BARISAN Kabinet yang menggalas cabaran lebih mencabar di tahun 2024 tidak perlu ragu-ragu lagi untuk mencuba langkah-langkah berani luar kotak.
Lawan tetap lawan yang bermaksud positifnya mencuba sehingga mencapai sesuatu yang terbaik untuk manfaat rakyat dan negara ini.
Tetapi jangan sampai memerangkap diri hingga dicap ‘penghibur’ atau ‘selebriti.’ Kalau nasib tak baik berisiko digelar ‘pelawak.’ Biarkan sahaja penghibur dan pelawak sebenar dengan tugasnya beraksi di pentas Gegar Vaganza atau Maharaja Lawak.
Tugas hakiki menteri adalah berurusan dan menyelesaikan permasalahan rakyat dan mengambil tahu hal-hal dan isu masyarakat. Tidak perlulah sampai dimuat naik ke TikTok. Platform sebegini kelihatan padanannya tidak serius. Dirisaukan lagi menjadikan imej seseorang menteri itu hambar dan suram bertentangan dengan tanggungjawab dan peranan besar Kabinet itu sendiri.
Elakkan diri terbelenggu dengan klip-klip video pendek TikTok yang sekadar jalan pintas untuk popular. Takut nanti jadi platform ‘dibahan’ dan ‘membahan.’ Jenuh juga nanti setiausaha akhbar dan setiausaha politik hendak menjernih keadaan.
Padahal, masa dilalui seseorang menteri berjalan setiap jam, setiap hari dengan tugas-tugas senantiasa menanti hingga tidak menang tangan, baik di kementerian mahupun di luar.
Ber-selfie, memuat naik program menteri dan rutin harian di aplikasi sosial seperti grup WhatsApp, Facebook dan Instagram tidak salah. Tetapi, jangan terlampau difikir-fikirkan ke tahap populis sampai boleh terpalit lumpur ke muka sendiri.
Yang dikejar nanti tidak dapat, dikendong pula berciciran – seolah-olah nanti dikatakan tidak ambil peduli nasib sebahagian rakyat yang berjuang untuk hidup.
SELFIE
Di masa lepas dan sebelum ini pun kita telah menyaksikan sebilangan menteri cuba berlagak ala ‘selebriti.’ Bukan sahaja di sini, tetapi di beberapa negara pun begitu aksinya. Fenomena selfie yang membadai bermula 2013, sehinggakan kamus Dewan Bahasa jenuh mencari dan akhirnya berjumpa perkataan berswafoto.
TikTok yang bergentayangan melekat dalam fikiran masyarakat melibatkan orang Kabinet di masa lepas. Antaranya berkisar masak nasi goreng, gaya slim fit, berpantun empat kerat, kereta terbang dan aksi pukul kayu golf di ofis menteri.
Sehinggakan kita tidak terfikir bahawa ‘boleh terfikir dia ke bab itu.’
Ciapan dan klip video kalau sudah ‘naik syeikh’ elok hanya untuk tatapan keluarga terdekat. Itupun perlu berwaspada. Banyak mata memandang, mengerling. Satu dua kes dihadapkan ke mahkamah berkaitan pembongkaran isu integriti dan penyelewengan orang politk dan exco negeri berpunca dari keterujaan dan kegelojohan ahli keluarga VIP itu sendiri yang menayang-nayang kemewahan melimpah-ruah di media sosial.
Harus faham realiti ini – rezeki masing-masing insan tidak sama. Ada ketua keluarga terpaksa buat tiga empat kerja sehari kerana tuntutan hidup. Ada kerja gomen, tapi di malam harinya jadi jaga di kilang. Ada keluarga dikurniakan anak yang ramai. Ada pula masih terus mengharap menanti cahaya mata.
Setiap keluarga ada kisahnya. Kamus kehidupan masing-masing. Justeru, kalau berduit pun pak menteri, usah ditunjuk-tunjuk.
Yang penting barisan jemaah menteri perlu fokus kepada tugas hakiki untuk pelanggan utama mereka, rakyat.
Begitu juga halnya dengan Yang Berhormat ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), barisan exco, timbalan menteri besar dan menteri besar hinggalah timbalan menteri, sesekali beringatlah bahawa anda bukanlah pempengaruh (instafamous) atau youtuber atau tiktoker di media sosial. Sebaliknya anda bekerja dan digajikan – setelah meraih mandat rakyat menerusi pilihan raya atau dipilih sebagai senator – untuk berkhidmat kepada masyarakat.
OPTIMIS
Kita tidak perlukan YB atau menteri yang beraksi stylo – yang kebanyakan masa dihabiskan fikir hal-hal konten agenda dan populariti diri untuk dimuatkan ke TikTok atau Instagram. Walhal, hal-hal ini tidak bersangkut paut kerja-kerja tulen kementerian dan kebajikan di kawasan-kawasan diwakili.
Cukup-cukuplah kelibat yang ada di masa lalu. Tahan dulu ‘harimau dalam diri, biarkan sahaja bunyi kambing yang keluar’ dengan tekad memperkasa label Yang Berkhidmat anda.
Segala kemungkaran politik yang ada di negara ini, waima undang-undang, ekonomi serta pentadbirannya apabila kelihatan, harus segera dipulihkan.
Mana-mana pemegang kuasa, baik dalam parti politik masing-masing mahupun induk dan kerajaan harus tidak lagi mendabik dada dengan kuasa yang ada. Ini sehinggakan ‘menindas’ mereka yang bertembung pendapat dan aliran dengan mereka.
Hak penentu bukan lagi melalui tohmahan atau penyalahgunaan kuasa atau undang-undang yang dipinda sewenang-wenangnya. Tetapi seharusnya melalui suara rakyat. Nampak klise bila istilah ‘suara rakyat’ senantiasa didendangkan. Namun kita wajar berpulang ke pangkal jalan. Banyak kemusnahan telah kita cipta dan lakukan terhadap orang Melayu dalam lima tahun ini. Segala yang buruk menimpa parti-parti Melayu pasti memberi tempias kepada orang Melayu.
Dan yang kita bimbangkan, ada kalangan menteri sendiri tidak dapat bezakan antara dasar dengan perbuatan harian. Ego pun satu hal. Kita risau ini tanda-tanda tidak teguh pada sesuatu parti yang memerintah. Output atau produktivitinya mesti ada.Tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran begitu sahaja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Perdana Menteri mahukan. Baru ada perubahan.
Kepada rakyat – perhatikan sekeliling. Jika ada serba tidak kena dengan pentadbiran Pusat dan kerajaan negeri, waima tindak tanduk parti-parti pemerintah dan pembangkang, ayuh suarakan dan tegur mereka.
Kabinet Madani harus bergerak, bekerja keras dan optimis memandang jauh ke hadapan.
Barang diingat! Anda menteri bukan selebriti, penghibur mahukan pelawak. – UTUSAN










