Panggung Anniversari yang penuh bersejarah di Taman Botani Perdana bakal kembali bergema dengan alunan muzik nostalgia menerusi penganjuran program ‘Throwback Hits: Retro Bangkit’ pada Sabtu ini, 25 April 2026.
Acara yang bermula jam 3 petang hingga 7 malam itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghidupkan semula nadi seni budaya di ibu kota.
Penganjuran kali ini bakal menampilkan barisan artis yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air iaitu Dato’ Siti Fairuz, Azan Scan, Abon, dan Ayati Tasrip. Persembahan mereka turut disokong oleh Siluman Production serta NFG Band yang akan membawakan susunan muzik segar namun sarat dengan elemen klasik.

Menurut DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), program ini bertujuan memberi peluang kepada warga kota menghargai sumbangan artis veteran melalui kerjasama dengan Yayasan Artis Veteran Malaysia.
Selain persembahan pentas utama, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti interaktif menarik seperti sesi karaoke terbuka, gerai jualan, serta segmen joget lambak yang pastinya memeriahkan suasana.
Program yang mendapat sokongan Kementerian Kewangan Malaysia ini adalah sebahagian daripada 40 acara yang dirancang sepanjang tahun 2026 di bawah tema “Dulu, Kini dan Selamanya”.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi merasai sendiri kemeriahan suasana retro sambil menyokong usaha pemuliharaan lokasi seni ikonik ini sebagai ruang penyatuan generasi.










