Akan turun ke jalanan lagi jika perlu - Utusan Malaysia

Akan turun ke jalanan lagi jika perlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
NAMA yang cukup dikenali dan terpalit dengan pelbagai kontroversi satu ketika dahulu tenang apabila diajukan soalan. Kelantangannya menjadi bualan dan tidak gentar mengkritik kerajaan termasuk Pakatan Harapan (PH).
Malah, beliau tidak pernah teragak-agak untuk turun ke jalanan melakukan demonstrasi jalanan sekiranya ada perkara yang bertentangan dengan hak-hak kemanusiaan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) DATUK S. AMBIGA bagi mendapatkan pandangan beliau terhadap pentadbiran kerajaan pada masa kini.

MINGGUAN MALAYSIA: Adakah Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) satu keperluan mendesak?
AMBIGA: Banyak orang yang bercakap tentang FTPA sebelum ini. Bagi saya, pelaksanaan FTPA daripada satu sudut bagus sebab sudah ada penetapan tempoh dan tarikh untuk mengadakan pilihan raya umum, bukannya boleh tumbangkan kerajaan semudah itu sahaja dan pada bila-bila masa.
Namun, kita perlu ada penetapan dan kawalan terhadap FTPA. Ia mesti tertakhluk dengan usul undi tidak percaya. Ini kerana jika ada sebilangan besar ahli Parlimen tidak percaya kepada Perdana Menteri, maka mereka boleh bawa usul sedemikian.
Selain itu, kalau mahu dilaksanakan FTPA, dalam masa sama perlu ditetapkan jawatan Perdana Menteri untuk dua penggal sahaja.
Sebenarnya sewaktu zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu pun, beliau telah berusaha untuk membawa perkara berkenaan. Tetapi selepas ‘Langkah Sheraton’, cadangan tersebut hilang.

Adakah itu yang Datuk harapkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang?
Saya fikir agak sukar mereka mempertimbangkan jawatan Perdana Menteri terhad dua penggal. Ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, mereka akan ke hadapan dalam isu berkenaan.
Jadi, jika mereka bercakap tentang FTPA dan menyentuh Perlembagaan Persekutuan, maka ada beberapa perkara yang ditambah termasuk tempoh perkhidmatan Perdana Menteri.

HAK KEMANUSIAAN BAWAH KERAJAAN PERPADUAN
Adakah hak kemanusiaan bertambah baik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ?
Saya lihat ada beberapa perkara baik yang berjaya dilaksanakan seperti pemansuhan hukuman mati mandatori.
Sekarang ini saya lihat kerajaan lebih kepada usaha untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Bagaimanapun, perkara lain juga yang perlu diteliti seperti hal berkait rapat dengan hak kebebasan bersuara. Rakyat tidak boleh takut untuk mengatakan pendirian dan kehendak mereka. Begitu juga dengan perkara berkaitan ucapan kebencian juga perlu diambil tindakan sekiranya ada, bukannya mengambil tindakan terhadap pengarah dan pelakon filem ‘Mentega Terbang’.
Apa yang mengejutkan ia berlaku di bawah pemerintahan Kerajaan Madani. Hanya mereka yang terlibat dalam industri seni dan filem tahu bagaimana susahnya untuk menghasilkan keuntungan sebab banyak syarat ketat.
Perlu diingat kalau awak sekat, bagaimana mahu menggalakkan industri seni? Itu belum lagi menyentuh perkara seperti konsert. Penggiat seni tidak sepatutnya ditakutkan dengan beberapa perkara dan sekatan.
Di samping itu, pada saya apa yang penting sesuatu yang kita perlu lakukan adalah melihat kepada pemerkasaan agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Perlu lebih akauntabiliti. Agensi berkenaan perlu memberi laporan kepada Parlimen.
Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan tuduhan dan kecaman kononnya SPRM dan kerajaan melakukan siasatan terpilih serta pendakwaan terpilih.
Penguat kuasaan yang tidak dipantau akan mempunyai lebih kuasa dan berfikir boleh lakukan apa sahaja. Sekarang ini kita mahu menjadi negara moden yang progresif, justeru perlu ada perkara ini.
Kerajaan Perpaduan perlu laksanakan reformasi dalam tempoh dua tahun selepas membentuk kerajaan. Jika tidak, momentum dan sokongan akan berkurangan.

Bagaimana Kerajaan Perpaduan ‘melayan’ Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam isu membabitkan peruntukan ahli Parlimen?
Itu salah dan tidak adil. Semua ahli Parlimen berhak mendapat peruntukan terbabit. Masalahnya apabila pihak lain berkuasa, mereka lakukan benda sama. Sepatutnya semua pihak perlu bangkit dan tahu serta menghormati setiap undi rakyat.

RASUAH
Adakah rasuah ditangani dan dibanteras dengan lebih baik di bawah Kerajaan Perpaduan?
Banyak perbincangan (isu rasuah) pada masa sekarang. Saya lebih berharap agar SPRM diperkukuh serta menjadi lebih akauntabiliti. Dalam masa sama, saya berharap gaji anggota penguatkuasaan dinaikkan sebagai salah satu langkah mengurangkan rasuah.
Selain itu, apabila ada ketua-ketua polis bercakap tentang isu rasuah, ia perlu disokong kerana kita dapat bergerak ke arah lebih baik.

KERAJAAN PERPADUAN PERLU TERIMA KRITIKAN
Pandangan Datuk secara keseluruhan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Banyak juga yang marah dengan sebahagian kerja dan pelaksanaan beberapa pemimpin yang ada sekarang.
Saya percaya mereka (Kerajaan Perpaduan) boleh buat yang terbaik dan mesti boleh menerima kritikan.
Kita perlu berpegang kepada hak kebebasan bersuara.Kadang kala awak perlu mendengar apa yang awak tidak suka.
Ketika ada kuasa, inilah masa untuk terus mengangkat hak kebebasan bersuara.

BERSIH DI BAWAH PIMPINAN BAHARU
Bagaimana Datuk melihat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di bawah pemimpin baharu?
Saya sangat mengalu-alukan dan berharap Pengerusi Muhammad Faisal Abdul Aziz memperjuangkan perkara yang sama.
Kita perlu ingat cara setiap orang berbeza. Lagipun ketika saya jadi Pengerusi dahulu, ada sebab kukuh untuk turun ke jalanan dan saya masih merasakan kita perlu turun ke jalanan kalau perlu.
Pada fikiran saya, Muhammad Faisal juga begitu dan tidak teragak-agak turun ke jalan raya. Walau apa pun kita perlu beri dia peluang.
Perlu diingat, seseorang itu dapat kekuatan daripada orang ramai dan penyokong. Gerakan rakyat juga kuat disebabkan penyokong. Saya tidak teragak-agak dan bersedia turun ke jalanan untuk melakukan protes sekiranya perlu bergantung kepada isu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×