KEPUTUSAN Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) terbaharu menunjukkan penurunan prestasi bagi Malaysia. Antara faktor dikatakan membawa kepada kemerosotan ini adalah kekangan pembelajaran dan pengajaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman Covid-19. Bukan sahaja Malaysia, beberapa negara lain juga menunjukkan kemerosotan.
Persoalannya, bagi Malaysia, adakah ia perlu diberi perhatian? PISA membolehkan negara membandingkan prestasi pelajar dari negara-negara lain yang mengambil bahagian. Tidak dapat dinafikan perbandingan global ini memberikan pandangan tentang sejauh mana sistem pendidikan negara menyediakan pelajarnya untuk menghadapi cabaran dunia moden.
Namun begitu, sejauh mana negara boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan mereka berdasarkan perbandingan global ini? Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan Kerangka Kurikulum 2027, dinyatakan dengan jelas fokus kurikulum bagi setiap tahap pembelajaran dari peringkat prasekolah hingga tingkatan lima adalah pembentukan karakter. Berteraskan konsep Malaysia Madani dan Karamah Insaniah dalam pembentukan karakter generasi akan datang, kurikulum ini diharapkan dapat membentuk generasi lebih utuh dari segi nilai-nilai murni seperti digarap dalam 16 nilai murni Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Adakah keputusan PISA ini sejajar dengan matlamat untuk membentuk insan sejahtera yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek kehidupan? Adakah PISA turut menyumbang ke arah membudayakan pembelajaran sepanjang hayat sebagaimana Kerangka Kurikulum 2027? Ini adalah isu perlu diperhalusi lebih mendalam lagi.
Penilaian PISA meliputi pelbagai bidang kemahiran dan pengetahuan dan ia memberikan pandangan menyeluruh tentang keupayaan pelajar dalam membaca, matematik dan sains. Negara boleh menggunakan data ini untuk mengenal pasti bidang yang mungkin memerlukan penambahbaikan dan untuk membangunkan strategi berasaskan bukti bagi meningkatkan hasil pendidikan. PISA dijalankan pada selang masa yang tetap dan ini membolehkan negara menjejaki perubahan prestasi pelajar dari semasa ke semasa.
KRITIS
Penanda aras ini dikatakan membantu menilai keberkesanan dasar dan intervensi pendidikan. Namun begitu, sejauh manakah PISA berupaya menilai kebolehan pelajar untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka kepada masalah kehidupan sebenar?
Kebanyakan negara yang mengambil bahagian dalam PISA lebih berminat untuk memahami sejauh mana sistem pendidikan mereka menyediakan pelajar bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang berubah dengan pantas. Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah demi matlamat yang sama?
Pengkritik berpendapat, tumpuan PISA adalah kepada penanda aras yang terbatas seperti matematik, membaca dan sains. Ia mungkin tidak dapat menangkap sepenuhnya matlamat pendidikan lebih luas termasuk kreativiti, pemikiran kritis dan pembangunan peribadi yang menyeluruh. Ia mungkin memesongkan keutamaan pendidikan dan mengabaikan aspek penting dalam pembelajaran dan pengajaran.
Yang lebih memburukkan keadaan apabila PISA mungkin membawa kepada fenomena untuk mengajar pelajar menjawab ujian di mana pendidik mengutamakan kandungan pengajaran yang sejajar dengan bidang tertentu dinilai dalam PISA. Bukankah ini akan mengorbankan objektif pendidikan yang sepatutnya lebih komprehensif?
Keputusan PISA sering menarik perhatian orang ramai dan merangsang perbincangan tentang kualiti pendidikan. Namun demikian, adakah PISA boleh menjadi satu ukuran untuk membawa kepada peningkatan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan kita?
Walaupun PISA berupaya memberikan pandangan berharga, perlu diingatkan ia hanyalah satu aspek pengukuran prestasi pendidikan. Pemahaman menyeluruh tentang sistem pendidikan memerlukan pertimbangan berbilang faktor termasuk kurikulum, kaedah pengajaran dan konteks sosioekonomi yang lebih inklusif berbanding global.
KIASU
Pengkritik berpendapat tumpuan PISA pada penunjuk sempit seperti matematik, membaca dan markah sains mungkin tidak dapat menangkap sepenuhnya matlamat pendidikan lebih luas termasuk kreativiti, pemikiran kritis dan pembangunan peribadi menyeluruh.
Berdasarkan fenomena sosial di Malaysia hari ini yang menunjukkan peningkatan dalam kes-kes jenayah, buli dan kesihatan mental yang menjurus kepada mencederakan diri sendiri dan bunuh diri, diharapkan fokus kurikulum ke arah pembentukan karakter pelajar diberikan penekanan lebih terperinci.
Melihat kepada kejayaan Singapura berdasarkan laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), 86 peratus daripada pelajarnya menyatakan wujud sokongan kuat daripada guru terhadap pembelajaran matematik dan 87 peratus guru mengambil berat terhadap kesejahteraan pelajarnya. Keputusan ini melangkaui pelbagai status sosioekonomi pelajar. Namun begitu, penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran dan hal ehwal anak-anak adalah rendah (49% dan 47%).
Sistem persekolahan di Singapura menjurus ke arah pencapaian tinggi dalam peperiksaan, tetapi pendekatan diambil adalah berfokus kepada pembelajaran hafalan. Ibu bapa menyerahkan kepada sekolah dan guru untuk mendidik anak mereka sepenuhnya dan memberi tekanan untuk anak mereka berjaya.
Konsep Singapura tentang kiasu (takut kalah) mungkin menjelaskan mengapa ibu bapa mendaftarkan anak dalam tuisyen kokurikulum dengan harapan mereka akan cemerlang dalam markah ujian.
Oleh itu, langkah Malaysia untuk memfokuskan kepada pembentukan karakter pelajar dalam Kerangka Kurikulum 2027 adalah usaha sangat baik dan relevan dengan fenomena sosial semasa. Jika kurikulum itu nanti sudah cantik pengisiannya dan sejajar dengan nilai-nilai murni dan budaya kita, tidak perlulah kita terlalu mengejar penarafan (ranking) berdasarkan penilaian global seperti PISA.
Fokus utama dalam pembentukan karakter pelajar adalah lebih tertumpu kepada pendidikan adab, integriti, daya tahan dan lain-lain nilai murni sebagaimana dinyatakan dalam FPK. – UTUSAN
Dr. Puteri Azlian Megat Ramli ialah Timbalan Pengarah, Pusat Pengukuran, Pentaksiran & Ujian, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










