AHAD lalu, saya bersama-sama delegasi Persatuan Muafakat One Belt One Road (PMOBOR) berkunjung ke Shanghai dan wilayah Anhui, China. Kami berada di negara tersebut selama tiga hari. Pelbagai program dan perjumpaan diatur dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai. Jadual agak padat, namun amat berbaloi.
Kami melawat syarikat Evirth Food berpangkalan di Shanghai yang merupakan pelopor dalam pengeluaran produk berasaskan durian seperti mochi dan crepe.
Mereka mengimport sepenuhnya durian Malaysia khususnya dari Raub, Pahang. Kini, Evirth merancang untuk membuka ladang dan kilang memproses durian di Malaysia untuk dieksport semula ke China.
Sebelum berangkat pulang, saya sempat singgah di restoran Secret Flavor milik anak muda Melayu. Restoran nasi lemak tersebut adalah cawangan keempat beliau di Shanghai.
Satu tindakan berani untuk mengembangkan perniagaan di sana meskipun nasi lemak bukan makanan tempatan. Ini merupakan contoh hubungan simbiotik yang telah lama wujud di antara rakyat kedua-dua negara.
Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974. Lima dekad hubungan baik antara Malaysia dan China menjadi bukti betapa pentingnya hubungan bilateral seperti ini terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Tidak hairan mengapa China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut. Salah satu faktornya ialah Malaysia mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) yang diperkenalkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2013.
Inisiatif yang kini memasuki ulang tahun ke-10 itu dijenamakan semula sebagai Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI). OBOR meliputi 65 negara dengan jumlah 4.4 bilion penduduk, menjadikan laluan perdagangan yang luas sehingga ke Eropah, Asia dan Afrika.
Ia diinspirasikan oleh laluan sutera yang digunakan oleh pedagang bagi menghubungkan tamadun Timur dan Barat semasa era pemerintahan Dinasti Han.
Kewujudan inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara terlibat, malah mengurangkan halangan perdagangan (trade barriers) yang sering menyukarkan aktiviti perdagangan antara negara.
Dalam masa sama, OBOR yang digerakkan di Malaysia oleh Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka pintu kepada lebih banyak potensi pelaburan baharu khususnya dari China.
Di antara projek pembangunan yang dilaksanakan melalui inisiatif ini ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Melaka Gateway, Malaysia-Taman Perindustrian Kuantan-China (MCKIP) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

TEKNOLOGI HIJAU
Pada 2016, PMOBOR ditubuhkan bagi mengukuhkan inisiatif tersebut. Penggerak utama PMOBOR pada peringkat awal penubuhannya ialah Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penaung.
Persatuan itu menjadi platform utama bagi meningkatkan hubungan bilateral di antara Malaysia dan China di bawah inisiatif kerajaan Republik Rakyat China. PMOBOR menjadi penghubung dan pemudah cara saluran perniagaan serta perdagangan bagi pemimpin industri di Malaysia dan China.
Persatuan ini dianggotai oleh usahawan Malaysia yang mempunyai perniagaan sah di Malaysia dan China; usahawan China yang mempunyai perniagaan sah di Malaysia; dan bekas pegawai utama kerajaan serta individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang.
Menerusi platform ini, pemain industri di Malaysia boleh menikmati limpahan manfaat ekonomi bukan sahaja secara langsung dengan China tetapi dengan lebih dari 160 negara yang telah menandatangani kolaborasi kerjasama di bawah inisiatif ini.
PMOBOR juga memberi tumpuan kepada sektor-sektor baharu sebagai penggerak inisiatif seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden dan pelbagai lagi.
Semasa lawatan kerja tempoh hari, kami turut melawat kilang teknologi pembuatan tenaga hijau, iaitu Sungrow dan kilang kenderaan elektrik keempat terbesar di China, iaitu Neo Inc.
China sudah mula menjadikan industri hijau sebagai teras utama dan momentum baharu kepada pertumbuhan ekonominya. Teknologi-teknologi baharu ini menyediakan negara tersebut untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam masa lebih pantas sejajar dengan sasaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2050.
Justeru, Malaysia perlu segera mencari ruang dan peluang untuk syarikat-syarikat tempatan menjalin kerjasama dengan syarikat China agar pertukaran tenaga kerja dan perkongsian kepakaran dapat diwujudkan.
Selama tiga hari di sana, dapat saya simpulkan Malaysia dan China memang mempunyai sejarah dan hubungan sangat istimewa. PMOBOR akan terus memainkan peranan sebagai jambatan terbaik bagi menghubungkan dan mengukuhkan hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara.
Semoga ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China akan membuka lembaran baharu membantu meningkatkan teknologi serta perdagangan dua hala. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera. Beliau juga Penaung Persatuan Muafakat One Belt One Road (PMOBOR).










