Kestabilan politik dahulu dilihat sukar kini tercapai

Kestabilan politik dahulu dilihat sukar kini tercapai

ANWAR Ibrahim (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac lalu. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak banyak pihak menduga UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta DAP dan Pakatan Harapan (PH) boleh berada dalam satu kerajaan bagi memerintah negara. Perbezaan ideologi antara kedua-dua parti ini terlalu besar.

Bagaimanapun, semua ini berlaku hasil kebijaksanaan berunding serta pendekatan politik terbuka dan fleksibel diamalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibantu rangkaian politik rentas parti dibina oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.

Tindakan bijak Anwar memasukkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke dalam Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) I mewakili BN dan Datuk Seri Fadillah Yusof selaku TPM II mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Anwar juga membuat tindakan bijak dengan membincang dan memasukkan secara terperinci perjanjian mengenai agihan jawatan, dasar utama serta modus operandi kerajaan perpaduan ke dalam memorandum persefahaman (MoU) kerjasama yang dimeterai semua gabungan utama.

Dalam MoU ini diperuntukkan portfolio jemaah menteri hendaklah diagihkan oleh Perdana Menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua parti lain dan pembahagiannya hendaklah berkadar dengan jumlah ahli Parlimen setiap parti.

Turut dinyatakan, Perdana Menteri berhak merombak dan merubah jumlah, portfolio dan lantikan dengan persetujuan majoriti ketua-ketua parti tetapi apa-apa rombakan dan perubahan hendaklah dibincangkan olehnya dengan ketua-ketua parti lain.

Dari sudut dasar utama kerajaan perpaduan pula, digariskan dalam MoU ini persetujuan untuk menjunjung kebenaran yang utuh dan dengan penuh kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Dari sudut modus operandi, MoU ini menubuhkan sebuah Majlis Perundingan bagi memastikan kerajaan perpaduan dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, di mana sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melaluinya.

Bagi mengatasi perbezaan yang wujud dalam manifesto pilihan raya setiap parti, Anwar menugaskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menubuhkan satu jawatankuasa kerajaan bagi menyaring setiap manifesto dan memilih agenda yang akan diguna pakai.

Anwar juga menubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Fadillah dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dari BN sebagai Ketua Sekretariat.

Dalam mesyuarat pertamanya di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 7 Februari lalu, sekretariat ini menubuhkan tiga jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik serta Jawatankuasa Komunikasi Strategik.

KEABSAHAN KERAJAAN

Bagi memantapkan lagi perjalanan kerajaan perpaduan, Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan pemimpin dan perwakilan dari 19 parti politik dilangsungkan di Dewan Merdeka, WTCKL pada 14 Mei.

Tindakan terbaik yang Anwar lakukan dalam mewujudkan kestabilan politik ialah memanggil sidang Parlimen pada 19 Disember 2022 dan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri bagi membuang keresahan tentang keabsahan kerajaan.

Usul undi percaya yang dibentangkan oleh Fadillah selaku TPM II dan disokong oleh Ahmad Zahid selaku TPM I ini diluluskan melalui undian suara setelah Perikatan Nasional (PN) tidak meminta undi belah bahagi bila calon Speakernya, Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad hanya memperoleh 74 undi.

Selaku pemimpin yang mementingkan konsiliasi politik, Anwar sentiasa membuka ruang kepada pembangkang untuk menyertai kerajaan perpaduan dan dalam sidang akhbar pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar telah membuat tawaran kepada PN dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS).

GRS yang dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta mempunyai enam kerusi diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menyambut tawaran ini serta menyertai kerajaan perpaduan pada 25 November 2022 tetapi PN menolaknya.

Dalam wawancara dengan majalah Time pada 11 Oktober, Anwar berkata, beliau terbuka dengan idea penyertaan Pas sejak awal lagi tetapi Pas tidak memberi maklum balas positif dan menyebut pintu untuk parti berkenaan belum ditutup rapat bergantung kepada penerimaan syarat dasar utama.

Konsiliasi politik dengan pembangkang ditunjukkan oleh Anwar melalui pelbagai cara. Antaranya, beliau membatalkan sambutan besar-besaran ambang tahun baharu serta berkunjung ke Kelantan dan Terengganu bila dua negeri ini dilanda banjir pada 21 Disember 2022.

Di sana, Anwar mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada dua negeri ini sebagai bantuan awal untuk meringankan beban akibat banjir, pemberian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir dan percepatan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Begitu juga penyelesaian isu bekalan air bersih terutama di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diberi perhatian oleh Anwar melalui peruntukan RM1.1 bilion bagi tujuan tersebut dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan 13 Oktober lalu.

Anwar juga berjaya memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memberikan hak lebih besar kepada Sabah dan Sarawak, baik dari sudut jumlah peruntukan untuk pembangunan mahupun penurunan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta.

Kerajaan perpaduan juga meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah) sebelum ini. Projek infrastruktur utama jalan raya di Sabah dan Sarawak juga terus diperhebat.

Di bawah Anwar, kestabilan politik yang dilihat sukar sebelum ini telah tercapai hasil keterbukaan beliau. Kejayaan besar beliau mengurus perbezaan antara parti-parti politik menyebabkan tiada lagi kenyataan kontroversi atau pertikaian terbuka seperti dalam kerajaan PH sebelum ini. – UTUSAN

DR. SYED AGIL ALSAGOFF ialah Pensyarah Kanan dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×