan kerajaan.

Satu kepincangan yang nyata sekiranya sumber pekerjaan atau ‘periuk nasi’ tenaga kerja p-hailing masih tidak dilindungi secara perundangan sebagaimana tenaga kerja yang lain di negara ini.

Perlindungan yang dimaksudkan bukan sahaja terhad kepada keadilan dari sudut upah, juga kebajikan umum, perlindungan kesihatan dan jaminan kerja. Perkara ini perlu bagi meraikan jumlah pekerja yang terlibat serta risiko yang dilalui dalam tugas harian.

Memandangkan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan gig ini terdiri dari kepelbagaian latar belakang sama, insentif khusus berbentuk galakan amat dialu-alukan bagi industri ini berkembang serta menggalakkan mereka menjaga kesejahteraan setiap pengusaha yang menjadi penggerak kepada platform mereka.

PEKA
Arus kapitalis ada kalanya telah menghanyutkan manusia dalam budaya mementingkan keuntungan sekalipun mengorbankan keperluan manusia yang lain.

Penyedia platform perlu peka terhadap isu-isu sensitif yang berlaku bagi menjalankan fungsi mereka sebagai syarikat yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi menerusi perusahaan yang beretika bagi menjamin kelestarian industri tersebut.

Sejarah begitu banyak untuk mengajar manusia bahawa ketamakan dan kerakusan hanya akan berhujung dengan kerugian dalam dunia perniagaan dan sektor-sektor lain dalam ekonomi.

Realitinya, sekalipun isu ini belum sampai ke kemuncaknya, adalah baik bagi kerajaan untuk terus merangka peruntukan undang-undang khas yang mungkin boleh ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memberikan satu kelegaan kepada tenaga kerja yang terlibat dalam sektor ekonomi gig.-UTUSAN

DR. Mohd. Shahid Mohd. Noh ialah Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×