MYANMAR: Revolusi prodemokrasi Myanmar semakin lemah selepas lima tahun perang saudara, dengan tentera kembali menguasai medan pertempuran ketika kumpulan pemberontak berdepan tekanan akibat kehilangan sekutu dan sokongan antarabangsa.
Myanmar terjerumus ke dalam perang saudara selepas rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi. Menurut kumpulan pemantau, lebih 100,000 orang terbunuh sejak konflik bermula.
Pada suatu ketika, kumpulan pemberontak hampir menggugat kedudukan junta tentera. Namun kini, tentera Myanmar kembali menguasai medan pertempuran, sebahagian besarnya hasil sokongan China.
“Revolusi kini menjadi perjuangan jangka panjang. Malah, anggota yang menyertai perjuangan sejak beberapa tahun lalu mula mempunyai keraguan dan tertanya-tanya sama ada revolusi ini masih mampu berjaya,” kata seorang komander seksyen Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) di kem latihan rahsia di wilayah Sagaing.
Kerjasama antara PDF dan kumpulan etnik membawa beberapa kejayaan besar, termasuk operasi bersama pada 2023 yang mara sehingga hampir ke Mandalay, bandar kedua terbesar Myanmar.
Bagaimanapun, tentera kembali menguasai keadaan selepas dua kumpulan bersenjata etnik utama, Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) bersetuju dengan gencatan senjata yang diusahakan China.
Tanpa sokongan mereka, PDF yang kurang berpengalaman kini terpaksa berundur, selain berdepan kekurangan kepakaran, senjata dan peluru.
Beijing menjadi pengantara kepada beberapa gencatan senjata penting dengan kumpulan pemberontak yang bekerjasama dengan PDF, di samping menyokong pentadbiran awam baharu yang dibentuk junta ketika Myanmar berusaha keluar daripada status negara yang dipinggirkan masyarakat antarabangsa.
Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe dijadual menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawat dari 11 negara anggota ASEAN di Bangkok pada Ahad ini.
Tahun ini, tentera Myanmar turut berjaya mencatat kemajuan besar termasuk membuka semula laluan perdagangan penting ke Thailand dan China. – AFP










