SYABAS kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang mewartakan kerangka kurikulum baharu akan dilaksanakan pada 2027 nanti. Pastinya satu tugas besar menanti warga pendidik – mereka yang terlibat secara langsung dengan penggubalan dasar memerlukan masa untuk menyediakan bajet, sumber bercetak dan digital serta melatih guru-guru.
Sebagaimana ditunjukkan dalam Kerangka Kurikulum 2027, sepanjang perjalanan pendidikan seorang individu di negara ini akan tertumpu kepada pembangunan karakter melalui pembangunan ilmu, kemahiran dan nilai bagi membentuk insan sejahtera. Tugas untuk merealisasikan kurikulum dan menterjemahkan teori kepada amalan sudah tentu digalas oleh para pendidik di sekolah dengan kerjasama dan sokongan daripada pihak berkepentingan seperti pegawai pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.
Sebenarnya tugas sebagai pendidik adalah begitu abstrak dan sukar untuk diletakkan parameter kerana perlu mendidik manusia. Dan didikan ini hadir dengan perasaan kasih sayang, penuh adab dan kesusilaan. Pendidik ialah cerminan kepada konsep karamah insaniah dan masyarakat madani yang menjadi slogan kepimpinan masa kini.
KPM dalam Teras 2 memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti tujuh teras KPM. Dan elemen ini sebenarnya selari dengan Enam Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Jelas bahawa prinsip dalam Kerangka Kurikulum 2027 adalah kesinambungan daripada aspirasi sedia ada dan diperkukuh melalui pendekatan integratif dan bersepadu dalam bilik darjah.
Satu perkara menarik mengenai kerangka kurikulum ini adalah fokus kepada aspek intangible dan bukanlah berdasarkan ukuran perkara yang tangible semata-mata. Penekanan kepada didikan murid untuk mendukung aspirasi dan prinsip dalam Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sangat menekankan keseimbangan intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi membangunkan individu sejahtera dan dapat menyumbang kepada negara.
Elemen ini penting untuk menginsankan murid melalui konsep manusiawi agar mereka mempunyai perasaan empati dan kasih sayang terhadap satu sama lain. Sumbangan individu inilah yang menjadi teras kepada keharmonian negara dan pembinaan tamadun bangsa. Satu perkara penting dalam konsep madani atau tamadun adalah ketamadunan perlu dilihat dari aspek keinsanan dan manusiawi, bagaimana individu bertingkah laku penuh budi dan susila yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Memetik ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika merasmikan Seminar Pendidikan Madani baru-baru ini – akhlak seorang murid adalah refleksi kepada gurunya. Dan dalam konteks ini, guru bukanlah cikgu di sekolah sahaja tetapi mana-mana entiti yang menjadi guru mereka termasuk ibu bapa, rakan serta ahli komuniti. Kurikulum yang menjadikan pembentukan adab dan akhlak murid sebagai teras ini memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak – ibu bapa, komuniti dan masyarakat sebagaimana dianjurkan dalam Anjakan 9 PPPM 2013-2025.
DOKTOR
Secara idealnya, di bawah kurikulum baharu, sekolah dan guru diberikan autonomi untuk menjalankan penilaian dan memberikan intervensi sesuai bagi membangunkan potensi dan memupuk akhlak murid, sebagaimana seorang doktor diupayakan untuk membantu pesakit mereka tanpa perlu dibandingkan dengan doktor lain. Ekosistem pembelajaran melibatkan ibu bapa dan komuniti perlu diperkasakan di mana amalan mulia di rumah diteruskan di sekolah, dan amalan baik di sekolah diperkukuhkan di rumah dan dalam masyarakat.
Dalam hal pentaksiran, diharapkan guru dan sekolah dapat diupayakan untuk membantu murid kerana mereka lebih tahu potensi murid yang ada di sekolah mereka. Keberkesanan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan kini Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) amat bergantung kepada pertimbangan profesional guru yang sudah pun dilatih untuk mengenal pasti potensi anak-anak.
Berilah peluang dan kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tugas sebagai profesional dalam bidang mereka. Penekanan perlu diberikan kepada Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk meningkatkan kompetensi guru di sekolah, yang mempunyai impak kepada pencapaian dan pembentukan akhlak murid. Hal ini menunjukkan kepentingan konsep berjemaah, musyawarah dan bantu-membantu dalam kalangan warga pendidik untuk melaksanakan tanggungjawab besar ini.
Justeru, di bawah Anjakan 6 Program Transformasi Daerah yang merupakan inisiatif utama ketika PPPM 2013-2025 dilancarkan dahulu, perlu dimantapkan kerana fungsi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) adalah untuk memberikan intervensi berfokus kepada sekolah. Tidak ada dua sekolah di dalam satu kawasan yang mempunyai kekuatan atau kelemahan sama.
Justeru, PPD dan JPN haruslah memainkan peranan untuk membantu sekolah di dalam daerah atau negeri mereka. Tidak perlulah dibandingkan antara sekolah A dan sekolah B kerana setiap sekolah adalah unik dengan kekuatan masing-masing boleh diserlahkan. Tidak perlu juga diletakkan ranking sekolah, daerah atau negeri kerana mereka harus diberi peluang untuk menyerlahkan potensi dan kekuatan masing-masing.
Kementerian perlu yakin dengan Anjakan 5 kerana pastinya kepimpinan berprestasi tinggi telah ditempatkan di semua sekolah di negara ini. Setelah 10 tahun PPPM 2013-2025 dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, hasilnya dapat diukur melalui kemenjadian murid itu sendiri menerusi Enam Aspirasi Murid.
Murid yang dibangunkan daripada sistem pendidikan negara memerlukan suri teladan daripada insan dewasa yang bermanfaat di sekeliling mereka. Justeru, jadilah contoh terbaik kepada generasi pewaris negara masa akan datang. – UTUSAN
Dr. Hayati Ismail ialah Pensyarah Kanan di Unit Pendidikan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










