KEPALA BATAS : Keputusan mahkamah menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berhubung kes saman fitnah membabitkan tiga pemimpin DAP membuktikan bahawa politik itu tidak boleh dibina atas tuduhan tanpa bukti serta naratif yang mengelirukan rakyat.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kepala Batas, Abrar Sadiq berkata, lebih-lebih lagi sekiranya tuduhan tersebut melibatkan perkara sensitif yang menyentuh soal keselamatan negara serta reputasi individu.
“Dalam Islam, fitnah adalah dosa besar. Dalam politik pula, fitnah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi. Kepala Batas memerlukan kepimpinan yang berintegriti, bertanggungjawab dan berani memikul akibat daripada setiap tindakan. Rakyat sedang menilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Siti Mastura yang sebelum itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi sebanyak RM750,000 selain kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif yang terlibat kerana memfitnah serta mengaitkan mereka dengan komunis.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang bersidang bersama-sama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai merit.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang pula menyifatkan bahawa sebarang tuduhan yang tidak berasaskan fakta tidak boleh dipandang ringan kerana ia mempunyai implikasi undang-undang yang serius.
Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, ia juga memperlihatkan bahawa prinsip kebertanggungjawaban tetap terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan termasuk Ahli Parlimen.
“AMK Pulau Pinang berpandangan bahawa perkembangan ini mencerminkan satu corak yang semakin membimbangkan dalam politik semasa, apabila tuduhan tidak berasas dijadikan alat untuk meraih sokongan tanpa mengambil kira kesan terhadap reputasi individu serta keharmonian masyarakat.
“Lebih membimbangkan, tindakan sedemikian dilihat berulang dan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti serta kebertanggungjawaban kepimpinan yang terlibat,” ujar beliau.
Tambah beliau, Malaysia memerlukan landskap politik yang lebih bertanggungjawab, berteraskan fakta serta menghormati prinsip kebenaran kerana politik fitnah bukan sahaja merendahkan mutu demokrasi, malah, menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara.-UTUSAN










