PEJAM celik, kita sudah berada di penghujung 2023. Dua hari lagi, kita bakal menyambut tahun baharu 2024. Begitu pantas kitaran masa berlalu meninggalkan kita. Ia membawa berjuta kenangan, kejayaan, cabaran, dugaan dan pengajaran buat kita yang mahu belajar memperbaiki diri.
Ramai yang suka memasang pelbagai azam baharu setiap kali bermulanya tahun baharu. Namun, tidak semua berjaya melaksanakan apa yang mereka azamkan. Malah, sering kali juga azam tahun baharu menjadi tidak lebih daripada satu perkara ikutan yang perlu dilakar sebagai bahan kandungan di media sosial masing-masing.
Ketika masih kanak-kanak, saya tidak ketinggalan membuat senarai panjang tentang apa yang ingin saya capai setiap kali datangnya tahun baharu. Seronoknya bukan kepalang, terasa diri sudah besar sehingga boleh memasang azam.
Walaupun tahun itu sekadar kiraan hari oleh manusia buat mengira kitaran bumi mengelilingi matahari, namun kita boleh memanfaatkannya untuk meletakkan matlamat pencapaian serta wawasan.
Tidak perlu mengimpikan bulan dan bintang yang terlalu sukar untuk dicapai, tetapi berpijaklah di bumi nyata ketika memasang azam. Biarlah apa yang mahu dilakukan bukan sekadar baik untuk diri kita sahaja, tetapi juga bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
2024 ialah tahun lompat, kita diberi rezeki masa 366 hari atau sehari lebih lama untuk mencapai sesuatu yang kita azamkan dalam tempoh setahun. Mungkin kita merasakan, apalah yang ada pada sehari tetapi sebenarnya 24 jam itu masih panjang masanya dan boleh jadi lapang jika dimanfaatkan dengan baik.
Malah, bagi pelajar seperti saya, tambahan masa selama 24 jam untuk menyiapkan tugasan begitu besar maknanya. Lebih-lebih lagi pada saat-saat kami bersekang mata bergelut mengejar masa apabila menjelang tibanya musim tamat tempoh yang bertimpa-timpa bagi deretan projek, tugasan dan pembentangan.
Begitu banyak peristiwa pahit manis telah kita lalui pada tahun ini. Pelbagai sejarah terukir, yang baik jadikanlah teladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan. Barulah kita lebih bijak dan matang dalam mengatur kehidupan di masa hadapan.
Dunia bergolak akibat kerakusan mereka yang berkuasa. Sudah hilangkah rasa belas kasihan dan nilai kemanusiaan dalam diri mereka? Ke manakah perginya slogan menjaga kelestarian dunia yang sering mereka canangkan? Tiada apa yang lestari lagi jika nyawa kanak-kanak pun tidak dihargai.
Globalisasi menjadikan politik dunia semakin dinamik. Mahu atau tidak, secara terpaksa atau dengan rela hati, kita tidak boleh lari daripada percaturan ini. Hari ini, medan percaturannya ialah dunia dan bukan lagi setakat sempadan negara masing-masing.
Maka pemimpin kita harus bijak merangka strategi serta cekap menafsir rentak tari kuasa-kuasa besar. Jangan sampai kita menjadi mangsa, ibarat gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.
TIN KOSONG
Di sinilah pentingnya kebijaksanaan dan pengalaman mereka yang memimpin negara. Bukan sekadar hebat bercakap ibarat tin kosong dan merangka agenda sehebat angan-angan mat jenin.
Lidah tidak bertulang, memang mudah kalau sekadar menjanjikan bulan dan bintang. Kata orang, kalau sembang, gajah pun boleh terbang. Semua salah orang lain atau akibat dosa orang lain. Porak-peranda masyarakat kita jadinya.
Politik tidak salah tetapi sikap pemimpin dan penyokong yang mengotorkan politik. Kalau sampai maki hamun sudah menjadi penyedap rasa, di mana adab yang pernah kita junjung tinggi?
Kadangkala manusia seolah-olah lupa akan janji Allah dan mencari jalan menghalalkan segala perbuatan mereka. Akibatnya, kita hidup dalam kekalutan fakta, tak tahu yang mana betul dan yang mana fitnah.
Banyak bencana alam yang melanda dunia akibat sikap tamak dan rakus manusia merosakkan bumi ini. Di kawasan perang, semuanya diranapkan. Pencemaran bukan lagi menjadi isu utama apabila banyak lagi hal terdesak yang harus disegerakan.
Ketika ini negara sedang berhadapan banjir gelombang ketiga. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Secara global, kita bercakap tentang kesan pemanasan bumi yang membawa kepada pelbagai malapetaka jika tidak diatasi dengan tuntas.
Dalam negara, hutan diterokai, pantai terhakis akibat pembangunan tanpa mengambil kira faktor kelestarian alam sekitar. Hutan tebal digondolkan kerana mahukan kayu yang berharga. Balak diambil dan tanah yang dirosakkan ditinggal tanpa dirawat.
Akibatnya, banjir semakin lama semakin buruk. Bukan setakat air deras merosakkan harta benda, tetapi juga sisa-sisa kayu balak yang tertinggal menjadi ibarat peluru menghancurkan pelbagai struktur yang ada di hadapannya.
Kita juga dikejutkan dengan pelbagai musibah yang tidak terfikir dek akal suatu waktu lalu. Kini, tragedi anak-anak kecil meninggal dunia akibat tertinggal dalam kereta bukan lagi berita yang terlalu mengejutkan di negara ini. Jangan sampai tragedi sebegini menjadi lumrah dalam kehidupan zaman moden.
Kita mengharapkan 2024 membawa sinar baharu. Belajarlah daripada kesilapan lalu. Sebagai pelajar, saya mengharapkan persekitaran belajar yang kondusif dan menyokong minat serta keupayaan pelajar. Dengarlah suara hati kami yang bersungguh-sungguh mahu menimba ilmu. Amat malang apabila pelajar terpaksa terbeban dengan kekangan tidak munasabah yang mengakibatkan pelajaran kami terganggu.
Perkuatkan jati diri dan perbetulkan iltizam kita. Marilah sama-sama kita berusaha menjadi insan yang bertanggungjawab kepada bangsa dan negara. Amanahlah dalam melaksanakan segala tanggungjawab kita dan bukan hanya sekadar mementingkan diri sendiri.
Selamat menyambut tahun baharu 2024. Semoga ia membawa kemakmuran dan kejayaan kepada kita semua serta dijauhkan Allah segala malapetaka. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










